Secara tegas saya ramalkan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak akan tumbang akibat 1MDB! Namun sukar hendak diramal waktunya secara persis. Lebih selamat kalau saya katakan selewat-lewatnya pada Pilihan Raya Umum ke-14 dan seawal-awalnya pada Perhimpunan Agung Umno akan datang.
Sengaja saya ambil 'liberty' atau 'kebebasan' untuk membuat congakan ini secara 'intuitif'. Ianya pendekatan 'shock therapy' bagi rakyat yang masih lena. Tetapi ia punya jalan pikiran atau hujahnya, bukan intuitif begitu saja.
Saudara boleh saja tidak bersetuju. Bagi kelompok penentang, beban bukti adalah atas saya. Namun bagi yang mempercayai 'nujum' saya ini, rumit buat saya. Saya bakal dituntut untuk 'tunaikan' semacam 'janji' ini, walaupun saya tidak pernah berjanji. Sekadar ramalan.
Saya lebih senangi kelompok ketiga yang tunggu dan lihat. Mungkin saja kelompok ini akan berubah sikap setelah membaca penghujahan nanti. Najib sendiri mungkin terkesan. Nah dengan itu beliau mungkin saja menyelamat dirinya daripada kesudahan ini. Maka ramalan Najib akan tumbang ini, adalah penyebab yang tidak menumbangkan dirinya. Satu paradoks juga. Mari kita mulakan. Penulisan ini hanya mampu meringkas cerita yang terlalu panjang dan berliku-liku.
Serangan ahli Parlimen pembangkang mutakhir ini atas isu 1MDB nyata dilipatgandakan. Di samping ketua pembangkang, terkemuka dalam pelbagai pendedahan tentang 1MDB ialah YB Petaling Jaya Utara dan kini dibantu YB Pandan, ahli Parlimen penggal pertama. Penulis sendiri tidak lagi dapat bersuara menyokong kawan-kawannya, sekadar menulis dalam media cetak dan portal.
Mungkin Najib boleh persetankan pelbagai kritikan tajam blogger terkemuka pro-Umno. Tetapi, ketika dua tokoh Tun, juga mantan menteri kewangan, turut bersuara perihal 1MDB, dengan nada pembangkang, maka ia bakal mengundang amarah rakyat yang bukan kepalang dan 'malapetaka' buat Najib.
Tambahan, setelah bertalu-talu dipaparkan dalam beberapa siri sebuah majalah mingguan 'Bisnes dan Pelaburan' yang terkemuka di tanah air iaitu 'The Edge', maka Najib bakal sengkak dan terjerut juga sudahnya.
Dengan rentetan ini meramalkan 'karier politik' bakal berakhir, tidak memerlukan seorang 'pundit politik'. Pun begitu akan ada yang kata saya keterlaluan.
1MDB adalah sebuah 'dana kekayaan negara' atau 'sovereign wealth fund' kedua selepas Khazanah Nasional Berhad. Kedua-dua dimiliki 100% oleh Kementerian Kewangan. Kedua-duanya mempunyai misi korporatnya sebagai 'rakan strategik kerajaan bagi membantu menjana ekonomi berpendapatan tinggi, mapan dan inklusif'. Persamaan dua dana ini hanya terhenti di situ.
Di segi tadbir urus kewangan dan prestasinya ia sangat berbeza. 1MDB adalah sangat 'opaque' dan 'tidak telus', berbeza dengan Khazanah. Penulis pernah bertanya kepada Khazanah mengapa berbeza sekali tadbir urus kedua dana ini? 'No komen' kata mereka. Pelik tapi benar.
Dana 1MDB (seperti Khazanah) adalah langsung di bawah kelolaan PM selaku menteri kewangan. Sejak penubuhannya, 1MDB tidak putus-putus mengundang kontroversi pada setiap pelaburan dan perolehan. Mengapa begitu sekali menteri kewangan?
Nah, dengan tidak mengulangi apa yang pernah juga saya tulis (rujuk '1-MDB: Rakyat tuntut ketelusan pengurusan dana rakyat' - Harakahdaily dan 'All 1MDB has to show is mountain of debt? - Malaysiakini) pertikaian kali ini tertumpu sekitar isu 'surat sokongan'.
Sedikit kemas kini, 1MDB sebenarnya sudah 4 tahun menanggung kerugian kalau tidak kerana 'penilaian semula asets' yang memberi 'keuntungan atas kertas' (paper profits). Dengan tidak ada 'revaluation' dana pemegang saham atau 'shareholders' funds' pada hakikatnya ialah negatif RM4.7 bilion.
