Opinion

Menziarahi semula Muktamar PAS ke-60

Setelah tirai Muktamar PAS ke-60 berlabuh dan debu-debu tapak muktamar mendap di Batu Pahat, diri ini yang mengemudi Pusat Penyelidikan PAS sekali lagi terpaksa memungut segala peninggalan pengkisahan atau naratifnya.

Naratifnya diketahui umum cukup berbeza. Buat julung kalinya, seteru atau lawan politik terlepas dari fokus serangan, samada pembahas dari perwakilan mahupun dari pihak pimpinan dari atas pentas.

Sememangnya dari ungkapan tema Muktamar, telah jelas bahawa penekanan seluruh perjalanan Muktamar pada kali ini akan bersifat "melihat ke dalam" sebagai satu introspeksi.

Wajar juga mengorientasikan Muktamar "ke dalam" mentelahan wujud beberapa konflik yang tidak terungkai atau "unresolved conflict" sejak krisis Selangor, bahkan lebih awal dari itu.

Penulis tidak mempertikaikan hak perwakilan, khasnya kepimpinan terutamanya Tuan Guru Presiden untuk membuat mahasabah dan penegasan secara terbuka kepada mana-mana pihak sekalipun. Itu bukan sahaja hak, bahkan tanggungjawab pemimpin parti khasnya Presiden.

Pun begitu, bagi semua yang berucap, persoalan kritikalnya ialah: Apakah kita mencapai maksud ucapan kita ataukah sebaliknya yang telah berlaku?

Penulis terpaksa mengandai semua yang berucap memiliki niat murni.

Bagi mengelakkan kontroversi berpanjangan, penulis sama sekali tidak bercadang atau berhajat memberi penilaian. Cukup kita menilai diri masing-masing.

Dalam rangka mahasabah seperti dianjurkan Sheikhul Islam, Al-Imam Ibn Taimiyyah, dengan kata-kata hikmatnya: “La budda min abdi min awqaatihi yanfaridu biha binafsihi...”
Maksudnya, “Tidak dapat tidak bagi seorang hamba Allah itu untuk memperuntukkan waktunya untuk meneliti dirinya sendiri...dengan doa, zikir, solat dan tafakur, mahasabah jiwanya dan perbaikki hatinya...”

Seiringan dengan anjuran tuntutan keperluan mahasabah ini juga, adalah sangat perlu bagi kita pendukung perjuangan Islam, khasnya pihak kepimpinan tertinggi jamaah dan parti, bagi menekuni apa yang disimpulkan Al-Imam Shatibi (dalam kitabnya "Al-Muwafaqat" juzuk kedua) sewaktu beliau menggagaskan teori Maqasid Syariah.

Sangat mustahak dihayati bahawa dalam memahami sesuatu Maqasid itu, Al-Imam Shatibi merumuskan salah satu asas ilmu Maqasid adalah ilmu "Ma’alat Al-Af’al" atau aspek mengkaji kesan dan impak dari kata-kata dan perbuatan seseorang (khasnya pemimpin dalam konteks kita ini).

As-Shatibi menyimpulkan: “An Nazaru ila Ma’alati al-af’al wa al akwal Aslun Syar’iyyun Mukatabarun....”

Maksudnya, “Menilai kesan dan impak akan perbuatan dan perkataan adalah antara asas-prinsip syara’ yang mesti diambil kira..”

Bersandarkan kedua-dua tuntutan oleh kedua-dua tokoh ulama besar di atas, penulis mengajak semua kita, selaku pemimpin, bersedia memperuntukkan masa buat diri kita sendiri dan berani menilai dengan segala keikhlasan dan kejujuran akan segala apa yang telah kita lafazkan dalam ucapan kita di muktamar yang lalu.

Mampukah kata-kata dan perbuatan kita dalam perbahasan tempoh hari?

1. Menaikkan imej PAS sebagai sebuah parti Islam yang mencerminkan akhlak dan keperibadian Islam? Atau apakah keperibadian dan tutur-kata kita adalah sebaliknya?

2. Menyerlahkan kematangan berhujah serta penguasaan akan ilmu-ilmu Islam dan segala bidang ilmu yang lain para perwakilan? Atau apakah sebaliknya yang telah berlaku di segi kedangkalan dan ketidakupayaan kita ditambah dengan emosi ketika kita berhujah?

3. Menambah keyakinan pemerhati dan rakyat umumnya, terhadap komitmen PAS akan slogannya "PAS For All" serta dasar perjuangkan kita seperti "Keadilan Untuk Semua" dan membenteras segala pegangan Islam secara sempit (bigotry) dan melampau.

