Sebahagian orang mengenalinya melalui puisinya yang terkenal “ikan-ikan di kaca”, manakala sebahagian orang pula mengenalinya melalui filem arahannya – Dia Ibuku, Potret Maria dan Ali Setan 2. Itulah Yassin Salleh.
Saya mengenalinya sebagai penyair dan pengarah filem dan lebih daripada itu. Tetapi tulisan ini bukanlah hendak memperkatakan siapa Yassin.
Bekas pengerusi Media Prima Tan Sri Johan Jaaffar melalui kata pengenalan buku “Simfoni Sepi” sudahpun berbicara panjang lebar mengenai Yassin yang begitu dan yang begini dan sebagainya.
Selepas bertahun-tahun lama tidak jumpa, kami berjumpa semula pada suatu acara seni di Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) pada 10 April 2014 – perasmian pameran lukisan Mazlan Noor.
Selepas berjumpa pada April 2014 itu saya tertarik dengan puisi Yassin yang baru, yang 263 buah terkumpul dalam buku ‘Simfoni Sepi’ itu, yang seperti dicatatkan di kulit depannya adalah “puisi siber”, yakni puisi-puisi yang ditulis dan disebarkan oleh penulisnya sendiri melalui media emel dan SMS. Johan menyifatkan Yassin sebagai bapa penyair siber.
Dan saya pun sejak itu sering menerima kiriman puisi terbaru ciptaan Yassin melalui SMS dan entah mengapa dari waktu ke waktu saya pun asyik pula menunda hasrat hendak memperkatakan puisi SMS terbaru Yassin itu, dan pada waktu sama saya mendapati Yassin tiba-tiba menjadi seorang aktivis yang sangat aktif menganjurkan pelbagai program seni-budaya.
Mula-mula saya menerima jemputannya untuk menyertai program Bicara Karya di rumah seorang penyair di Kelana Jaya. Saya tidak dapat hadir. Kemudian ada lagi program Bicara Karya dianjurnya, pun saya tidak hadir juga.
Kemudian dia menganjurkan satu program yang agak besar, pada 6 hingga 8 September 2014, dinamakannya Ziarah Karyawan, dibuat di Ulu Legong, Baling, Kedah. Saya berjanji akan hadir, tetapi tidak hadir juga.
Namun di dalam hati saya mulai tertarik dengan Yassin yang kini tiba-tiba muncul sebagai seorang aktivis seni-budaya yang penting di negara ini, yang sedang mewarnai lanskap seni-budaya kita, dengan caranya tersendiri.
Maka apabila Seniman Paksi Rakyat (Paksi) menganjurkan Himpunan Budayawan 1 Muharam pada 25 November 2014 (di Madrasah Tarbiyah, Jalan Gombak), saya tak mungkin tidak menjemputnya.
Dan dia hadir, walaupun keadaan kesihatannya tidak begitu baik, dan dia menyampaikan puisi dalam program itu.
Kemudian Ziarah Karyawan diadakan lagi oleh Yassin. Kali ini di Wadi Hussein, Janda Baik, Pahang, di kediaman Habib Syed Hussein Alattas penulis buku politik terkenal itu, pada 12-14 Disember 2014.
Saya tidak mungkin tidak hadir. Satu, kerana sudah terlalu banyak “berhutang” dengan Yassin, dan ke-2 kerana tempat itu sendiri sudah terlalu biasa dengan saya. Syed Hussein pasti marah kalau saya tidak hadir.
Maka hadirlah saya pada suatu hari, siang hingga ke malam dan turut membaca puisi. Ramai penyair dari Singapura turut hadir, dan ada beberapa orang pelajar universiti dari Indonesia; di samping tokoh-tokoh budaya kita seperti Yahya Ismail, Uwei Hj Shaari, Datuk Saludin Raja Teromba dan Syed Hussein sendiri.
Kemudian, mulai Januari 2015 Paksi menganjurkan program tetap bulanan Baca Puisi Madrasah Seni (BPMS) pada setiap Jumaat kedua, setiap bulan, bertempat di Madrasah Tarbiyah Jalan Gombak. Yassin Salleh hadir pada kebanyakan program BPMS.
Saya serbasalah akan hadir atau tidak pada Ziarah Karyawan ketiga yang dibuat Yassin bersama dengan Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI), di kampus Tanjung Malim pada 27 hingga 29 Mac 2015. Saya melihat program yang dinamakan ZK Pendeta Zaaba itu agak berat dengan pembentangan kertas kerja, maka malaslah saya hendak hadir.
