Akhirnya Rang Undang-Undang Cukai Barangan dan Perkhidmatan (CBP-GST) diluluskan di Dewan Rakyat selepas dua kali percubaan sejak 2005 dan 2009.
Untuk ingatan umum, hujah utama pihak kerajaan persekutuan melaksanakan GST adalah bagi mengatasi kedudukan kewangan negara yang getir.
Perdana Menteri Najib Razak seperti DS Idris Jala juga, pernah menakut-nakutkan rakyat dengan risiko negara akan bankrap andainya tidak ditangani isu hutang dan defisit fiskal.
Pokoknya, Cukai Barangan dan Perkhidmatan (CBP atau GST) disarankan sebagai penyelesaian kemestian paling baik mengatasi masalah kewangan negara.
Benar bahawa GST bakal menjana pendapatan negara yang mewah. Antaranya kerana ‘Cukai Kepenggunaan’ ini adalah cukai 'pelbagai peringkat’ dalam rantaian kebakalan barangan.
Cukai ini juga dikenakan dengan tidak membezakan pendapatan (kaya atau miskin) serta umurnya (bayi atau orang tua).
Juga kerana lebih banyak barangan dan perkhidmatan dikenakan berbanding cukai lama SST.
Unjuran pendapatan adalah lebih RM20 bilion pada operasi optimanya.
Penulis mahu membedah hujah simplistik pihak kerajaan dengan lebih mendalam.
Sesungguhnya, hujah kerajaan nyata tempang dan meleset.
Diagnosis masalahnya tersasar dan preskripsi rawatannya kini bakal meninggalkan risiko yang parah mungkin maut kepada pesakit (rakyat).
Pertamanya, apakah sebabnya kerajaan BN menanggung defisit fiskal berterusan selama 16 tahun?
Mengapakah hutang kerajaan Persekutuan mencecah hampir 55% daripada KDNK yang tidak diizinkan oleh Akta Pinjaman Tempatan 1959?
Kedua-dua soalan ini mesti dijawab oleh Menteri Kewangan Najib Tun Razak secara tuntas dan penuh sedar.
Mengapakah Najib meletakkan ‘subsidi’ sebagai punca kebejatan kewangan negara? Dan mengapa penghapusan subsidi sebagai ‘preskripsi rawatan’?
Hutang kerajaan pusat bukanlah disebabkan oleh faktor ‘subsidi’ sahaja, bahkan sedikit kalau pun benar sumbangan subsidi.
Memangsakan ‘subsidi’ sebagai punca kebejatan hutang dan defisit fiskal adalah tidak tepat dan dangkal di segi analisis.
Tidak sukar dan rumit untuk memahami bahawa dalam ‘Persamaan Belanjawan’ atau ‘Budget Equation’ yang seimbang, semua ahli ekonomi tahu bahawa pendapatan = perbelanjaan.
Pendapatan kerajaan dijana melalui pelbagai cukai langsung (contoh pendapatan, korporat) dan tidak langsung (contoh eksais, cukai jualan), hasil bukan cukai (contoh sewaan, denda-hukuman) dan terimaan bukan hasil (contoh bayaran tidak dituntut).
Sementara itu ‘perbelanjaan’ terdiri daripada ‘perbelanjaan operasi’ dan ‘perbelanjaan pembangunan’ serta bayaran subsidi.
Maka jelasnya, tidak benar meletakkan semua kesalahan kepada ‘subsidi’.
Perbelanjaan yang tidak pruden, berbelanja besar semasa kedua-dua zaman mewah dan meleset, ‘tanpa kekangan’ adalah punca utama defisit dan hutang kerajaan pusat.
Daripada segi prinsip ekonomi klasikal dan juga daripada segi anjuran Al-Quran perbelanjaan Najib tidak pruden.
Berbelanja secara ‘mengepam ekonomi’ (‘pump-priming atau ‘counter-cyclical) hanya digunakan pada zaman meleset.
Ini kaedah yang dianjur oleh teori 'Keynesian’ seorang pakar ekonomi Barat yang kebetulan sama mengesahkan Al-Quran yang dianjurkan kepada Nabi Allah Yusuf (AS) ketika dilantik mentadbir ekonomi kerajaan Mesir.
Di samping itu berbelanja dengan tatakelola yang ‘tidak mengikut awlawiyyat (keutamaan), boros dan sarat dengan ketirisan dan kebocoran serta amalan kronisme adalah juga sebab utama kebejatan kewangan.
Menyelamat (bailout) syarikat kroni dan kerajaan (GLCs) menelan berbilion ringgit. Begitu juga ‘cost-overrun’ dan harga kontrak yang membelon (bloated) kerana cara runding-langsung.
Inilah yang menyebabkan kerajaan Najib-UBN meminjam dan berhutang besar!
Malangnya pentadbiran Najib terus memangsakan ‘subsidi’.
Program ‘rasionalisasi subsidi’ tanpa menghitung kesan langsung dan kesan berantai kepada rakyat khasnya golongan berpendapatan rendah-sederhana.
Tidak pula subsidi kepada Penjana Tenaga Bebas (IPP) dan pelbagai geran, ‘tax-break’ dan pengecualian cukai kepada syarikat besar termasuk utiliti (air, lebuhraya) disebut-sebut.
Ini yang dimaksukan oleh Tengku Razaleigh mantan Menteri Kewangan sebagai dosa-dosa kerajaan BN.
Najib diingatkan bahawa ‘subsidi’ wujud dalam ekonomi (welfare economy) dengan istilah ‘transfer payment’ dan dilakukan bagi mencapai matlamat ‘pengagihan semula sumber dalam sesebuah sistem pasaran atau ‘redistribution of income in a market system’ .
Kesimpulan tulisan ini bertujuan untuk mengingatkan Najib dan kerajaan UBN supaya segera melakukan reformasi dan penambahbaikan dalam tatakelola kewangan Negara.
Dalam pentadbiran Najiblah hutang berganda dua kali dan kini mencecah RM543.6 bilion.
Setiap tahun mengemukakan dua kali anggaran perbelanjaan tambahan purata RM20 bilion setahun. 75% adalah untuk kos mengurus.
Tahun hadapan unjuran inflasi oleh pakar-pakar ekonomi akan melepasi 4%. Kini CPI mencecah 3.4% dan akan berakhir setinggi 3.8% pada hujung tahun ini.
Rakyat akan terus terbeban. Barang dan kos saraan hidup akan terus meningkat.
Wahai PM Najib, meskipun berbilion RM akan dipungut dalam sistem cukai baru GST, yang menggantikan cukai lama SST, namun apa yang jelas rakyat akan dimangsakan sekali lagi.
Sementara itu sah bagai dek kata….cukai baru ini akan mencekik serta menghempit dan menhenyak rakyat sehingga… di Gasak Sampai Tertunggeng (GST)!
Maka kami akan berhimpun pada 1 Mei di Dataran Merdeka bagi menyatakan penentangan kami terhadap GST, TPPA dan BN..Barang Naik! – 9 April, 2014.
* Ini adalah pendapat peribadi penulis dan tidak semestinya mewakili pandangan The Malaysian Insider.
Comments
Please refrain from nicknames or comments of a racist, sexist, personal, vulgar or derogatory nature, or you may risk being blocked from commenting in our website. We encourage commenters to use their real names as their username. As comments are moderated, they may not appear immediately or even on the same day you posted them. We also reserve the right to delete off-topic comments