Atau apakah Muktamar telah memburukkan kesangsian dan prejudis sesetengah pihak dan merobek kepercayaan yang baru dibina terhadap komitmen kita terhadap "Islam Rahmat Untuk Semua" dan dasar-dasar kita yang lain?

4. Meningkatkan keyakinan rakan Pakatan Rakyat bahawa PAS adalah komited dan konsisten terhadap tahaluf siyasi atau muafakat politik Pakatan Rakyat? Atau apakah rakan PR kini yakin bahawa PAS sebenarnya tidak komited?

Tidak perlu bagi kita selaku kepimpinan jamaah dan parti Islam tunggu dikritik atau ditegur. Amat mustahak menilai secara jujur dan tawaduk kepada Allah azza wajalla akan impak serta risiko kata-kata dan perbuatan kita terhadap risalah perjuangan yang kita dukungi ini.

Tidak menghitung akan impak baik ini akan menyebabkan perjuangan menerima kesan mudaratnya atau mafsadahnya tanpa kita sedari.

Gerakan Islam yang mengambil pendekatan bergerak dalam garis demokrasi (pendekatan Muwaajahah Silmiyyah), sebagai sebuah "hizb" atau parti politik, untuk merealisasikan matlamat perjuangan mereka, adalah sangat berhajat kepada kebijakan atau dasar-dasar serta "perumusan strategi perjuangan" yang bersifat inklusif, fleksibel (murunah) dan tepat dengan maslahah dalam lingkungan realiti politik (waqi’ siyasi) dan demografi kependudukan negerinya, pastinya dengan tidak mengorbankan prinsip Islam.

PAS mesti menyerlahkan keupayaan menangani tuntutan politik plural yang sangat rencam dan bersimpang-siur. Kewujudan kita adalah ditengah-tengah lanskap politik negara pelbagai agama, kaum dan budaya serta pelbagai anutan ideologi dan falsafah.

Bijak memperturunkan dasar dan menjalinkan hubungan adalah ciri-ciri kepimpinan yang menyerlahkan sifat "fatanah" (kebijaksanaan) yang menyerlahkan muamalat kepimpinan Rasulullah (saw) dalam pentadbiran kota Madinah.

Bagaimana gerakan Islam khasnya PAS dalam konteks Malaysia, mengemudi perjuangannya di tengah-tengah persada politik plural ini adalah faktor kritikal dalam penentuan survival perjuangan politiknya.

Untuk pengetahuan umum, penulis juga menerbitkan satu penulisan lebih awal bertajuk "Transformasi PAS: Di Mana Kelompangannya?"

Di samping itu kepimpinan tertinggi parti wajar mendepani jalur pemikiran dalam parti yang mesti diurus supaya ianya menjadi kekuatan parti yang membawa nilai tambah yang sinergistik dan melebarkan tapak sokongan untuk parti.

Setiap kelompok membawa tapak sokongan baru, mengukuhkan tapak tegar yang dibina kelompok perintis di kalangan ulama dan aktivis parti. Saf perlu segera diperkukuhkan.

Seperkara lagi, mampukah kita menggamit sokongan kelompok anak muda Gen-Y dan kelompok pengundi pertengahan, khasnya kelompok "wanita pertengahan", disamping mengekal sokongan tegar kita? Isyarat dan kajian mutakhir menunjukkan trend yang sebaliknya.

Paling mustahak, PAS perlu segera memperbaikki komunikasi risalah politik.

"Political messaging" kita dikatakan sangat terjejas dengan Muktamar lalu. Meskipun pahit, kita perlu bersedia terima. Sudah terlalu banyak terpapar dalam media sosial.

Kekal dalam penafian bermakna gagalnya kita berinteraksi dengan iklim serta cabaran baru dan persekitaran realiti politik tanah air yang bakal menguji dan mencabar keutuhan dan istiqamah fikrah perjuangan kita. Terus beristiqamah! – 1 Oktober, 2014.

* Ini adalah pendapat peribadi penulis dan tidak semestinya mewakili pandangan The Malaysian Insider.

Comments

Please refrain from nicknames or comments of a racist, sexist, personal, vulgar or derogatory nature, or you may risk being blocked from commenting in our website. We encourage commenters to use their real names as their username. As comments are moderated, they may not appear immediately or even on the same day you posted them. We also reserve the right to delete off-topic comments