Opinion

Perwakilan – Pemenang sebenar Muktamar PAS ke-59

Muktamar PAS ke-59 baru sahaja melabuhkan tirainya. Segala teka-teki dan telahan daripada hal pemilihan sudah terjawab secara muktamad. Segala kegawatan dan hingar-bingar pemilihan wajar berakhir. Pemenang diumumkan serta yang tidak terpilih juga reda dengan keputusan.

Dalam tradisi parti Islam ini seingat penulis, tidak ada dakwa-dakwi selepas pemilihan. Apatah lagi untuk membatalkan keputusan pemilihan kerana ada perwakilan yang tidak layak atau cawangan-kawasan yang tidak sah.  Jauh lagilah untuk mendakwa atau membatalkan pemenang kerana menyogok perwakilan atau terpalit dalam ‘politik wang’ atau rasuah.

Ini antara keunikan dan sifat ‘tamayyuz’ Parti Islam Se-Malaysia, PAS . Bukan hendak ‘masuk bakul angkat sendiri’ tetapi sekadar menegaskan ‘imperatif’ atau kemestian yang sudah turun-temurun menjadi amalan budaya parti ini.

Yang menang sebak kerana mengalahkan ‘lawan’ yang diakui punya kelebihan daripada dirinya apatah lagi yang dikalahkan adalah  sifu politiknya dan abang  atau ‘senior’ dalam perjuangan. Yang kalah pula berjiwa besar untuk berdiri memberi hormat kepada yang menang bahkan meredakan suasana haru dan pilu yang mencengkam jiwa masing-masing.

Penulis sememangnya layak merakamkan jutaan tahniah kepada semua calon yang mengambil bahagian. Ya, mereka wajar dirakamkan tahniah kerana kesediaan untuk menggalas tanggungjawab. Itu sahaja cukup untuk mereka mendapat sekalung tahniah.

Yang sah menang lebih layak lagi diucapkan tahniah dan takziah kerana memang sah mereka akan dibebankan dengan tugasan berat kepimpinan. Dalam perspektif Islam, ‘Kepimpinan bukan habuan tetapi beban’.  Memecah tradisi yang lazim, penulis tidak berasa terpanggil untuk mengucapkan tahniah kepada pemenang.  Bukan untuk kali ini.

Lebih penting lagi di sebalik kehangatan berkempen menonjolkan calon masing-masing, persoalan yang berlegar dalam minda perwakilan berpusat di sekitar hal dan orientasi ‘pendekatan serta strategi politik’ pasca-Muktamar atau yang bakal diikuti parti Islam ini. Bukan ‘peribadi atau individu’nya tetapi ‘saf dan gerombolan’nya yang sebenarnya dinanti-nantikan oleh semua. Individu penting tetapi saf adalah lebih penting.

Betul. Calon yang menang inilah bakal menganggotai saf kepimpinan eksekutif bersama Presiden parti yang menang tanpa bertanding dan kini menanti ‘hulubalangnya’. Saf inilah yang akan mewarnai, mengangkat dan menentukan persoalan besar strategi dan pendekatan parti Islam ini. Siapa yang memilih mereka? Perwakilan!

Dek kerana itulah penulis mahu mengajak seluruh anggota parti Islam ini memberikan satu 'tabik hormat’, satu ‘standing ovation’  buat  pemenang ‘sebenar’  yang belum lagi diumumkan dalam pemilihan dalam Muktamar ke-59 ini.

Nah, setelah selesai segala pemilihan dalam satu persaingan yang sangat bersejarah dan punya naratif atau pengkisahannya tersendiri, yang nyata menang adalah perwakilan. Sebabnya jelas. Kerana perwakilanlah yang menentukan saf yang paling ‘sesuai dan wajar’ untuk terus mengemudi perjuangan parti ini bagi menyelesaikan segala kemelut yang bersimpang-siur kini dan bersama membuat persiapan mendepani cabaran PRU ke-14 nanti.

Sebab itulah penulis mengajak (meskipun terlewat) seluruh ahli jamaah dan pendukung perjuangan ini meneriak bagi menyantuni dan mengiktiraf tugas besar perwakilan. Merekalah pemenang sebenarnya. Takbir! Allahu Akbar!

