Pada 2011, bulan Disember, semasa menyampaikan ucapan di Oxford, sempena 400 Bible King James, Perdana Menteri UK David Cameron menyebut: “UK is a Christian country and we should not be afraid to say so”.
Sekalipun dalam penghayatan politik UK, elemen agama Kristian kelihatan amat lemah sehingga David Cameron itu sendiri turut menyokong hak berkahwin golongan gay yang ternyata bercanggah dengan pegangan agama Kristian, namun beliau tetap mengakui nilai agama bagi negara UK.
Polemik
Semasa masih kecil, saya masih ingat bagaimana kami di sekolah agama sering dibawa berbincang apakah Malaysia sebuah negara Islam ataupun negara kafir sekular? Pada umumnya kami semua difahamkan bahawa negara Malaysia ini sebuah negara sekular. Itulah sifat Malaysia berdasarkan ceramah-ceramah politik yang kami dengar.
Kepercayaan seperti itu masih dianuti oleh ramai golongan yang dikatakan ‘beragama’ dalam negara ini. Mereka melebelkan negara ini sebagai negara kafir ataupun sekular. Dulu ia berlegar dalam kalangan mereka yang minat agama Islam.
Hari ini keadaan berubah apabila non-Muslim juga mendakwa hal yang sama, cuma dengan tujuan yang berbeza. Jika dahulu dakwaan itu bertujuan membangkit semangat agar Islam itu lebih ditekankan pelaksanaannya di Malaysia, kini tujuannya agar elemen Islam itu tidak patut ditekankan dalam pentadbiran Malaysia kerana itu bercanggah dengan sifat negara ini.
Sebelum saya bahaskan tentang secularism dalam kerangka kefahaman yang sepatutnya, artikel ringkas kali ini akan bincangkan dulu apakah itu negara Islam?
Sukar
Seperti yang pernah saya sebutkan, apabila jatuh Khalifah di Turki dan Kuasa-Kuasa Barat menjajah dunia Islam, kesedaran umat Islam tentang tanggungjawab jihad membebaskan tanahair Islam berkembang. Selepas penjajah dihalau keluar, umat Islam memerintah negara sendiri. Kali ini tiada lagi negara khalifah seperti yang ditulis dalam buku-buku fekah lama.
Apa yang wujud adalah ‘nation state’ atau negara bangsa yang mempunyai kedaulatan tersendiri. Dalam proses menstabilkan negara masing-masing inilah munculnya istilah daulah islamiyyah (islamic state atau negara Islam). Ini adalah reaksi kepada penjajahan dan selepas penjajahan di dunia Islam. Padahal istilah ini tidak dikenali sebelum ini.
Dahulu yang ada dalam fekah sarjana silam (sebelum penjajahan) hanyalah istilah Dar al-Islam iaitu Wilayah Islam. Ini merujuk kepada wilayah yang dikuasai oleh umat Islam dan zahir syiar Islam. Sementara Dar al-Harb atau disebut juga Dar al-Kufr merujuk kepada wilayah yang dikuasai oleh bukan Muslim dan bermusuhan dengan Dar al-Islam.
Ketiga, Dar al-Mu’ahadah iaitu negara bukan Muslim yang membuat perjanjian dengan umat Islam. Dalam erti kata lain nilaian terhadap sesebuah wilayah atau negara itu berdasarkan penguasaan umat Islam ke atas wilayah tersebut, dan wujudnya syiar Islam.
Tariq Ramadan dalam To Be A European Muslim menganggap pembahagian ini sebagai ‘Old Concepts’ yang tidak berasaskan al-Quran dan al-Sunnah, sebaliknya ia cetusan ulama di zaman tersebut disebabkan persekitaran politik yang wujud pada tiga kurun pertama dalam sejarah Islam (lihat: Tariq Ramadan, To Be A European Muslim, UK: Islamic Foundation 2002, pg 123-131 ).
Tariq mungkin terpengaruh kepada apa yang disebut oleh Dr Wahbah al-Zuhaili dalam Aathar al-Harb fi al-Fiqh al-Islami. Manakala Dr Wahbah al-Zuhaili terkesan dengan apa yang disebut oleh al-Syeikh Abu Zahrah dalam Al-‘Alaqah al-Duwliah fil al-Islam.
