Opinion

Merintis debat Malaysia Baru

26 MEI — Debat “Pemansuhan Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Negara (PTPTN) Dan Hala Tuju Pendidikan Tinggi” di antara Rafizi Ramli dan Khairy Jamaluddin berjaya dianjurkan di Kompleks Media Karangkraf dan dipancarkan oleh Astro Awani dan Bernama 24 secara langsung pada malam bersejarah 22 Mei lalu.

Sekaligus ia menandakan bahawa “Politik Baru” di Negara ini akan terus subur dan tidak lagi mampu dibendung oleh kuasa pemerintah. Sifat utama Politik Baru yang memberi capaian maklumat kepada pengundi terus memerdekakan mereka untuk berani membuat pilihan dalam pilihanraya umum ke-13 (PRU13).

Justeru, persoalan siapa menang atau kalah dalam perdebatan itu bukan tujuan utamanya. Sebaliknya, matlamat pencerahan minda penonton dengan penyajian maklumat secara debat sangat diminati. Sorakan atau tepukan juga mungkin sahaja menandakan persetujuan tetapi belum tentu bersabitan langsung dengan tajuk perdebatan. Ledakan emosi penyokong tegar ketika sesuatu diucap “menjatuhkan lawan” tidak semestinya mematahkan hujah lawan.

Mungkin sahaja ia menangkis hujah lawan tetapi ternyata kemudiannya ia tidak benar sama sekali. Kerapkali juga penonton teruja dengan nada dan gaya kedua-dua pendebat meskipun ia bukanlah ukuran sebenar kemantapan penghujahan mereka. Kesemua gelagat dan pemerhatian ini berlaku dalam perdebatan malam tersebut.

Apa pun syabas kepada kedua pendebat muda ini yang nyata sama hebat, sama petah dan sama pintar. Keberanian mereka telah merintis pelbagai “wajah mendatang” dalam politik negara. Debat yang didakwa sesetengah pimpinan politik kerajaan Barisan Nasional bukan sebagai budaya kita telah pun ditelan dek debat perintis ini. Sekaligus juga kelompok politikus “senior” dari kedua belah semakin gusar. Paling tertekan tentunya ialah Perdana Menteri dan Ketua Pembangkang.

Pun begitu, secara lebih serius, mampukah Debat Pemansuhan PTPTN malam tersebut menjadi kayu ukor, yang dengannya penonton (dibaca pengundi) membuat keputusan untuk menyebelahi samada BN yang diwakili Khairy atau menyokong Pakatan Rakyat yang cita-citanya diwakili Rafizi?

Lebih sukar lagi, mampukah penonton membuat keputusan samada untuk menyokong BN atau sebaliknya PR dalam PRU ke-13 nanti, atas kejelasan mereka tentang aspek kedua tajuk Debat yakni : Hala Tuju Pendidikan Tinggi?

Setelah usai tepok-sorak dan gegak gempita suasana yang menggamat Dewan malam itu, Jemaah Hakim yang berkebetulan adalah seluruh Rakyat-Pengundi yang menonton, kini terpaksa membuat keputusan. Pemansuhan PTPTN dan Hala Tuju Pendidikan Tinggi Negara adalah antara isu-isu teras dalam PRU ke-13 akan datang.

Nah, kalau umum telah pun membuat pelbagai penilaian positif atau sebaliknya, penulis ini juga turut mahu nyatakan komentarnya.

Sebelum itu penulis ingin tegaskan bahawa debat “Pemansuhan PTPTN” mudah difahami oleh semua sebagai juga berjodol “Pendidikan Percuma”. Dengan kata lain, mudahnya PR sokong usul Debat yakni untuk memberikan “Pendidikan Percuma” sementara BN tolak “Pendidikan Percuma”di peringkat IPT.

Tugasan Rafizi adalah untuk yakinkan penonton-rakyat supaya menyokong Pemansuhan PTPTN lantas mewujudkan Pendidikan Percuma. Tugasan Khairy adalah sebaliknya.

