Opinion

Liku-liku Rencana Kajang, peringatan buat pemimpin Pakatan

Penulisan ini adalah sambungan tulisan Mengapa saya sokong Rencana Kajang. Ia tidak lengkap bahkan tempang kalau tidak disusuli segera dengan penulisan ini.

Sebagai ingatan, penulis majukan Rencana Kajang (RK) daripada perspektif kerangka kerja sebuah muafakat politik. Pakatan Rakyat adalah antara hasil ijtihad PAS, dalam menyerlahkan konsep serta pengalaman muafakat politik atau Tahaaluf Siyasi sebuah gerakan Islam dalam era penglibatan demokrasi abad 21 Masehi atau 14 Hijrah.

Kejayaan PAS mengemudi bersama penglibatan ini sekali gus meninggalkan satu tanda aras atau ‘milestone’ yang signifikan dalam gerakan Islam kontemporari. PAS sangat cemburu untuk memastikan ‘tajribah’ atau ‘eksperimen’ ini berjaya.

Bagi mengingatkan pembaca kembali, penulis menyokong keharusan Rencana Kajang justeru untuk mempertahan kerajaan Selangor daripada serangan ganas lawan. Sehingga kini, pelbagai asakan dan provokasi dilancarkan sama ada di atas garis agama mahupun perkauman. Ia adalah dalam rangka prinsip 'Menolak Kemudharatan' atau “Dar ul Mafasid”.

Dengan itu juga Rencana Kajang merupakan salah satu Faktor Kritikal Kejayaan (CSF) dalam pelan strategik menawan Putrajaya. Di satu segi lain, ia adalah kelainan langkah Pakatan Rakyat dalam meneruskan perjuangannya. PR mengajak rakyat membuat pembangunan semula negara sebagai sebuah negara yang maju dan bermaruah.

Umno BN sebaliknya, ditanggapi sedang melalui era tepu dan beku, kini mengambil laluan ekstremis agama dan perkauman untuk mengekalkan relevensinya dalam persaingan PRU ke-14 ini. Umno menaruh segala pergantungan kepada penyokong tegarnya, dengan pendekatan emosi yang berteraskan ketakutan dan kegusaran satu kaum dan anutan agamanya secara sempit.

Andainya Selangor mampu dipertahankan PR dengan gandingan kekuatan pengurusan ekonomi Tan Sri Khalid Ibrahim bersama kekuatan politik Datuk Seri Anwar Ibarahim  bersama pemimpin PAS dan DAP yang lain, maka Selangor akan diperagakan sekaligus sebagai ‘the Leading State of the Federation’ atau ‘negeri contoh dan idaman’ dalam Persekutuan Malaysia.

Pencapaian cemerlang ini adalah sangat dihajatkan bagi meyakinkan rakyat di negara ini bahawa Pakatan Rakyat bersedia menawan dan memeritah Putrajaya.

Kita tekad dan berazam untuk mewujudkan keharmonian hidup di antara agama dan kaum serta mengecapi sumber kekayaan negara secara adil dan bermaruah dengan tidak dibolot secara rakus oleh segelintir manusia yang mempunyai ‘hubungan sumbang’ dengan penguasa politik.

Dengan naratif yang sebegini murni, persoalan besar yang mesti dijawab sendiri oleh pimpinan Pakatan Rakyat sekarang adalah “Apakah yang bakal menghalang usaha merealisasikan cita-cita murni ini?”

Beredar daripada huraian tentang bagaimana lawan dan seteru akan bakal mewujudkan pelbagai halangan dan rintangan, penulis mahu menumpu kepada cabaran dan ancaman yang terbit dari dalam Pakatan Rakyat sendiri.

Sudah amat jelas bagaimana seteru politik PR akan memunggah segala cara dan menggunakan segala saluran baik undang-undang mahupun institusi negara termasuk kuasa sultan untuk menghalang kejayaan murni mengukuhkan matlamat strategik Rencana Kajang ini. Itu sudah pasti!

Namun yang hendak dibicara penulis secara serius dalam ruang sempit ini adalah ‘halangan yang bakal terbit dari dalam Pakatan Rakyat” itu sendiri. Ini lebih menggusar dan menakutkan penulis. Bahkan gambaran senario yang mampu dilakar meninggalkan kekhuatiran yang bukan kepalang.

Penulis ungkapkan kemudaratan yang lebih besar sebagai satu penyebab atau penghalang yang tidak mengizinkan Rencana Kajang dilakukan, seandainya tidak mampu diuruskan dengan baik dan cermat oleh pimpinan PR.

