Tawaran Tan Sri Syed Mokhtar Al-Bukhary untuk membawa Padiberas Nasional Berhad (Bernas) keluar daripada Bursa Malaysia atau “penyahsenaraian” dibuat untuk kali kedua pada 4 Februari lalu. Cubaan pertama dibuat tokoh korporat ini pada bulan Mac 2013.
Peguam Ilustrasi Hikmat, syarikat pemegang saham minoriti yang menyaman Syed Mokhtar, Bernas dan Tradewinds (M) Berhad, mendakwa wujud bukti dalam terma-terma penswastaan serta perjanjian antara kerajaan dan pemilik Bernas asal yang tidak mengizinkan Bernas dimiliki oleh “satu” individu.
Peguam Ilustrasi Hikmat membuat rayuan ke Mahkamah Rayuan setelah kalah di Mahkamah Tinggi, Kuala Lumpur pada 27 November, 2013. Ekoran itu, syarikat ini mendapat penangguhan perbicaraan atau “stay of proceeding” atas perbicaraan rayuan mereka Disember lalu.
Mereka juga memohon untuk memberikan bukti-bukti baru dalam rayuan dan Mahkamah Rayuan menetapkan 30 April depan bagi mendengar pengurusan kes atau “case management”.
Ini pastinya akan mengendalakan Bernas untuk dibawa keluar daripada bursa. Andainya kemenangan berpihak kepada Ilustrasi Hikmat, ini akan menggagalkan sama sekali harapan Syed Mokhtar untuk menjadikan Bernas miliknya. Perhatian para penganalisis rata-rata menumpu kes membabitkan usaha tokoh korporat ini menambah penguasaan empayarnya.
Dalam waktu keghairahan usaha ini wujud satu kepelikan. Setelah gagal meyakinkan pemegang saham menjual saham mereka pada harga RM3.70 seunit Mac lalu, mengapa tokoh koroporat ini masih menawarkan harga yang sama pada cubaan kedua?
Tentunya harga RM3.70 seunit tidak akan mengundang apa-apa respon yang positif daripada kelompok yang sama.
Bezanya beliau dikatakan percaya Bernas melepasi segala gendala perundangan dan dakwa-dakwi pihak pemegang minoriti. Ada juga yang menelah Syed Mokhtar kini lebih yakin, kerana “jaminan” Bernas akan disenarai semula dan pihak-pihak minoriti tertentu diberikan keutamaan memiliki saham Bernas nanti.
Lebih jelas lagi Menteri Pertanian dan Asas Tani (26 November, 2013) membuat pernyataan wujud perjanjian bertulis dengan kerajaan, Bernas ketika disenaraikan semula nanti, berjanji akan memberikan peruntukan 5% saham kepada dua pihak pemegang saham minoriti yakni Nafas (Persatuan Peladng Kebangsaan) dan Nekmat (Persatuan Nelayan Kebangsaan).
Munasabah untuk difahami bahawa kedua-duanya akan mendapat “durian runtuh” kalau Bernas membeli pegangan saham mereka dalam proses “penyahasenaraian”. Mereka mewakili kepentingan petani padi dan pengilang padi yakni Nafas dan golongan nelayan iaitu Nekmat. Kini Nafas dan Nekmat memegang sejumlah 7.13% saham minoriti Bernas.
Nafas contohnya disertai lebih 14 buah pertubuhan Peladang negeri dan turut dianggotai 276 Pertubuhan Peladang Kawasan (PPK) dan PPK pula dianggotai hampir 900,000 ahli peladang di seluruh negara.
Namun malangnya pernyataan menteri itu sehingga kini tidak disah bahkan dinafikan oleh pihak Bernas. Ini menjadikan suasana lebih keharuan.
Sementara itu, sebuah badan NGO, Minority Shareholder Watchdog Group (MSWG) membuat satu taksiran harga pasaran saham terkini Bernas yang sewajarnya dalam lingkungan RM4.18 dan RM6.13 sen seunit.
Dengan maklumat seperti dikemukakan MSWG ini, umum menjadi lebih musykil mengapa tawaran Syed Mokhtar hanya menawarkan RM3.70 sen. Persepsi buruk terhadap tokoh ini tidak dapat dielakkan dalam keadaan ini.
Sebagai peringatan umum juga, syarikat-syarikat yang menawarkan pembelian pada harga RM3.70 sen itu adalah Perspective Lane (M) SB, Kelana Ventures SB, Seaport Terminal (Johore) SB dan Acara Kreatif SB. Kesemuanya dimiliki Syed Mokhtar secara pegangan majoriti dan keempat-empat syarikat ini memegang sebanyak 83.68% saham Bernas.
Bernas kini hanya memerlukan 6.31% saham sahaja lagi untuk menguasai 90% saham Bernas bagi melayakkan mereka membawa Bernas keluar daripada Bursa Malaysia.