Rafizi perlu yakinkan rakyat ia mampu dilakukan, sementara Khairy mesti “menghasut” rakyat ia tidak wajar dilakukan. Mudahnya, kalau dilakukan juga negara akan ditimpa kemudaratan! Maka begitulah jalan hujjah Khairy sepanjang debat — negara tidak mampu dan akan bakal bankrap kalau hapus PTPTN.

Menarik disebutkan wawancara Pengerusi PTPTN, sejurus selepas Debat dalam warta RTM, bahawa anak Melayu akan menghadapi masalah kerana mereka memerlukan PTPTN untuk belajar. Mereka bakal menjadi mangsa ketika PTPTN dimansuhkan oleh PR, tegas beliau.

Sah! Pengerusi PTPTN ini jelas tidak fahami tajuk Debat malam itu. Mangsa apa pulak kalau Pendidikan Percuma! Apakah ini membayangkan kegagalan pendebat? Tentunya tidak. Tetapi itulah jenis pembohongan yang ditaja media kongkongan kerajaan Umno-BN seperti didakwa ramai. Kerap memutarbelit atau “spin” isu-isu politik nasional! Mangsanya penonton yang tidak ada maklumat alternatif. Amat malang.

Wajar diingatkan 19 negara di dunia memberi “pendidikan percuma” dalam pelbagai pendekatan dan kaedah perlaksanaan di peringkat universiti. Dari jumlah itu 8 negara yang tidak langsung mengenakan yuran universiti: Argentina, Brazil, Finland, Germany, Iran, Mexico, Sweden dan Arab Saudi.

Rafizi jelas sandarkan hujah beliau bahawa negara ini kaya. Benar, Bank Dunia mengiktiraf bahawa Malaysia adalah antara negara terkaya di dunia diukur di segi “sumber per kapita”. Sudah tentu sama atau lebih kaya dari kebanyakan negara tersenarai tadi.

Tegasnya Rafizi berhujah bahawa negara yang menjana RM181 bilion pendapatan setahun ini mampu memberikan pendidikan percuma, seandainya rasuah dapat dikekang, ketirisan dikurangkan dan prioriti diperbetulkan.

Lebih baik kalau Rafizi tegaskan bahawa Pendidikan Percuma lebih mampu kita lakukan ketika seluruh “Belanjawan Kerajaan Persekutuan” di susun dan dirangka semula berdasarkan satu “Perhitungan Keutamaan” atau “Fiqh-Awwaliyat” dalam satu pencernaan belanjawaan baru oleh sebuah kerajaan baru yakni PR.

Segala keutamaan disusun dan dilaksanakan belanjawaan itu dalam satu “delivery system” yang juga ditambahbaik. Pendidikan Percuma pasti tidak mampu dilakukan dalam kerangka “paradigma” belanjawaan yang tidak benar-benar “Mengutamakan Kemakmuran Rakyat” sebaliknya “Mengutamakan Pengkayaan Kroni” dengan memacu projek mega-mewah untuk “Pertumbuhan KDNK” semata-mata.

Akhirnya wujud “infrastruktur yang kelas dunia” tapi “mentaliti kelas ketiga” seperti diulangi Rafizi kenyataan seorang mantan PM. Lebuhraya dan menara terus dibina dan modal insan jauh keciciran.

“Pendidikan Percuma” adalah satu juzuk dari pelbagai pendekatan program memakmurkan rakyat yang bakal dilaksanakan PR ketika diberi mandat mentadbir negara dalam satu “trajektori pembangunan” yang berbeza. Ia tidak boleh dilakukan secara runcit atau “piece-meal” dan semestinya juga tidak mengulangi pelbagai kepincangan lama.

