Opinion

Debat 1MDB Tony-Arul: Rakyat yang menang!

Pada pandangan umum Arul Kanda Kandasamy, CEO 1Malaysia Development Berhad (1MDB) semacam berjaya dan hebat dalam wawancara Bernama, 29 November yang lalu.

Hakikatnya tidaklah seperti ditanggapi umum.

Teruja dengan “kejayaan”nya itu, Arul kini lebih berani untuk berdepan dengan Tony Pua, Ahli Parlimen Petaling Jaya Utara, untuk berdebat tentang 1MDB. Tony seperti umum diketahui adalah MP yang paling lantang mengkritik 1MDB.

Kononnya dia petah berdebat. Penulis lebih meyakini Tony yang lebih tajam dan pintar hal kewangan.

Arul berpeluang membersihkan nama baik 1MDB lantas mengaibkan Tony. Sebaliknya jika Arul kalah dan dimalukan Tony, bermakna Najib juga turut diaibkan.

Hilang maruah dan “legitimaci” untuk kekal sebagai PM.  Sangat besar “stake” dan risiko yang dipikul kedua-dua peribadi ini.

Apa pun, tulisan ini sekadar mengingatkan banyak persoalan yang Arul sengaja kesampingkan.

Sememangnya, pelbagai skandal (misalnya PKFZ, Perwaja, Transmile, dan National Feedlot Corporation), memakan masa yang panjang untuk terungkai, hanya mereka yang berstamina dan mempunyai ingatan yang kuat dapat mengikuti perkembangan sampai ke hujung.

Yang lain tenggelam. Itu modus operandi mereka.

Sebagai contoh, dalam kes 1MDB mereka ambil peluang untuk "deflect" tumpuan dengan kes "Xavier Justo".

Mereka cuba "discredit" pelbagai dakwaan tentang 1MDB, menggunakan cerita Justo... Alahai.

Arul berkerja dengan 1MDB bermula Januari 2015. Beliau seharusnya menumpukan usaha untuk memulihkan syarikat pelaburan strategik milik kerajaan itu yang aset-asetnya gagal menjana "cashflow" untuk melunaskan RM42 bilion hutangnya.

Tetapi, tampak Arul lebih berminat untuk "berpolitik", menjadi pembela pihak "tertuduh".

Apa pun berlaku seterusnya hanya berkisar kepada persoalan isu usahasama dengan PetroSaudi.

Tidak ada soalan urusniaga hartanah dan sektor tenaga, yang juga sarat dengan pelbagai "skandal" dan dakwaan "salah-laku".

Mengimbas kisah yang berlaku. Syarikat usahasama 1MDB dan PetroSaudi Holdings Ltd (Cayman Island) didaftarkan di Cayman Island pada 18 September 2009.

Pada 28 September 2009, sebuah perjanjian usahasama ditandatangani  pihak terlibat dan pada 30 September satu kenyataan akhbar dikeluarkan, mengisytiharkan terbentuknya satu era baru kerjasama Malaysia dan Saudi Arabia, seolah-olah syarikat ini adalah milik kerajaan Saudi.

PetroSaudi memegang 60% ekuiti atau saham syarikat usahasama itu, 1MDB pula memiliki baki 40%.1MDB membayar ekuiti mereka dengan suntikan tunai AS$1 bilion (RM4.2 bilion).  PetroSaudi sebaliknya tidak memberikan suntikan "cash" dan sepatutnya membayar dengan menyuntik aset yang bernilai AS$1.5 bilion.

Malangnya, aset yang didakwa dimiliki PetroSaudi itu menjadi tanda tanya.

Ternyata aset yang didakwa "dimiliknya", sebenarnya milik Buried Hill, sebuah syarikat tenaga Kanada yang sebelum ini memeterai usahasama dengan PetroSaudi.

Namun aset yang bernilai AS$1.5 bilion di medan minyak di Laut Caspian itu, gagal digunakan PetroSaudi kerana perjanjian tersebut tamat sebaik sahaja termeterai perjanjian PetroSaudi-1MDB.