Lalu pada 9 April 2015 Paksi menganjurkan suatu forum “Ke Arah Revolusi Budaya”, sempena pelancaran dan promosi buku saya “Jelajah Budaya”, bersama dengan pengedar buku Gerakbudaya, bertempat di Rumah Gerakbudaya, Petaling Jaya.
Bukan sahaja Yassin hadir, tetapi bersamanya juga ramai aktivis dan peminat seni-budaya yang selalu bersama dalam aktiviti anjurannya, yang kini sudah dikenali sebagai kerabat Ziarah Karyawan (ZK), dengan Raja Ahmad Aminullah menjadi Pengerusinya – turut hadir.
Ketika kami berbual di tepi pintu masuk ke Rumah Gerakbudaya (kepunyaan Chong Tong Sin, penerbit SIRD), Yassin berkata: “Prinsip aku mudah saja. Kenduri Yassin Salleh, Dinsman datang; kenduri Dinsman, Yassin Salleh mesti datanglah.”
Selepas forum itu, semua kerabat Paksi dan ZK bersambung acara ke restoran mamak berhampiran, borak-borak hingga lewat malam. Demikianlah saya melihat terjalinnya hubungan mesra antara Paksi dengan Yassin Salleh dan kaum kerabat Ziarah Karyawannya.
Yang peliknya, keinginan hendak menulis mengenai Yassin Salleh itu (mengenai sajak-sajak SMS yang selalu diSMSkannya kepada saya, dan mengenai aktiviti seni-budaya yang sering dianjurkannya), tertunda dan tertunda hinggalah ke saat ini, tanpa saya mengetahui atau mengharapkan bahawa antara Paksi dan ZK akan terjalin hubungan mesra seperti yang terjalin.
Ketika Paksi menganjurkan program Hening Puisi di Sedili pada akhir Julai lalu, Yassin hadir sehari lebih awal untuk memastikan yang dia tidak akan terlewat menghadiri program 4 hari itu. Maka saya dan Paksi sekali lagi tak mungkin tidak hadir dalam Ziarah Karyawan siri keempat yang dianjurkannya di Kuala Sungai Baru, Melaka, pada 1 Ogos, iaitu “Ziarah Karyawan Raya; Baca Sajak Sampai Lemang Masak”.
Di situ, di rumah novelis AC Jaffrie yang dikenali kawan-kawan sebagai Ayahanda Chik, tempat berlangsungnya ZK Raya itu, saya bertemu seorang peminat puisi yang istimewa. Dia seorang Adun dan timbalan speaker Dewan Undangan Negeri Perak, hadir dalam program ZK sebelum ini, dan dia kagum dengan kemesraan ukhuwah di kalangan para kerabat yang menyertai ZK.
“Saya lihat kemesraan yang tidak dibuat-buat. Terasa jujur dan ikhlas masing-masing. Ini yang menarik saya untuk hadir program Ziarah Karyawan,” kata Datuk Nasarudin ketika kami berbual petang itu.
Dan ketika saya mencatat sesuatu dalam status FB mengenai Yassin Salleh, dia memberi respon begini: “Yassin Salleh melatih anak muda untuk membuka minda dan mengasah bakat. Yang istimewanya dia tidak mengajar ‘yang mana putih, yang mana hitam’. Dia beri kebebasan. Dia percaya kepada kebebasan berfikir.”
Seterusnya, ketika Paksi berbincang untuk menggantikan acara BPMS yang ditetapkan tetapi terpaksa ditunda kerana sebab tertentu, bagi bulan Ogos, saya segera teringat kawan-kawan dalam Ziarah Karyawan. Dan Alhamdulillah, Yassin Salleh menyambut baik cadangan itu. Jadilah BPMS Ogos itu “Kolaborasi bersama Ziarah Karyawan”.
Ramailah penyair dari Ziarah Karyawan pimpinan Yassin Salleh dan Raja Ahmad Aminullah hadir membuat persembahan pada malam 14 Ogos itu. Ada yang datang jauh dari Johor dan ada yang dari Pahang.
Semoga jalinan hubungan Paksi-Ziarah Karyawan akan meningkatkan lagi Tekad Budaya di kalangan seniman-budayawan Malaysia. – 4 September, 2015.
* Ini ialah pendapat peribadi penulis dan tidak semestinya mewakili pandangan The Malaysian Insider.
Comments
Please refrain from nicknames or comments of a racist, sexist, personal, vulgar or derogatory nature, or you may risk being blocked from commenting in our website. We encourage commenters to use their real names as their username. As comments are moderated, they may not appear immediately or even on the same day you posted them. We also reserve the right to delete off-topic comments