Ia adalah dalam rangka besar sebuah “Kerajaan Berkebajikan” yang mengambil alih tanggungjawab membekalkan “essential services” di segi pendidikan, kesihatan dan pengangkutan, sementara mengizinkan rakyat hidup bermaruah dengan pendapatan boleh berbelanja (disposable income) yang menasabah dengan penurunan kos saran hidup ketika “perkhidmatan utama” tidak diperdagangkan kepada pihak konsesi atau kroni.

Ia memberi peluang yang saksama dan lumayan untuk rakyat bersaing dan merealisasikan potensi membangunkan diri dan “enterprises” mereka serta menjana kekayaan tanpa kekangan oleh kerajaan yang “turut bersaing” dengan rakyat dan pihak. Lebih buruk dengan segala bentuk “monopoli” dan amalan kronisme yang membawa kepada ketidakefisienan bahkan pengherotan (distortion) pasaran.

Desakan Rafizi dilihat semacam membuat serangan peribadi ketika mendesak Khairy menjawab tentang kehilangan dana Petronas, NFC dan juga pelupusan hutang seorang tokoh korporat dalam kes MAS. Kesemuanya contoh menghilangkan daya dan dana kerajaan memberi Pendidikan Percuma. Berbilion ringgit lagi hangus dengan rasuah dan “bailout” GLCs dan syarikat kroni.

Rafizi juga mengemukakan unjuran hutang yang cukup mengerikan tentang  peminjam PTPTN sejak ia diperkenalkan. Kadar bayaran balik yang rendah sebanyak 10 peratus itu beliau samakan dengan senario satu “implosion” atau “letupan hutang” yang semacam “time-bom” seperti yang berlaku di Amerika Syarikat dan negara lain yang menggunakan kaedah pinjaman yang sama seperti PTPTN.

Penulis tentunya tidak adil kalau tidak membuat komentar kepada hujjah-hujjah Khairy yang dilihat juga meyakinkan penyokong tegarnya dan mungkin juga mereka yang “atas pagar”. Namun angka-angka yang beliau kemukakan banyak yang tersasar. Dakwaan pemansuhan PTPTN itu akan menjadikan negara bankrap adalah mengejutkan.

Sedikit sangat singgungan debat yang membicarakan tentang “Hala Tuju Pendidikan Tinggi”. Penulis memahami kekangan kedua-dua pendebat untuk mematahkan hujjah lawan, ditambah pula kaedah debat agak rumit dan masa cukup terhad. Pelbagai aspek pendidikan tinggi wajib dperdebatkan.

Secara rambang, PTPTN juga adalah saluran kroni mendapat habuan menjalankan IPTS. Paling mutakhir adalah tuntutan sebuah kolej swasta yang menuntut PTPTN membayar RM15 bilion untuk membiayai pelajar jururawat dan perubatannya.

Kolej ini mengenakan RM90,000 kepada pelajar jururawat yang beum pasti akan mendapat pekerjaan setelah tamat. Apakah ini wajar diteruskan? Apakah penyelesaiannya? Apakah pula konsep Pendidikan Tinggi Negara yang wajar diorientasikan PR?

Pun begitu kedua-dua pendebat muda ini akan terus menjadi “benchmark serta ikon” kepimpinan politik generasi muda di negara bertuah ini. Debat ini dibantu dengan moderator yang bertindak cemerlang dan berkesan dalam mengemudi setiap saat perdebatan.

Terima kasih kepada penganjur dan semua media yang membudayakan Politik Baru yang bakal menjadi wahana paling penting dalam melonjakkan pendewasaan politik serta akumen keupayaan kepimpinan dan akhirnya nanti mendaya pembinaan “human capital” serta dayasaing negara.

* Ini adalah pandangan peribadi penulis

Comments

Please refrain from nicknames or comments of a racist, sexist, personal, vulgar or derogatory nature, or you may risk being blocked from commenting in our website. We encourage commenters to use their real names as their username. As comments are moderated, they may not appear immediately or even on the same day you posted them. We also reserve the right to delete off-topic comments