Opinion

Mampukah Najib menangguhkan GST?

Kritikan Tengku Razaleigh Hamzah pada saat-saat ini sangat menggugat kedudukan kerajaan Persekutuan.

Selaku mantan menteri kewangan, beliau masih punya pengaruh politik yang luas dan pandangannya masih berbisa dalam urus tadbir kewangan negara.

Belanjawan 2015 merupakan ikhtiar Datuk Seri Najib Razak bagi mengimbang tuntutan fiskal dan keperluan rakyat. Dewan Rakyat sedang sengit membahaskan belanjawaan ini.

Cukai barangan dan perkhidmatan atau GST, antara peruntukan penting dalam perbahasan Rang Undang-undang Perbekalan 2015. Sebagai sebuah sistem percukaian yang berasas-meluas (broad-based) yang kononnya lebih adil, pentadbiran Najib berkempen agresif bagi rakyat terima propaganda mereka.

Betul, ia sedikit membebankan rakyat, dakwa mereka, tetapi slogan dan tagline kempen BN adalah ‘GST baik untuk anda dan akan membantu rakyat’. Lebih berani lagi, ada tagline yang berbunyi ‘GST menurunkan harga barangan dan perkhidmatan’.

Peliknya, Najib tahu mereka berbohong lalu bagi mengurangkan beban yang bakal ditanggung rakyat, kerajaan prihatin Najib dan Barisan Nasional meningkatkan pemberian Bantuan Rakyat 1Malaysia (BRIM) dan pelbagai pengurangan cukai pendapatan peribadi dan korporat.

Dalam surat setebal 16 mukasurat yang diedarkannya, Ku Li (panggilan mesranya) memohon semua ahli Parlimen menyokong usulnya untuk GST ditangguhkan. Ku Li lantas mengecam Najib sebagai tidak peduli rakyat atau ‘uncaring’!

Bagai dek kata, kalau Najib punya kawan seperti Ku Li dalam BN, maka dia tidak lagi memerlukan seteru dan musuh seperti Pakatan Rakyat.

Penulisan ringkas ini bertujuan mengukuhkan saranan dan usul Ku Li.

Gesaan Ahli Parlimen Gua Musang supaya GST ditangguh selari dengan Bajet 2015 Pakatan Rakyat. Kedua-dua Pakatan Rakyat dan Ku Li tidak menolak GST sebagai sistem cukai yang punya kebaikan tersendiri berbanding sistem cukai lama Jualan dan Perkhidmatan atau SST.

Namun perlaksanaan secara gelojoh bakal membeban rakyat. Juga, beberapa syarat ketat mengikut perspektif Pakatan Rakyat wajar dan wajib dipenuhi dahulu.

Ini untuk  mengurangkan sifat ‘regresif’ GST yang mencetuskan impak negatif dan beban yang lebih parah kepada golongan berpendapatan rendah pada perbelanjaan yang sama. Perkara-perkara tersebut tidak perlu diulangi di sini.

Maka wajarkah Najib menangguhkan pelaksanaan GST? Apakah hujah-hujah terkini?

Pendeknya, Pakatan Rakyat dan kini Ku Li meyakini pentadbiran Najib silap membaca atau tidak mempedulikan senario ekonomi tahun 2015. Menafikan atau sengaja tidak membuat perhitungan senario ekonomi global bakal membawa impak buruk kepada negara.

Dengan pelbagai ketidaktentuan, khasnya rakan dagangan utama Cina yang menampakkan ekonomi yang perlahan dan akibat dasar Amerika untuk menamatkan dasar “Quantitative Easing’ dan juga kesan di Timur Tengah dan Ukraine-Rusia atas harga minyak mentah, maka mengharapkan pertumbuhan dipacu oleh permintaan global adalah satu yang tidak munasabah dan meleset.

Ia pasti akan mengurangkan lagi ‘lebihan akaun semasa’ negara yang sudah pun mengalami penguncupan. Dapatan mutakhir oleh Malaysian Institute of Economic Research atau MIER mempamerkan isyarat yang jelas.

Dua indeks utama yakni 1. Business Conditions Index dan 2. Consumer Sentiment Index mula menunjukkan penurunan dalam bulan Julai-Ogos lalu.

Dengan senario seperti ini, Najib wajar segera memastikan pacuan pertumbuhan akan diteruskan dengan permintaan domestik. Pacuan pertumbuhan dua suku pertama dalam tahun 2014 ini dibantu permintaan domestik yang kukuh. Najib perlu meningkatkan permintaan domestik ketika permintaan global sudah jelas menampakkan kelembapan atau ‘slowing-down’.