Dalam suasana pertentangan ini maka tidak salah kalau semua pihak diingatkan kembali tujuan asal penubuhan Bernas.
Bernas yang asal entitinya ialah Lembaga Padi Negara (LPN) diilhamkan oleh Al-Marhum Tun Razak (1971), yang bertujuan mendaya dan mengagihkan kekayaan negara kepada kelompok dan golongan berpendapatan rendah ini iaitu petani di seluruh Negara. LPN pada objektifnya berfungsi mengawal harga padi demi kepentingan petani dan pengguna beras yang sebelum itu dikuasai orang tengah.
Fungsi LPN cukup jelas memberi sumbangan yang amat besar kepada petani dan pesawah di Malaysia yang 99% terdiri daripada orang Melayu. LPN berjaya menghapuskan fenomena “lintah darat” atau orang tengah sekaligus menstabilkan harga padi dan harga beras kepada petani dan pengguna.
Sejarah baru bermula pada 1994 apabila LPN diswastakan menjadi Bernas. Penyusunan semula sebagai syarikat yang disenaraikan di BSKL telah merubah matlamatnya daripada membela kepentingan petani dan pengguna kepada perniagaan yang berteraskan keuntungan dan komersial.
Pemilikan saham pantas bertukar tangan. Pernah pada tahap awal pengkoporatan, Nafas, Nekmat, kakitangan Bernas serta beberapa pertubuhan koperatif yang lain memegang sejumlah 45% melalui konsortium Budaya Generasi Sdn Bhd. Kini hanya 16.31% sahaja yang tidak dimiliki Syed Mokhtar. Ini yang mahu dibeli beliau untuk merealisasikan cita-citanya.
Sememangnya benar Bernas memiliki potensi besar sekaligus menjadikan ia sasaran pihak berkepentingan. Terkini, Bernas menandatangan satu perjanjian perlanjutan konsesi perdagangan beras – “rice trade” selama 10 tahun lagi (hingga 2021) dengan kerajaan persekutuan .
Sebagai timbal balik Bernas akan mengendali dan mengurus “stock penimbal” beras sebanyak 292,000 ton. Sebagai pengimport tunggal beras, Bernas mengimpot 30% lagi keperluan negara sementara 70% adalah daripada bekalan tempatan.
Bernas juga menghasilkan beras Super Tempatan 15% (ST 15%) dan mendapat subsidi kerajaan sebanyak RM800 bagi setiap ton untuk beras ini. Jumlah subsidi itu sangat signifikan.
Wajarkah subsidi diteruskan sementara Bernas membuat keuntungan?
Sebagai entiti swasta nanti dan dimilikki oleh seorang individu, kedudukan “monopoli” ini perlu dipertimbangkan kembali kerana Bernas memiliki monopoli ke atas permit import dan harga serta bekalan beras di samping yang di dalam kategori kawalan harga. Pastinya Bernas mampu mengherot pasaran.
Tidak dapat dinafikan bahawa penguasaan Bernas dalam industri pemakanan ruji Negara ini adalah sangat ekstensif. Bernas membangunkan integrasi rantaian pembekalnya dalam sektor pemborongan, perladangan, pemprosesan dan pengedaran. Bernas juga menjalankan pelbagai tanggungjawab sosial kepada rakyat.
Maka adalah lebih penting lagi untuk Bernas kekal dalam perhatian rakyat sebagai entiti tersenarai dan awam. Pertanggungjawaban dan ketelusan, khasnya dalam perkara-perkara dasar dan perlaksanaan yang bersabitan rakyat, tentunya lebih mampu dilunaskan sebagai sebuah entiti awam berbanding entiti swasta andainya berjaya cita-cita penyahsenaraian daripada Bursa Malaysia.
Sebagai rumusan, dua persoalan besar perlu dijawab penguasa politk di negara ini:
Pertama: Mengapakah pengarah bebas non-eksekutif dalam lembaga pengarah tidak memainkan peranan bagi menasihatkan pihak pengurusan bagi menawarkan harga lebih baik untuk pemegang saham minoriti yang juga hak mesti mereka lindungi. Apakah mereka sebenar-benarnya “bebas”- “tidak berpihak” dan bertindak secara profesional?
Persoalan kedua: Mengapakah Najib terus mengizinkan satu aset strategik dan penting negara dimonopoli pihak swasta dan oleh “satu” individu?
Dalam hal ini, siapa sebenarnya yang mahu Najib lindungi akhirnya? – 28 Februari, 2014.
* Ini adalah pendapat peribadi penulis dan tidak semestinya mewakili pandangan The Malaysian Insider.
Comments
Please refrain from nicknames or comments of a racist, sexist, personal, vulgar or derogatory nature, or you may risk being blocked from commenting in our website. We encourage commenters to use their real names as their username. As comments are moderated, they may not appear immediately or even on the same day you posted them. We also reserve the right to delete off-topic comments