Kerana hutang besar tahun kewangan 2014, 1MDB gagal menunjukkan keuntungan walaupun dengan 'penilaian semula asset'. 'Revaluation' aset dibuat sehingga ke paras RM896.8 bilion, tetap 1MDB untuk tahun kewangan 2014 (FY2014) menanggung kerugian sebanyak RM665.36 bilion!
Masalah besar dengan 'keuntungan atas kertas' atau 'paper profits' dengan revaluation ini ialah ia tidak menghasilkan 'cash-flow' atau 'pendapatan'. Para analisis meramalkan kadar pulangan pelaburannya masih tidak mencukupi untuk membayar kos pinjamannya.
Anggaran kos pinjaman (kadar faedah) 1MDB bukan serendah 3.8% kalau setaraf dengan MGS (Sekuriti Kerajaan Malaysia) tetapi lebih tinggi antara 5.73% ke 7.61% tergantung kepada apa yang dilakukan secara 'kreatif' oleh penasihat kewangan 1MDB. Ini parah buat 1MDB!
Dalam kemelut mutakhir ini, Najib hanya bersedia mengakui kerajaannya hanya menjamin pinjaman sukuk 1MDB bagi jumlah RM5.8 bilion (AS$1.75 bilion) ketika hutangnya berjumlah RM36.25 bilion. Perkara ini disahkan Timbalan Menteri Kewangan Datuk Ahmad Maslan di Parlimen pada baru-baru ini.
Pertikaian menjadi lebih sengit ketika Najib dan disokong Ahmad pada November 6 lalu di Parlimen, menafikan kerajaan tidak menjamin pinjaman selain RM5.8 bilion tadi.
YB PJ Utara bersama YB Pandan seperti didakwa Dr Mahathir Mohamad dan kini juga didedahkan oleh majalah The Edge, mempertikaikan penafian yang dibuat pentadbiran Najib.
Jelasnya daripada Surat Sokongan (Letter of Support) bertarikh 14 Mac 2013, yang dikeluarkan untuk 1MDB sebagai penerbit (issuer), meskipun ia bukan satu Surat Jaminan, tetapi tertera secara jelas dalam para 3(b)..seandainya 1MDB gagal untuk membayar atas apa jua sebab……maka kerajaan Malaysia akan masuk (step-in) untuk menyuntik (inject) sejumlah dana (the necessary capital) bagi melunaskan tanggungjawab penerbit (issuer) yakni 1MDB kepada mereka yang memberi Hutang (Debt) tersebut.
Tegasnya, kalau pun Surat Jaminan (Guarantee Letter) tidak diberikan kepada 1MDB dalam pinjaman kali ini iaitu AS$3bilion atau RM9.6 bilion oleh kerajaan Najib, jelasnya Surat Sokongan tersebut dalam keadaan di mana 1MDB gagal membayar ansuran hutang mereka, maka kerajaan Persekutuan akan terpaksa campur tangan serta menyuntik dana untuk mereka membayar hutang terebut. Ini pastinya adalah satu proses 'bailout' atau 'Menyelamat' 1MDB.
Ya, terlalu banyak yang menjadi tanda tanya perihal urus tadbir 1MDB ini termasuk bayaran yuran terlalu mahal kepada pihak Goldman Sachs dan pelaburan berisiko tinggi di Cayman Island.
Ketika rakyat diperah untuk mendapat hasil pendapatan dengan cukai dan penarikan subsidi, membantu mengatasi defisit fiskal dan hutang kerajaan, Najib mengizinkan 1MDB berbelanja besar mengundang risiko hutang tak berbayar atau 'corporate debt default' ke paras 'Tipping Point' yang bakal melanda kerajaan Persekutuan.
Seandainya Najib gagal bertindak maka beliau memilih untuk dihukum rakyat dalam PRU14 akan datang. Lebih malang dan menyakitkan lagi buat Najib, war-lords dan mantan Tun dalam Umno sendiri yang akan mengambil langkah 'intervensi' menyelamatkan parti mereka.
Daripada segi itu, nasib Najib akan sama seperti 'boss' yang disingkirkannya. – 17 November, 2014.
* Ini adalah pendapat peribadi penulis dan tidak semestinya mewakili pandangan The Malaysian Insider.
Comments
Please refrain from nicknames or comments of a racist, sexist, personal, vulgar or derogatory nature, or you may risk being blocked from commenting in our website. We encourage commenters to use their real names as their username. As comments are moderated, they may not appear immediately or even on the same day you posted them. We also reserve the right to delete off-topic comments