Opinion

Beberapa isu hukum semasa berpuasa (1)

Menjelang Ramadan banyak hukum hakam yang sering dibangkit berkaitan puasa. Di sini saya senaraikan sebahagian jawapan saya terhadap beberapa isu hukum berkaitan puasa. Pandangan yang dipilih adalah yang saya yakini lebih mendekati maksud nas dan sifat Islam yang rahmat.

Bila habis waktu sahur?

Ada orang yang bersahur terlalu awal sedang waktu subuh masih beberapa jam lagi. Ini tidak menepati amalan Nabi Muhammad. Baginda Nabi melewatkan bersahur sehingga tinggal baki beberapa minit sebelum masuk waktu subuh. Kata Zaid bin Thabit:"Kami bersahur bersama Rasulullah, kemudian terus pergi untuk bersolat (Subuh)". Anas bin Malik bertanya beliau:"Berapa lama antara sahur azan dan sahur tersebut?". Jawab Zaid: "Kadar 50 ayat (Al-Quran)". (Riwayat al-Bukhari dan Muslim).

Waktu sahur pula berterusan hingga masuk waktu Subuh. Selagi tidak masuk waktu Subuh seseorang masih boleh bersahur. Masuknya Subuh adalah waktu imsak (bermula puasa) yang sebenar, bukan beberapa minit sebelum itu. Ini dijelaskan oleh Nabi dalam hadis baginda. Kata isteri baginda Aishah: "Sesungguh bilal azan pada waktu malam (azan pertama Subuh, sebelum masuk waktu). Maka Rasulullah pun bersabda:"Makan dan minumlah sehingga Ibn Ummi Maktum azan, kerana beliau tidak akan azan melainkan setelah masuk waktu fajar (subuh)." (Riwayat al-Bukhari dan Muslim).

Dalam hadis Muslim pula, baginda bersabda:"Jangan kamu tersilap disebabkan azan bilal, ataupun warna putih sehinggalah kelihatan waktu fajar (sebenar)". Hal ini selaras dengan kenyataan Al-Quran: (maksudnya): "Makan dan minumlah kamu sehingga ternyata benang putih dari benang hitam dari waktu fajar, kemudian sempurnakanlah puasa sehingga waktu malam." (Surah al-Baqarah: 187).

Bolehkah mandi kerana letih puasa?

Antaranya, anggapan mandi ataupun basuh kepala apabila terlalu keletihan mengurangkan pahala puasa. Ada pula yang bertegas semasa puasa mandi selepas asar makruh. Ini tidak disokong oleh riwayat yang menunjukkan Nabi mencurahkan air ke atas kepala baginda ketika berpuasa kerana terlalu panas ataupun dahaga.

Dalam hadis sahih yang diriwayatkan oleh Imam Malik di dalam al-Mawata', Ahmad dan Abu Daud di dalam sunannya, Abu Bakar bin Abd al-Rahman meriwayatkan:”Berkata sahabat yang menceritakan kepadaku:"Aku melihat Rasulullah di al-`Arj (nama tempat) mencurahkan air ke atas kepala baginda ketika baginda berpuasa disebabkan dahaga atau panas."

Korek telinga batal puasa?

Antara anggapan lain ialah menyatakan semasa puasa tidak boleh memasukkan apa-apa benda ke dalam mata, telinga dan mulut, sekalipun bukan makanan dan minuman. Ini menyebabkan mereka yang gatal telinga ataupun hidung menderita sepanjang hari berpuasa. Ia berlawanan dengan sifat Islam yang mudah. Ada yang melarang bercelak kerana bimbang masuk ke dalam rongga. Pegangan ini asalkan berasas riwayat kenyataan Ibn 'Abbas:"Membatalkan puasa itu apa yang masuk, bukan apa yang keluar." (riwayat Ibn Abi Syaibah, sahih). Namun, itu merupakan ulasan Ibnu 'Abbas kepada mereka yang berbekam bagi menunjukkan ia tidak membatalkan puasa.

'Apa yang masuk' bermaksud makanan ataupun minuman ataupun yang mempunyai fungsi yang sama seperti makanan dan minuman yang masuk ke dalam jasad. Jika sekadar alatan tertentu maka ia tidak termasuk dalam maksud ini. Jika tidak mereka yang memasukkan berus gigi ataupun kayu sugi ke dalam mulut, ataupun berkumur semasa puasa tentu dianggap batal.

Syeikhul Islam Ibn Taimiyyah (meninggal 728H) dalam Majmu al-Fatwa, setelah menyebut tentang khilaf ulama, beliau menjelaskan puasa merupakan amalan setiap umat Islam. Jika perbuatan seperti bercelak yang memang diamalkan secara meluas semasa zaman Nabi itu membatalkan puasa, tentu baginda akan menerangkannya. Juga tentu para sahabat akan bertanya mengenainya. Namun, apabila tiada hadis sahih tentang hal itu, maka menunjukkan memakai celak tidak membatalkan puasa. Demikian juga tentang mencium wangian, menyapu minyak di badan dan seumpamanya.

Maka menggunakan eye drops yang sedikit dan tidak menyebabkan ia mengalir ke kerongkong dan seterusnya adalah dibolehkan. Demikian juga memakai minyak rambut dan minyak urut sekalipun sifat minyak itu mudah meresap ke dalam kulit.

Sahkah puasa orang terlewat mandi wajib?

Antara lain ialah menganggap tidak sah puasa mereka yang belum mandi junub sedangkan waktu subuh sudah masuk. Ini berkaitan seseorang yang bersetubuh dengan isterinya, ataupun keluar air mani tetapi belum mandi junub sehingga masuk waktu subuh iaitu waktu berpuasa. Ertinya ketika dia mandi wajib, waktu subuh sudah masuk.  Sah atau tidak puasa orang seperti ini?