Sementara Dr Yusuf al-Qaradawi dalam Fiqh al-Jihad mempertahankan pembahagian tersebut dengan menyatakan pembahagian itu berasaskan al-Quran dan al-Sunnah serta sesuatu yang mantiqi (logical).(lihat: al-Qaradawi, Fiqh al-Jihad, Cairo: Maktabah Wahbah 2009. Ms 882-888).
Ciri
Jadi, jika kita rujuk kepada kitab-kitab fekah terdahulu, secara ringkasnya, Dar al-Islam mempunyai tiga ciri utama; pertama; kekuasaan politik berada di tangan kaum Muslimin sekalipun majoriti rakyat bukan Muslim.
Kedua; zahir padanya hukum dan syiar Islam sekalipun tidak sempurna ataupun sebahagian sahaja seperti hukum hakam kekeluargaan Islam. Zahir syiar seperti azan, Jumaat, jamaah solat, Ramadan dan lain-lain.
Ketiga; kaum Muslimin aman beramal dengan agama mereka sementara ahl-zimmah (rakyat non-Muslim) aman berdasarkan perjanjian mereka. (Dr Yusuf Al-Qaradawi, Fiqh al-Jihad, 2/889. Kaherah: Maktabah Wahbah).
Adapun soal sejauh manakah komitmen Islam seseorang pemerintah itu, ia diuruskan oleh umat Islam di bawah tanggung jawab menasihati pemerintah iaitu Amar Makruf dan Nahy Munkar.
Apabila negara-negara membentuk nation state, para pemerintah Muslim ramai yang mewarisi atau meneladani penjajah dalam menguruskan negara, maka istilah Daulah Islamiyyah ataupun Islamic State ataupun negara Islam muncul dan dikembangkan.
Namun, istilah ini kelihatan akhirnya agak sukar untuk mendefinasikan. Ini disebabkan negara baru yang dibentuk selepas penjajahan masih lagi mengikut acuan penjajah namun pemerintahannya berada di tangan umat Islam.
Sebagai bantahan, ada mereka yang melebelkan negara yang diperintah oleh umat Islam pasca penjajah sebagai ‘negara kafir’. Ertinya, mereka melebelkan Dar Islam yang diistilah oleh Sarjana Fekah silam sebagai Dar al-Kufr atau Dar al-Harb yang diperangi atau dimusuhi.
Ini disebabkan kecelaruan identiti negara Islam yang baru muncul dan penilaian siyasah umat Islam itu sendiri yang masih di peringkat awal. Dalam kalangan pengkaji dan sarjana seperti Fazlur Rahman menganggap bahawa adaptasi ini sebenarnya lebih mirip kepada apa yang dilakukan oleh Khawarij dalam sejarah awal krisis antara umat Islam. (Sila lihat: Fazlur Rahman, Revival And Reform in Islam 33-43, England: Oneworld Publications).
Cari definasi
Mencari definasi yang tersendiri bagi istilah Daulah Islamiyyah memang agak sukar disebabkan kitab-kitab fekah lama tidak menggunakan istilah tersebut dan sudah pasti tiada takrifan baginya. Jika memakai penafsiran silam Dar al-Islam yang memberi maksud wilayah yang dikuasai oleh umat Islam, maka hendaklah diiktiraf negara-negara umat Islam sekarang adalah daulah Islamiyyah.
Maka, ada pula yang enggan pengiktirafan itu dibuat disebabkan zahirnya unsur-unsur yang bercanggahan dengan Islam. Jika dipakai takrif lain yang dibuat oleh sesetengah sarjana silam iaitu negara yang zahir padanya syiar Islam seperti azan, solat dan amalan-amalan Islam yang lain, sudah pasti kebanyakan negara umat Islam hari ini diiktiraf sebagai daulah Islamiyyah.
Ada yang agak tegas enggan juga mengiktiraf hal itu. Lalu ada yang menyatakan negara Islam atau daulah Islamiyyah itu adalah negara yang sempurna perlaksanaan Islamnya. Jika takrif ini dipakai, sudah pasti tidak ditemui dalam sejarah umat Islam melainkan beberapa khalifah sahaja, selepas al-Khaulafa al-Rasyidin.
