Opinion

Adakah kelembutan kes Mesir kerana Obama mahu datang?

Benar bahawa Presiden Barack Obama dijadualkan akan membuat lawatan ke Malaysia untuk bersama di ‘Fourth Global Entrepreneurship Conference’ setelah selesai sidang Kemuncak Asean di Brunei, pada bulan 11 Oktober ini.

Benar, inilah kali pertama selepas 47 tahun, seorang Presiden Amerika Syarikat bakal membuat kunjungan ke negara ini. Kali terakhir seorang Presiden Amerika membuat kunjungan ke Malaysia adalah pada tahun 1966 yakni Presiden Lyndon Johnson.

Tentunya lawatan ini menjanjikan pelbagai ruang keemasan bagi Perdana Menteri DS Najib Tun Razak menjalinkan hubungan lebih baik dengan Negara kuasa dunia unipolar itu. Paling mutakhir yang menjadi agenda utama pastinya berkisar di sekitar Perjanjian Perkongsian Trans-Pasifik atau TPPA.

Pentadbiran Najib sangat berhajat untuk mengambil kesempatan lawatan ini bagi memperbaikki pelbagai hubungan dengan ekonomi terbesar dunia ini meskipun Amerika tidak bebas dari kemelut ekonomi serta krisis kewangannya sendiri.

Sementara itu, adalah cukup menasabah segala yang dihajatkan oleh Najib dan Umno serta kerajaan Barisan Nasional akan kunjungan Presiden Obama, seluruh Ummat Islam di negara ini khasnya dan rakyat Malaysia amnya, masih bingung dan pelik memikirkan mengapa Malaysia sehingga kini masih sepi dari memulakan tindakan yang lebih serius dalam pembunuhan kejam rakyat awam dalam pergolakan di Mesir.

Najib dan kerajaan Umno-BN mesti mengambil kira akan hancur luluh dan pilunya hati Ummat Islam di negara ini, ketika kerajaan ini lewat mewakili suara hati nurani mereka menyaksikan ribuan saudara seIslam mereka dibunuh dan cedera parah diperlakukan keparas tidak berperikemanusiaan bukan sahaja di Dataran Raba’ah, Nahdah, di Masjid Al-Fath, Ramsis dan terkini di bunuh dalam tahanan.

Sementara Ummat dan rakyat seluruhnya boleh memahami kepentingan kunjungan Presiden Obama, namum ummat Islam dan rakyat di Malaysia mahukan paling tidaknya kerajaan Malaysia rakamkan segera kecaman dan bantahan tegas Negara ini terhadap pembunuhan rakyat Mesir secara kejam itu.

Kekejaman di Mesir perlukan tindakan tegas dari pemimpin dunia termasuk Malaysia. 24 Ogos, 2013.Kekejaman di Mesir perlukan tindakan tegas dari pemimpin dunia termasuk Malaysia. 24 Ogos, 2013.Tidak dapat tidak wujud semacam tanggapan rakyat bahawa kerajaan Malaysia takut menyatakan kecaman kerana takut bertentangan dengan pendirian Amerika Syarikat yang selesa dengan sikap ‘berkecuali’. Ataukah kita takut kehilangan ‘goodwill’ dalam perhubungan dengan Amerika atau atas perhitungan risiko politik dan ekonomi yang mungkin terjejas dalam hal perjanjian TPPA, meletakkan kerajaan Najib Umno-BN juga bertindak ‘berkecuali’ serta enggan mengutuk penggulingan sebuah kerajaan demokratik melalui satu rampasan kuasa tentera atau ‘military coup detat’. Mengutuk pembunuhan dengan tidak langsung mempedulikan yang melakukan pembunuhan adalah sangat pelik dan membingungkan. Sangat malang kalau pendirian ini berterusan diambil kerajaan Malaysia!

Sememangnya diakui bahawa situasi di Mesir adalah rumit dan sangat kompleks serta memerlukan langkah-langkah rundingan yang berdiplomasi tinggi dan cermat. Tidak ada siapa yang menafikan kedudukan tersebut.

Namun sikap ‘berkecuali’ tidak bermaksud Malaysia sebagai Negara Ummat Islam yang dihormati tidak boleh melakukan sesuatu yang juga adalah anjuran Al-Quran dan ajaran Islam supaya jangan sampai dilihat sebagai Negara yang tidak punya wibawa. Mungkin sahaja kita akan berakhir dengan tidak ada langsung tindakan!

Bukan untuk disuruh ‘berpihak’ atau ‘partisan’ – menyokong atau menentang Morsi atau tentera’- yang dituntut rakyat, tetapi untuk bertindak dan disaksikan bertindak dengan wibawa, diplomasi dan ketegasan menghalang pembunuhan dan tragedi lebih dahsyat lagi. Itu isu dan cabarannya.