Jawapannya, dalam hadis yang diriwayatkan oleh 'Aishah dan Ummu Salamah Nabi pada waktu pagi (subuh) dalam keadaan berjunub sedangkan baginda berpuasa. Baginda berpuasa dan tidak berbuka (disebabkan hal itu)." (Riwayat al-Bukhari).

Maka, sesiapa yang terlewat mandi wajib sehingga masuk waktu subuh masih sah puasanya pada hari berkenaan.

Muntah dan termuntah masa puasa?

Ada yang menyatakan sesiapa yang termuntah maka batal puasa. Sebenarnya, di sana ada perbezaan antara termuntah dan sengaja muntah. Dalam hadis, Nabi bersabda:"Sesiapa yang termuntah tidak wajib qada (ganti puasa). Sesiapa yang sengaja muntah, hendaklah dia qada." (Riwayat al-Tirmizi, Abu Daud, Ibn Jarud dan Ibn Hibban).

Maka sesiapa yang termuntah kerana tidak tahan dengan sesuatu bau ataupun mabuk perjalanan tidak wajib qada kerana puasanya sah. Sesiapa yang memaksa diri untuk muntah maka dia wajib menggantikan puasanya.

Hukum berus gigi masa puasa?

Islam menggalakkan bersugi (berus gigi) kerana ia mengelakkan bau busuk mulut seseorang. Bahkan, kalaulah tidak menjadi beban kepada umat ini sudah pasti kita diwajibkan bersugi lima kali sehari. Ini seperti sabda Nabi:"Jika tidak kerana bimbangkan membebankan umatku nescaya akan aku perintahkan mereka bersugi setiap kali waktu solat." (Riwayat al-Bukhari dan Muslim).

Apabila kita berpuasa, bau mulut kita menjadi kuat. Ini sesuatu yang sukar dielakkan. Allah tahu hakikat tersebut. Allah maha tahu bau tersebut terhasil kerana kita tidak makan dan minum sepanjang hari kerana-Nya. Justeru itu, Nabi bersabda:"Bau busuk mulut orang yang berpuasa itu lebih harum di sisi Allah daripada haruman kasturi." (Riwayat al-Bukhari dan Muslim).

Namun ini tidaklah bererti orang yang berpuasa itu disuruh untuk membiarkan orang lain mencium bau busuk mulutnya. Itu akan menyakiti orang lain. Apatah lagi di zaman kini yang mana kita bekerja di tempat awam, ataupun membabit ramai orang di sekeliling. Tambahan lagi, jika terdapat mereka yang bukan Islam, tentu akan menimbulkan rasa tidak selesa terhadap orang Islam yang berpuasa pada bulan Ramadan ataupun boleh menghilangkan gambaran keindahan Islam.

Maka pendapat yang menyuruh kita membiarkan bau busuk mulut semasa berpuasa tidak begitu kukuh daripada segi sifat semulajadi ataupun neutrality agama ini. Dengan menghormati perbezaan pendapat, namun realiti kehidupan yang mesra menolak pandangan tersebut. Ini ditambah dengan hadis yang seakan menggalakkan untuk seseorang yang berpuasa mengekalkan bau mulutnya itu adalah lemah daripada segi riwayat.

Tidak kukuh untuk disandarkan kepada Nabi seperti yang dinyatakan oleh al-Imam Al-Mubarakfuri dalam Tuhfat al-Ahwazi. Maka tidak boleh menjadi hujah. Apatah lagi bertentang dengan sifat Islam itu sendiri. Hadis yang menggalakkan kebersihan dan juga bersugi adalah umum merangkumi setiap waktu termasuk bulan Ramadan.

Antara hadis yang tersangat daif yang digunakan dalam bab ini ialah dikatakan Nabi bersabda:"Jika kamu berpuasa maka bersugilah pada waktu pagi dan jangan bersugi pada waktu petang.”

Ia diriwayatkan oleh al-Bazzar, at-Tabarani dan lain-lain. Namun ia terlalu daif yang tidak boleh dijadikan hujah. Di samping di sana ada hadis daif lain namun lebih kuat ataupun kurang daif daripadanya iaitu diriwayatkan 'Amir bin Rabi'ah berkata: "Aku melihat Rasulullah bersugi sedangkan beliau berpuasa." (Riwayat Ahmad, at-Tirmizi, Abu Daud dll).

Apapun galakan bersugi bagi setiap waktu solat yang diriwayatkan dalam hadis yang sahih adalah asas dalam amalan Islam. Ertinya, bersugi sentiasa digalakkan tanpa mengira sama ada puasa ataupun tidak. Nabi dalam hadis sahih yang lain menyatakan tujuan bersugi dengan menyebut:"Bersugi itu membersihkan mulut dan menjadikan Tuhan reda." (Riwayat Ahmad, an-Nasai, Ibn Hibban dll).

Sehubungan itu, jadikanlah puasa itu menzahirkan keindahan pekerti dalam perkataan dan perbuatan yang mengeratkan hubungan baik sesama masyarakat. Oleh itu, jangan jadikan bau mulut kita menimbulkan keresahan orang lain terhadap mereka yang berpuasa. Berpuasa dan bersugilah! – 3 Julai, 2014.

* Ini adalah pendapat peribadi penulis dan tidak semestinya mewakili pandangan The Malaysian Insider. 

Comments

Please refrain from nicknames or comments of a racist, sexist, personal, vulgar or derogatory nature, or you may risk being blocked from commenting in our website. We encourage commenters to use their real names as their username. As comments are moderated, they may not appear immediately or even on the same day you posted them. We also reserve the right to delete off-topic comments