Opinion

Muktamar PAS ke-61: Pertembungan konstruktif atau destruktif?

Menyambung  daripada “PAS mengundang kegagalannya sekali lagi?”, penulis berkongsi pengamatannya dengan judul "Siapakah akan selamatkan PAS?”

Sebagai sebuah gerakan Islam yang memilih jalan “Muwajahah Silmiyah” atau “persaingan aman” secara demokrasi, PAS sangat berhajatkan kemenangan. 

Benar seperti ada yang cuba mendakwa “kemenangan bukan segala-galanya”. Namun, tidak siapa pun dapat menyangkal “segala-galanya menantikan kemenangan untuk PAS mampu melaksana cita-cita murni perjuangannya”.

Justeru, PAS sentiasa menghitung sokongan dan prestasinya dalam setiap pilihan raya. Keputusan dalam pilihan raya ditanggapi sebagai kayu ukur menilai penerimaan dakwahnya dan tawaran dasar-dasar siasah atau politiknya. Kemenangan mengizinkan PAS menggapai visi pembangunannya untuk rakyat dan negara.

Ruang amal bukan sahaja terhad kepada mereka yang bergelar Yang Berhormat, exco atau menteri besar bahkan kepada semua pimpinan akar-umbi dalam pengelolaan PBT, JKKK, masjid dan surau.

Begitulah “habuan” kemenangan buat mereka yang benar-benar menghayati perjuangan ini  serta sentiasa berlumba-lumba mencari reda Allah.

Dalam penulisan lalu, ditegaskan, andainya kepimpinan gagal memastikan PAS terus dikemudikan dengan baik dan bijak, maka PAS bakal kembali ke tahap prestasi lamanya, pada paras atau “baseline” Pilihan Raya Umum (PRU) ke-11 (2004). Ia tidak perlu diulang kembali.

Sayugia diakui dinamik luaran dan dalaman parti kini sangat berbeza dan lebih kompleks. Ia tidak semudah untuk diurus dan ditangani. Kini wujud pola-pola permasalahan yang mencabar kesinambungan pencapaian parti.

Kepimpinan parti yang tidak punyai kebijaksanaan dan keterampilan pengurusan strategik bakal mengundang pelbagai polemik dan konflik sama ada dalaman partinya sendiri mahupun bersama rakan koalisinya.

Kepimpinan akar umbi yang tidak mengikuti kemajuan dan peredaran parti juga akan menyukarkan kepimpinan tertinggi.

Maka, apakah yang sedang mengancam PAS dan bakal menghampakan cita-cita yang disasarkan dalam perjuangannya dalam jangka waktu terdekat ini?

Penulis mengenal pasti 5 cabaran sekali gus ancaman utama buat PAS.

PAS mesti diselamatkan dan menyelamatkan partinya dari terjebak dalam kancah kemusnahan dan keberantakan ini.

Pertama: Selamatkan PAS daripada penularan fitnah dan perseteruan sehingga ia menjadi konflik dalam saf di semua peringkat kepimpinan sehingga tempiasnya terpercik ke ahli akar umbi. Ingat pesanan Rasulullah SAW., ”Akan menimpa ke atas kamu penyakit yang memusnahkan kaum terdahulu kamu..hasad dan perseteruan”. Lisan Nabi jangan mudah-mudah disangkal bahkan seharusnya diambil waspada dan ingatan.

Kedua: Selamatkan PAS daripada menjadikan institusi kepimpinan ulama sebagai sumber permasalahan parti dan polemik tidak berkesudahan sehingga ia dilihat menjadi liabiliti kepada PAS. Umum bersedia menyanjung kepimpinan ulama PAS apabila terserlah kebolehan Ilmu, kebijaksanaan dan penghujahan mereka.

Umat mahukan golongan Ulama memimpin dan membimbing dengan Syariat Islam yang mendamaikan dan menyejahterakan rakyat dan negara. Tegasnya, institusi kepimpinan ulama PAS mesti segera dikembalikan peranan dan autoriti sebenarnya, seperti termaktub dalam peruntukan perlembagaan parti.

Ketiga: Selamatkan PAS dari mengalami fenomena penghakisan sokongan undi baru ‘non-tradisi’ dari kalangan orang Melayu-Islam di bandar-bandar dan pinggir Bandar, serta bukan-Melayu (Cina dan India khususnya) di seluruh pelosok negara, khasnya Pantai Barat apabila PAS ditanggapi gagal dan berdolak-dalik memperjuangkan komitmen  “Keadilan Untuk Semua” dan “PAS Untuk Semua”.