Dan memerhatikan saf dan keanggotaan pimpinan yang dipilih seluruh perwakilan, tanpa di sana wujud perbincangan serta musyawwarah di kalangan 1,200 perwakilan dari seluruh negara, ia adalah adunan dan olahan terbaik seluruh perwakilan. Syabas dan tahniah sekali lagi.

Bayangkanlah kalau keanggotaan saf yang dipilih perwakilan ‘terlalu ulama atau terlalu bukan-ulama’, pastinya akan meninggalkan perasaan penuh ralat dan ketidakpuasan pelbagai pihak termasuk perwakilan sendiri.  Bahkan sesiapa pun yang mencintai dan menyayangi parti dan perjuangan ini akan rasa dikecewakan perwakilan.

Daripada satu segi penulis melihat natijah ini sebagai isyarat taufik dan inayah Allah SWT hasil natijah penghayatan dinamika ‘sunnatud tadaafuq’ atau’semak-imbang’ sebuah perjuangan Islam yang bersifat dinamis dan responsif kepada tuntutan perkembangan dan pergolakan realiti politik persekitarannya.

Sedikit kajian rambang penulis mendapati bahawa hakikatnya saf kepimpinan ini, sangat disukai  sahabat dalam perjuangan khasnya dalam Pakatan Rakyat (PR). Sebaliknya tidak keterlaluan kalau penulis katakan saf ini pasti menjengkelkan pihak lawan dan mungkin juga menimbulkan rasa gerun untuk bersaing. Mungkin telahan penulis tersasar atau syok sendiri tetapi itulah pandangan penulis. Apa pula mainan media lawan selepas ini.

Setelah memilikki ‘saf idaman’ ini (maaf penggunaan istilah ‘Dream Team’ ),maka kini adalah giliran mereka yang dipilih perwakilan untuk membuktikan bahawa perwakilan tidak silap dan perwakilan tidak akan dikecewakan.

Kembali kepada hal perwakilan dan khasnya mereka yang diamanahkan untuk berbahas mewakili negeri dan dewan masing-masing, ucapan dibuat dan segala kecenderungan serta pendirian terserlah.

Umumnya penulis berani memberi markah yang tinggi kepada keseluruhan perwakilan yang membuat persiapan yang cukup dan membuat pidato atau ‘delivery’ yang baik. PAS boleh berbangga mempunyai takungan pemidato sekaligus bakal ahli parlimen yang hebat daripada segi isi dan olahan ucapan mereka.

Seperti Ucapan Presiden yang menyeluruh dan inklusif merangkumi semua aspek kehidupan bernegara yang penting, maka begitu juga perbahasan maudhu’ yang diangkat oleh setiap pengucap mewakili negeri dan dewan-dewan.

Tidak juga dapat dielakkan untuk penulis merakamkan betapa usia perwakilan yang berucap adalah sebahagian besarnya bukan dari kalangan veteran dan otai-otai parti. Terserlah keremajaan parti dengan setiap kali yang tampil adalah dari kalangan yang muda sama ada yang mewakili itu muslimin atau muslimat.

Tentunya kepetahan pengucap daripada Perhubungan PAS Negeri Sembilan, seorang muslimah muda mendapat perhatian serius dan minat yang mendalam kerana maudhu’nya adalah sangat segar dan kontemporari kerana huraian menarik tentang  politik antarabangsa, GST dan TPPA.

Pun begitu, dalam pelbagai cara dan gaya yang agak bebas dan tersendiri, termasuk isi dan penekanan perbahasan perwakilan, tidak dapat tidak bagi penulis untuk merakamkan beberapa nokhtah tertentu yang agak kritis. Satu sahaja adalah teguran tentang perjuangan yang ghirah ke Putrajaya tetapi kononnya akan meninggalkan Al-Quran di pagar Putrajaya. Ia adalah sangat mengejutkan. Penulis bukan keseorangan kerana ditegur salah seorang pemimpin tertinggi parti. Namun ruang kecil ini bukan pentas atau forumnya untuk perbahasan tajuk ini.