Apakah satu wayang sahaja. Ajaib.

Lebih pelik lagi, siasatan mendapati syarikat usahasama yang ditubuhkan dan didaftarkan pada 18 September 2009 itu, sudah “berhutang” sebanyak AS$700 juta dari PetroSaudi Holding sendiri selepas 7 hari iaitu pada 25 September.

Walaupun perjanjian usahasama dibuat pada 28 September,  entiti usahasama itu, sudahpun berhutang kepada PetroSaudi, dan pada hari berikutnya, 29 September, PetroSaudi menulis surat kepada syarikat usahasama untuk menuntut bayaran “hutang” atau “loan repayment” sebanyak AS$700juta. Hebat 1MDB berniaga.

Persoalan yang semua ingin tahu ialah ,apa perlu PetroSaudi memberi pinjaman kepada syarikat usahasama, secara tergesa-gesa 3 hari sebelum perjanjian dimeterai pada 25 September dan kemudian pada 29 September, menuntut hutang daripada syarikat usahasama tersebut?

Lebih membingungkan, dokumen hasil siasatan mendapati dana sebanyak AS$700 juta (RM2.6 bilion) yang disebutkan sebagai “bayaran balik pinjaman” kepada PetroSaudi Holding itu, disalurkan kepada satu akaun di “Swiss Bank” di atas nama sebuah syarikat bernama “Good Star Limited", yang dimiliki dan dikawal Jho Low.

Apakah itu tujuan hantaran dana keluar 1MDB yag dilulus Bank Negara Malaysia (BNM)?

Arul perlu membuat penjelasan apakah kesemua urusniaga pelaburan bersama PetroSaudi itu diluluskan dan diketahui  Lembaga Pelaburan dan Penasihat 1MDB?

Apakah punca pihak BNM menarik balik kelulusan yang diberikan kepada 1MDB?

BNM membatalkan tiga kebenaran yang diberikan kepada 1MDB di bawah Akta Kawalan Pertukaran 1953 (ECA) untuk pelaburan luar negara berjumlah AS$1.83 bilion (kira-kira RM7.5 bilion pada kadar pertukaran semasa)?

Mengapakah BNM mengeluarkan arahan di bawah Akta Perkhidmatan Kewangan 2013 (FSA) kepada 1MDB untuk menghantar balik sejumlah AS$1.83 bilion (AS$1bilion dan ditambah AS$830 juta ) yang dibuat pada 2009 itu?

Mengapakah BNM masih menyatakan mereka berhak bertindak ke atas 1MDB atas kuasa peruntukan FSA? (dulunya BAFIA yang sangat digeruni penjenayah dalam sektor kewangan).

BNM selaku "custodian kewangan" tadbir-urus kewangan negara pastinya bukan agensi yang boleh diperkotak-katikkan pihak Eksekutif. Hilang wibawa dan kebebasan bank pusat itu bererti hancur seluruhnya tata-kelola kewangan negara.

Rakyat mesti pertahankan kebebasan dan kewibawaan BNM. Cabang legislatif dan judisiari sudah lama “diperkosa” eksekutif.

Berjayakah pertemuan dua peribadi ini dianjurkan? Samada berdebat atau di mana Tony mengendalikan semacam “Hard Talk” mewawancara Arul, jelasnya, yang menang adalah Rakyat.

Rakyat mendapat pencerahan! – 3 November, 2015.

* Dr Dzulkefly Ahmad, merupakan Pengarah Strategi Parti Amanah Negara.

* Ini ialah pendapat peribadi penulis dan tidak semestinya mewakili pandangan The Malaysian Insider

Comments

Please refrain from nicknames or comments of a racist, sexist, personal, vulgar or derogatory nature, or you may risk being blocked from commenting in our website. We encourage commenters to use their real names as their username. As comments are moderated, they may not appear immediately or even on the same day you posted them. We also reserve the right to delete off-topic comments