Pimpinan juga diingatkan supaya cermat, tabah serta bijak mengurus penerangan dan pencerahan isu-isu kompleks seperti enakmen hudud secara khusus dan Syariat secara menyeluruh, kepada pelbagai pihak. Pemimpin wajar dan wajib menghitung kesan dan impak baik-buruk (maslahah-mafsadah)kepada segala kata-kata dan polisi-perbuatan mereka supaya tidak memudaratkan perjuangan (Ma’alat Al-‘Af’al pecahan dari Maqasid Syari’ah…akan dihuraikan dalam penulisan akan datang).

Keempat: Selamatkan PAS dari segala tipu-daya dan pelbagai makar jahat Umno-BN untuk memecahkan keutuhan dalaman PAS dan memporak-perandakan serta melaga-lagakan komponen parti-parti Pakatan Rakyat. 

Seteru tradisinya mahukan PAS bertindak keras dan ‘ekstreme’ yang akhirnya akan menjadikan PAS tersudut kembali di negeri-negeri ‘Malay-Belt’ di Utara dan Pantai Timur.

Kelima: Selamatkan PAS daripada terhindar mendapatkan maslahah dan manfaat pendekatan "At-Tahaaluf As-Siayasi" sebagai satu pendekatan siasah yang bijak diamalkan oleh Rasulullah SAW dengan tidak pula perlu PAS mengorbankan prinsip-prinsip perjuangannya. Meskipun ada pemimpin yang bersedia untuk PAS berjuang bersendirian, pengikut gusar akan akibat melakukan sedemikian.

Demografi  serta kependudukan negara ini memerlukan PAS bertahaaluf dan bijak meneruskan politik koalisi Pakatan Rakyat, bagi meningkatkan pencapaian visi perjuangan politik dan dakwahnya.

Umum sedang menyaksikan PAS terperangkap dalam suasana "ghairah" perebutan kuasa dan jawatan dalam parti oleh dua kelompok, sehingga membelakangkan perhitungan besar kemaslahatan kesinambungan perjuangan parti, lantas menempah dan mengundang kemusnahan parti ini sendiri. Tidak ada petanda konflik dan sengketa ini akan reda.

Malang dan anehnya, yang ketara adalah kurangnya perbahasan di segi;  Apa yang mahu diperjuangkan setiap calon-kelompok yang bersaing dan mengapa kelompok mereka wajar disokong dan dimandatkan perwakilan?

Bagaimanakah mereka mampu memajukan parti seterusnya ?

Dengan ketiadaan wacana dan perbahasan itu, maka pertandingan ini semakin menyerlahkan corak “zero-sum game”nya,  yang sangat memusnah atau”destruktive”. Jangan salah umum andainya mereka mempersepsi  perang besar ini sebagai dipacu faktor-faktor yang lebih bersifat “parochial, historical and emotional”.

Sudah sampai waktunya supaya kedua-dua pihak mengalih pertembungan ini secara lebih konstruktif dan positif serta lebih matang dan Islamik lagi. PAS sememang diakui adalah antara contoh model politik Islam yang diiktiraf gerakan Islam seantero dunia Islam sehingga kini.

Justeru, adalah cantik kiranya pendekatan yang lebih bercirikan “constructive engagement” ditampilkan PAS dalam pemilihan parti Islam ini.

Umum dan khususnya perwakilan kini mahukan mereka membentangkan tawaran manifesto dan unjuran “road-map” calon-kelompok masing-masingnya bagi meyakinkan relevansi dan kepentingan peranan mereka. Sekali gus komitmen penyelesaian mereka untuk mengangkat citra serta prestasi perjuangan ini, yang diakui "tercalar" di ambang Muktamar ke-61 ini .

Mampukah PAS selamatkan dan kekalkan kedudukan “centre-stage” peranan “political Islam” ini di persada politik nasional? – 25 April, 2015.

* Ini ialah pendapat peribadi penulis dan tidak semestinya mewakili pandangan The Malaysian Insider.

Comments

Please refrain from nicknames or comments of a racist, sexist, personal, vulgar or derogatory nature, or you may risk being blocked from commenting in our website. We encourage commenters to use their real names as their username. As comments are moderated, they may not appear immediately or even on the same day you posted them. We also reserve the right to delete off-topic comments