Opinion

IPO FGVH akan jadi macam IPO Facebook?

28 JUN — Meskipun kerajaan sangat berbangga dengan menyebutkan bahawa saham FGVH yang akan disenaraikan atau diapong, telah lebih dilanggan (oversubscribed) sebanyak 17 kali sebelum IPO atau pensenaraiannya hari ini, saya pernah membuat ramalan bahawa pelabur institusi (institutional investors) tidak akan mahu kekal sebagai pelabur jangka panjang khasnya kerana beberapa informasi khususnya tentang usia pokok FELDA yang akan memerlukan tanaman semua hampir lebih dari 50 peratus beserta dengan perbelanjaan kos yang besar.

Telahan saya ini semacam disahkan apabila Jurnal Wall Street (WSJ) semalam, membuat ramalan bahawa pelabur tidak mahu kekal dalam jangka waktu panjang sebab tahap pengeluaran dan unjuran pegeluaran CPOnya adalah rendah berbanding dengan pesaing-pesaingnya. FELDA adalah pengeluar CPO yang ketiga di dunia.

WSJ merakamkan pendedahan FELDA, dua hari sebelum IPOnya tentang penurunan keuntungan sebanyak 50 peratus dalam suku tahun yang pertama adalah sangat mengejutkan berbeda dengan apa yang disebutkan dalam prospectus pensenaraian FGVH. Sementara prospectus merakamkan permintaan global minyak makan dan lemak (fats) meningkat 4.2 peratus (produk utama minyak kelapa sawit), WSJ mempertikaikan bagaimana pertumbuhan yang baru dilaporkan oleh FELDA hanya mampu menunjukkan pendapatan sebanyak 1.8 peratus sahaja.

FELDA telah memberi alasan yang cukup meleset kerana menyalahkan tentang kos bayaran yang lebih untuk CPO atau minyak sawit mentahnya berbanding pesaingnya. Alasan ini diremehkan oleh Jurnal ulung itu sebagai satu kelemahan pihak pengurusan yang sepatutnya tahu tentang kedudukan pokok sawitnya.  

Maklumat seperti ini yang datang kemudian tidak dapat menyuntik keyakinan pelabur diambang pensenaraian FGVH ini seperti juga ia tidak akan menggalakkan pelabur untuk terus kekal bersama mereka mengikut ramalan WSJ itu.

FGVH adalah pensenaraian kedua terbesar selepas Facebook yang menjana US$16 bilion (RM51 bilion). Seperti juga Facebook, FGVH kini ditakuti akan mengalami nasib yang sama.

Untuk pengetahuan umum, Facebook sehingga hari ini masih mengalami kesan IPO atau pensenaraiannya yang penuh dengan kontroversi. Facebook berdepan dengan beberapa tindakan mahkamah oleh beberapa pemegang saham Facebook dan pelabur institusi yang mendakwa bahawa Facebook tidak mendedahkan kedudukan kewangannya yang sebenar dan juga membuat pendedahan secara selektif kepada beberapa pelabur akan maklumat tertentu. 

Nasdaq (Bursa Saham New York) masih bergelut dengan dakwaan atau lawsuit ini. Penanggung utama (lead arranger) dalam pensenaraian Facebook iaitu Morgan Stanley didakwa mendapat informasi kewangan yang tidak diberikan (disclosed) kepda semua pihak dalam prospecktus. Di katakan bahawa harga US$38 kekal pada berapa hari selepas IPO kerana saham-saham yang dijual dibeli saham-saham itu oleh beberapa penanggung utama seperti Goldman Sachs, JPMorgan dan Bank of America.

Saya khuatir IPO FGVH akan mengalami nasib yang sama khasnya kerana pensenaraian ini adalah lebih kontroversi lagi dari Facebook. Bayangkan apabila pemegang saham antarabangsa  tahu cerita tentang segala kontroversi perihal lantikan pengerusi, tribunal, dakwa-dakwi dan segala yang dilalui pahit maung dalam IPO FGVH ini. 

Kita perlu ingat terkadangkali ada pelabur-plabur “asing” yang lebih menitikkan-beratkan juga hal-hal moral-etika (seperti tuntutan pertumbuhan mapan-hijau, mesra alam, mesra binatang dll) dan aspek  komplian dalam peraturan menulis prospektus seperti tuntutan ketelusan atau “disclosure” seperti disaksikan dalam IPO Facebook.

Apakah semua karenah yang dilalui Facebook akan juga dilalui FGVH termasuk harga saham dan keyakinan pelabur-pemegang saham dan dakwa-dakwi mahkamah nanti? Mungkin tidak seteruk Facebook tetapi hanya Allah yang lebih tahu dan masa akan menentukan!

* The views expressed here are the personal opinion of the columnist.

Comments

Please refrain from nicknames or comments of a racist, sexist, personal, vulgar or derogatory nature, or you may risk being blocked from commenting in our website. We encourage commenters to use their real names as their username. As comments are moderated, they may not appear immediately or even on the same day you posted them. We also reserve the right to delete off-topic comments