Secara ringkasnya, isu kedudukan menteri besar selepas kemenangan dicapai di PRK Kajang adalah sangat kritikal. Penulis mengingatkan semua pimpinan Pakatan Rakyat bahawa jangan sampai kita pula yang hilang kewajaran dan kompas perjuangan ketika bertegas membuat pendirian serta ketetapan masing-masing.

Bagaimana hebat hujah kita, penulis suka untuk mengingatkan bahawa semuanya mesti dikembalikan kepada asas perhitungan “Maslahah Kully” (kepentingan keseluruhan) dalam konteks muafakat siasah PR, iaitu apakah ia mampu memenangkan matlamat strategik yang didukungi dan dikongsi bersama?

Dalam mendepani isu MB nanti, apakah pendirian kita, yang kini menjadi harapan rakyat, untuk menumbangkan kerajaan Umno BN, satu yang masih mampu dicapai?

Ataukah dalam kegelojohan tindakan kita masing-masing, akhirnya PR yang bakal tumbang dahulu, sebelum musuh dan seteru kita? Kita yang bakal terbunuh dengan pedang kita sendiri dan menembak kaki kita sendiri.

Sebelum kita bermudah menggunakan kalimat seumpama ‘kita bersedia berpatah arang’ atau ‘kita bersedia break-rank’ atau ‘kita bersedia berjuang bersendiri’, atau ‘kita kita tidak sanggup berkorban prinsip perjuangan’ walhal ‘prinsip’ yang mana yang kita maksudkan pun tidak ketentuan. 

Maka penulis minta supaya setiap seorang pemimpin bersama sahabat mereka, dalam parti komponen Pakatan Rakyat, termasuk diri ini, berfikir masak-masak, dalam-dalam dan jauh-jauh segala implikasi dan risiko tindakan.

Apakah pendirian kita masih berpijak di atas maklumat dan ilmu serta semangat menjunjung cita-cita bersama? Ataukah kita bakal dipersepsi umum sebagai dikuasai emosi dan menuruti kepentingan diri - kelompok sahaja?

Nah, tanpa perlu melakar senario kebrentakan dan krisis, memadai penulis ingatkan yang memahami “Fiqhud Siyasi” dan “Qawaid Fiqhiyyah” bahawa segala hujah yang digunakan awal tadi bagi mengharus dan mewajarkan Rencana Kajang, kini sudah jelasnya berada dalam lingkungan hukuman “La Yajus” – “Tidak Dizinkan”. Sebabnya? Amat jelas.

Apabila kita menyandarkan tindakan Rencana Kajang dengan mahu menutup pintu kemudaratan bagi perjuangan, namun pada penghujung tindakan, kita pula yang membuka pintu kemudaratan, maka ia adalah sangat dipertikaikan. Penulis sangat tidak senang untuk mengulas secara terperinci seperti kedengaran dalam ruang media sosial.

Mendengarnya sahaja sudah cukup menggusarkan. Dalam roh tuntutan berwaspada atau ‘hazar’, penulis terpaksa menyebutkan sebelum berlaku segala yang tidak diingini. Biarpun ada yang kurang senang namun ia wajar disebut. Apakah penulis sengaja menakut-nakutkan dengan pendekatan ‘alarmist’? Tentunya tidak!

Maka jelas kalau begitulah kesudahannya, Rencana Kajang menjadi musuhnya sendiri iaitu ‘petualang dalam skema strategi perjuangan Pakatan Rakyat. Dalam unjuran ‘Senario Paling Buruk’ (Worst Case Scenario), Rencana Kajang membawa malapetaka dan perpecahan bagi seluruh muafakat politik Pakatan Rakyat.

Sangat malang jika ia berlaku, wal’iyyazubilLah! Minta Allah jauhkan dan selamatkan perjuangan murni ini.

Namun sebaliknya, penulis masih mahu menaruh keyakinan bahawa pimpinan tertinggi Pakatan Rakyat akan bertindak matang, bijak dan cemerlang apabila sampai waktunya..biiznillah. – 14 Februari, 2014.

* Ini adalah pendapat peribadi penulis dan tidak semestinya mewakili pandangan The Malaysian Insider. 

Comments

Please refrain from nicknames or comments of a racist, sexist, personal, vulgar or derogatory nature, or you may risk being blocked from commenting in our website. We encourage commenters to use their real names as their username. As comments are moderated, they may not appear immediately or even on the same day you posted them. We also reserve the right to delete off-topic comments