Malangnya, dengan tindakan yang dibuat Najib dan pentadbirannya, untuk teruskan pelaksanaan GST, Najib pasti mengurangkan ‘kuasa membeli’atau ‘permintaan domestik’.

Menambah lagi himpitan adalah harga komoditi minyak sawit dan getah yang terus menjunam ke paras harga paling rendah dalam 5 tahun. Ini disebabkan lebihan bekalan dan pengurangan permintaan. Kedudukan ini menjejaskan warga luar bandar serta kuasa membeli mereka.

Tambahan lagi, dalam senario ekonomi global yang serba kelam dan sugul, kenaikan 20 sen harga bahan bakar pada 2 Oktober lalu, sebelum pembentangan Belanjawaan 2015 sangat ‘tidak sopan’ bahkan ‘sangat culas dan curang’.

Najib sengaja lupa kenaikan 20 sen pada September 2013 dahulu mencetuskan kenaikan Indeks Harga Pengguna (CPI) sepanjang tahun dan ke paras tertinggi 3.2% pada Julai 2014 lalu. CPI hanya turun pada September 2014 yang lalu pada CPI 2.6%.

Untuk ingatan semua, ketika Mantan Tun Abdulllah Badawi menaikkan harga petrol sebanyak 78 sen (kepada RM2.70) dan diesel sebanyak RM1 (RM2.58) pada Jun 2008, beliau berani meramalkan bahawa inflasi hanya akan naik paling tinggi ke paras 4% ke 5%.

Malang buat beliau, sekaligus menyebabkan beliau tersingkir, inflasi melonjak ke paras 8.5%! Umum mungkin tidak lupa agaknya beliau secara bersahaja menjawab pihak media, bahawa rakyat tidak agak bangkit ke jalan raya berdemonstrasi.

Justeru, apakah yang boleh diramalkan kali ini kerana kenaikan harga bahan bakar dibuat dibuat bersekali dengan penguatkuasaan GST pada kadar 6%. Seolah-olah tidak  cukup mendera rakyat, Najib akan meneruskan program ‘rasionalisasi subsidi’nya meskipun rakyat sudah jatuh ditimpa tangga.

Berapa peratuskah ‘inflasi’ yang bakal tercetus dan apakah angka CPI dalam tahun 2015 nanti? Hanya Allah yang tahu.

Ketika itu pastinya Najib akan dilihat ‘tidak rasional’ atau dalam bahasa mudahnya sudah ‘sewel’. Seandainya Najib teruskan juga maka jelasnya beliau sudah sangat desperate dan tidak lagi mampu berfikir secara waras. Kehilangan ‘kewarasan’ adalah kehilangan kelayakan memimpin.

Sebaliknya Pakatan Rakyat dan Ku Li mencadangkan supaya pentadbiran Najib melipatgandakan usaha dan komitmen untuk menutup lubang-lubang rasuah dan penyelewangan sebagai menjana penambahan hasil. Saban tahun Laporan Ketua Audit Negara memaparkan sumber-sumber hasil yang tiris dan bocor.

Perhitungan Pakatan Rakyat buat Budget 2015 ini, menganggarkan peruntukan bekalan yang tertakluk kepada pelbagai perolehan, kenaan/bayaran, perjanjian penswastaan adalah sebanyak RM124 bilion. Seandainya 10% dapat dijimatkan melalui urus tadbir yang telus dan cara tender terbuka, maka RM12.4 bilion dapat dijana dan diselamatkan!

Atas hujjah kenaikan harga barang dan pertumbuhan yang bakal ‘menurun’ atau ‘slowing down growth’, maka sangat patut untuk Najib menangguhkan pelaksanaan GST sehingga datang satu waktu yang lebih wajar. Bila?

Ketika itu adalah bila pendapatan rakyat lebih baik dan menasabah dan lubang-lubang ketirisan dapat ditutup dan sumber dari hasil yang lain (CGT misalnya) juga akan bertambah.

Keberkatan akan dapat dinikmati dan kesejahteraan dikecapi serta kemakmuran rakyat terserlah sekaligus rakyat hidup dengan lebih bermaruah. – 1 November, 2014.

* Ini adalah pendapat peribadi penulis dan tidak semestinya mewakili pandangan The Malaysian Insider.

Comments

Please refrain from nicknames or comments of a racist, sexist, personal, vulgar or derogatory nature, or you may risk being blocked from commenting in our website. We encourage commenters to use their real names as their username. As comments are moderated, they may not appear immediately or even on the same day you posted them. We also reserve the right to delete off-topic comments