Paling mustahak untuk penulis muatkan dalam pengamatannya dalam Muktamar ke-59 ini adalah untuk saf kepimpinan yang diangkat dalam muktamar ini memahami sungguh-sungguh pengharapan perwakilan bahkan seluruh pendukung perjuangan ini. Jangan tersilap baca.

Nokhtah bersabitan komitmen PAS dalam Pakatan Rakyat dalam Ucapan Dasar Tuan Guru Presiden dibahaskan oleh hampir semua perwakilan yang berucap. Salah seorang wakil lantas mahukan perwakilan semua berdiri bagi menyokong usul dalam ucapannya untuk memperteguhkan penglibatan PAS dalam PR. Tidak syak lagi bahawa perwakilan mahukan PAS kekal bahkan lebih kuat lagi memimpin bersama PR.

Perkara ini tidak juga bercanggah atau disanggah oleh pengucap daripada Dewan Ulama yang mahukan Majlis Syura sentiasa memantau aspek Kepatuhan – Syariah atau ‘Syariah-compliancy’ dalam ‘Tahaaluf Siyasi’ PAS bersama rakan-rakan PR. Ia tentunya tidak berkesalahan bahkan wajar dan wajib sentiasa ada pemantauan semak-imbang daripada Majlis Syura Ulama.

Lebih mustahak ialah persoalan penting yang dibangkit oleh penulis yang mewakili Pengerusi JK Post-Mortem  ketika memberi sedikit pendedahan tentang dapatan awal kami. Isu besar penghakisan undi Melayu yang dialami PAS dalam PRU ke-13 yang lalu mesti ditangani segera. Meskipun PAS secara menyeluruh hanya kehilangan 2% undi Melayu berbanding PKR yang kehilangan 7%, segala penumpuan mesti diberikan tentang aspek kerja ini.

Bagi meraih kemenangan yang lebih besar PAS perlu meningkatkan sokongan kepada 44% pada PRU14 daripada 40% kini. Sokongan wanita Melayu juga masih di tahap yang rendah (sekitar 30-35%) dan segala sumber dan tumpuan mesti diberikan kepada segmen pengundi ini oleh muslimat.

Sementara itu, sokongan  pengundi muda Melayu adalah sekitar 45-46% dan ini perlu ditambah dengan  kegiatan dan program yang mampu menggamit harapan dan imiginasi mereka.

Bagi mengatasi kelemahan yang disimpulkan dalam dapatan awal post-mortem dan beberapa kajian pasca PRU ke-13, adalah diingatkan supaya PAS berwaspada supaya tidak mengambil jalan ‘rawatan atau preskriptif sebelum mengenal pasti penyakit’. Elak berfikiran borong atau beri ‘rawatan generik’ atau ‘pil panadol’. Rawatan mesti spesifik dan tepat dengan penyakit.

PAS bersama rakan Pakatan mesti mengadakan sesi bengkel kerja yang menumpu aspek dan segmen pengundi tersebut secara terperinci. Penggemblengan seluruh tenaga pemikir dan aktivis parti yang bergelumang dengan kelompok segmen pengundi ini mesti disegerakan.

Perwakilan menghadiahkan saf kepimpinan baru yang mungkin sebahagian besarnya lama. Namun saf ini mesti memperbaharui tekad dan azam untuk memperbaikki prestasi dan merangka semula ‘Road-Map’ ke Putrajaya segera.

Kerja dalaman dakhili parti iaitu membina ‘tarbiyah dan tandzim’ untuk memperkukuh ahli (capacity building) mesti disekali dan dipadukan dengan kerja luaran khariji parti iaitu ‘dakwah dan siasah’ bagi memperluas tapak sokongan dan memobilisasi pandangan awam - (ra’yu ‘am  atau public opinion) bagi memenangi hati budi rakyat dan pengundi. – 29 November, 2013.

* Ini adalah pendapat peribadi penulis dan tidak semestinya mewakili pandangan The Malaysian Insider.

Comments

Please refrain from nicknames or comments of a racist, sexist, personal, vulgar or derogatory nature, or you may risk being blocked from commenting in our website. We encourage commenters to use their real names as their username. As comments are moderated, they may not appear immediately or even on the same day you posted them. We also reserve the right to delete off-topic comments