Akhirnya, ada yang seakan menetapkan negara Islam adalah negara yang melaksanakan hudud. Lalu wujud dalam kalangan umat Islam yang apabila disebut negara Islam terbayang kepada mereka ‘pencuri dipotong tangan’, penzina disebat atau direjam dengan batu, peminum arak disebat dan seterusnya. Wajah negara Islam atau negara yang ditegakkan oleh Rasulullah SAW itu terbelenggu dengan gambaran darah, kesakitan, tangisan dan wajah bengis para pemimpinnya.
Hakikatnya, jika menurut takrifan fekah, negara Malaysia adalah Dar al-Islam seperti yang ditakrifkan oleh para ulama silam. Bahkan berasas fekah ini, Dr Yusuf al-Qaradawi juga menyimpulkan bahawa keseluruhan negara umat Islam yang wujud pada hari ini adalah Dar al-Islam.
Sementara kesemua negara bukan Dar al-Islam yang berada di bawah Bangsa-Bangsa Bersatu adalah Dar al-‘Ahd termasuk Amerika. Hanya dikategori sebagai Dar al-Harb pada masa ini ialah negara Zionis Israel disebabkan kerana permusuhan yang zahir dan berterusan dengan umat Islam. (lihat: Al-Qaradawi, Fiqh al-Jihad, ms 888-908. Kaherah: Maktabah Wahbah).
Intipati terpenting
Apapun sebenarnya, perbalahan pasal takrif ini kadang-kala lebih banyak membuang masa daripada realiti yang patut kita tangani. Negara seperti Malaysia tidak akan masuk syurga ataupun neraka. Mereka yang akan dihadapkan di “Mahkamah Masyar” di hadapan Allah pada Hari Kiamat ialah mereka yang menguruskan negara atas apa nama sekalipun.
Jika mereka amanah dan adil seperti yang Allah perintahkan maka mereka akan selamat. Jika mereka khianat dan zalim mereka tidak selamat walau apa jenama negara sekalipun. Raja Najasyi Habsyah bernama Ashamah bin Abjar beriman dengan Nabi SAW tetapi beliau mengepalai kerajaan Kristian Habsyah.
Beliau tidak mampu mengubah kerajaannya, tetapi mampu melindungi sahabah-sahabah yang berhijrah mencari perlindungan di Habsyah dan menegakkan asas-asas keadilan untuk rakyatnya. Nabi SAW berutus surat dengan Najasyi, tetapi baginda tidak memerintahkan Najasyi meninggalkan kerajaannya. Nabi memujinya, sekalipun beliau mati di Habsyah ketika mentadbir sebuah kerajaan Kristian.
Sabda Nabi SAW “Telah mati pada hari ini seorang lelaki soleh. Bangunlah dan bersolatlah ke atas saudara kamu Ashamah (nama Najasyi)”. (Riwayat al-Bukhari).
Nabi Yusuf AS pula pernah menjadi menteri dalam sebuah kerajaan yang pemerintah tidak beriman kepada Allah namun Nabi Yusuf mampu menegakkan keadilan.
Tapi, jika mentadbir negara bernama Islam sekalipun namun zalim dan khianat, tempatnya tetap di neraka. Sabda Nabi SAW: “Allah tidak lantik seseorang hamba itu menguasai sesuatu rakyat kemudian hamba itu mati dalam keadaan dia menipu rakyatnya, melainkan Allah haramkan untuknya syurga” (Riwayat Muslim).
Ertinya, yang penting nilai Islam itu mestilah terus diterapkan oleh pentabir dalam negara ini untuk mencapai erti amanah dan adil bukan sekadar bergantung kepada takrif negara semata-mata. – 20 Jun, 2014.
* Ini adalah pendapat peribadi penulis dan tidak semestinya mewakili pandangan The Malaysian Insider.
Comments
Please refrain from nicknames or comments of a racist, sexist, personal, vulgar or derogatory nature, or you may risk being blocked from commenting in our website. We encourage commenters to use their real names as their username. As comments are moderated, they may not appear immediately or even on the same day you posted them. We also reserve the right to delete off-topic comments