Sumber-sumber diplomatik asing yang menjalankan beberapa usaha rundingan jelas membuktikan bahawa ketegasan adalah diperlukan dalam menangani konflik dan pergolakan di Mesir ini. Cebisan dari rentetan rundingan oleh beberapa wakil pihak duta-duta  asing jelas mengisyaratkan bahawa pihak kepimpinan tentera adalah sangat angkuh.

Wakil Kesatuan Eropah (EU), Bernardino Leon, yang bersama dengan Timbalan Setiausaha Negara Amerika Syarikat, William Burns, melaporkan kepada Reuters bahawa setelah satu kata sepakat dicapai bersama pimpinan Morsi dan Ikhwan Muslimin, pihak pimpinan tentera sengaja melanggari dan tidak mahu mengiktirafinya.

Tindakan Timbalan Presiden Muhamad Al-Baradei meletakkan jawatannya atas keganasan pihak tentera membunuh orang awam adalah sangat jelas bahawa pihak Jeneral Abdul Fattah As-Sisi tidak lagi bersedia untuk memberi laluan kepada diplomasi dan hak demokrasi kepada rakyat Mesir.

Kelewatan Najib untuk bertindak mengutuk keganasan pihak tentera membunuh serta mencedera pihak awam juga adalah amat dikesali sekaligus memberi persepsi bahawa Negara ini hampir sebaris dengan sekutu-kutu Amerika seperti Saudia Arabia, Jordan serta kuncu-kuncunya yang ditanggapi umum sebagai menyebelahi kepentingan Barat.

Bagi mendapatkan satu pendirian yang lebih mantap dan bersifat bi-partisan adalah paling wajar bagi Perdana Menteri Najib untuk mendakan Sidang Khas Parlimen seperti yang kini diminta oleh kedua-dua pihak Pakatan Rakyat dan Barisan Nasional. Kes Palestin tetap menjadi contoh rakaman sejarah bahawa Parlimen Malaysia mampu mencapai kata sepakat dalam isu merentasi semua.

Sidang Khas Parlimen sepatutnya bertujuan menyeragamkan tindakan kerajaan Malaysia yang disepakati semua supaya menyusun langkah-langkah yang dianggap wajar dan bersesuaian, antara lain, termasuk menghantar wakil atau ‘envoy’ kita ke Mesir untuk berunding bagi mencapai penyelesaian menang-menang serta berhenti membunuh orang awam.

Ummat Islam di negara ini juga mahu menuntut supaya Perdana Menteri Najib dan kerajaan Umno-BN dan Parlimen Malaysia segera menggerakkan serta mendesak negara-negara Ummat Islam atas platform Pertubuhan Persidangan Negara-negara Islam (OIC) dan mengambil inisiatif politik dan diplomasi menggesa Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) supaya bertindak segera terhadap jenayah pembunuhan beramai atau ‘massacre and genocide’ di Kaherah.

Najib wajar diberikan peringatan bahawa beliau mesti lebih prihatin, tegas dan tuntas dalam bertindak mempertahankan maruah negara dan martabat ummat Islam. Bertindak di peringkat antarabangsa dalam kes Mesir ini adalah sangat dihajati ummat dan rakyat di Negara ini. Kini kewibawaan PM Najib dan Malaysia adalah sangat diperlukan bagi menggerakkan Lembaga Keselamatan (SC) Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) atas tuduhan jenayah pihak tentera Mesir ke atas kemanusiaan yakni rakyat Mesir ke Mahkamah Jenayah Antarabangsa (ICC).

Ia sekaligus menaikkan imej, kredibiliti dan wibawa negara. Retorik pimpinan negara tentang apa jua pergolakan samada di peringkat nasional dan antarbangsa, lebih bermakna serta berbisa ketika tindakan pimpinan dan kata-kata selari dan sejajar.

Dalam kebrentakan demokrasi dan tragedi pembunuhan di Mesir ini, Najib dan Umno sekali lagi gagal dan mendukacitakan. - 24 Ogos, 2013.

 

* Dzulkefly Ahmad adalah Pengarah Eksekutif Pusat Penyelidikan PAS Pusat.

* Ini adalah pendapat peribadi penulis dan tidak semestinya mewakili pandangan The Malaysian Insider.

Comments

Please refrain from nicknames or comments of a racist, sexist, personal, vulgar or derogatory nature, or you may risk being blocked from commenting in our website. We encourage commenters to use their real names as their username. As comments are moderated, they may not appear immediately or even on the same day you posted them. We also reserve the right to delete off-topic comments