Opinion

Pluralisme agama: Mencari pencerahan?

Polemik ‘pluralisme agama’ kembali mengambil ruang utama diskusi awam. Kali ini pasti lebih sengit dan ganas. Sebabnya? Kali ini sebuah NGO, Sisters-in-Islam, Malaysia (SIS) mencabar fatwa yang dikeluarkan oleh Majlis Agama Islam Selangor (Mais).

Lebih menarik kerana sekumpulan ahli Parlimen dari Parti Islam Islam SeMalaysia (PAS) memasuki gelanggang wacana ini seawal mulanya. Ahli-ahli PAS ini tegasnya mengingatkan Mais supaya jangan drastik membuat ‘fatwa’, khasnya yang menghukum orang atau melabel organisasi sebagai ‘sesat dan menyeleweng’ dari agama Islam.

Umum tidak memahami dan masih kebingungan apa itu pluralisme agama.

Justeru kerana istilah dan konsep pluralisme agama ini rumit, ilmiah dan tidak mudah untuk ditanggapi golongan awam, maka ia sangat memerlukan penelitian dan pencerahan. (Sengaja tidak saya tambah perbahasan fahaman liberalisme dalam penulisan kali ini).

Sangat malang jika ia disalah faham. Lebih malang lagi jika ia mudah-mudah digunakan sebagai senjata atau ‘bogeyman’ untuk menjatuhkan lawan dengan menghukum pengamal mereka atau memiliki unsur-unsur fahaman pluralisme agama.

Tidak perlu penulis bariskan mereka yang turut jadi mangsa serangan ini. Penulis juga salah seorang mangsa kegiatan ini. Amat pelik kerana serangan datang dari dalam partinya sendiri.

Untuk ingatan umum, bukan sahaja Datuk Seri Anwar Ibrahim dikecam kerana dikatakan menyebarkan fahaman ‘pluralisme agama’, malah Mursyidul Am PAS sendiri, Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat juga tidak terlepas daripada kritikan kerana menghadiri acara rasmi di kuil Buddha di Kelantan.

Melengkapkan contoh, sebuah forum ilmuan Islam sedikit waktu dahulu mengingatkan semua pemimpin Muslim, termasuk Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak, supaya tidak menghadiri majlis perayaan agama lain, dengan alasan ia menjejaskan aqidah.

Jom cuba kita fahami ‘fundamental’nya dahulu. Saya akan cuba memudahkan wacana ini.

Benar, pluralisme agama bukanlah satu istilah yang hanya bermaksud ‘kepelbagaian agama’ atau disebut sebagai ‘religious pluralism’.

Konsep ini bukan hanya sekadar meraikan wujudnya pelbagai agama dalam laluan sejarah pengalaman tamadun manusia. Pertikaian bukan hanya bersifat semantik.

Meneliti perkembangan fahaman ini, kita akan menemui hakikat ‘Pluralisme Agama’ adalah sebuah ‘isme’, sebuah ‘‘ideologi’ dan sebuah falsafah yang mendalam dan mempunyai pelbagai doktrin, epistemologi dan ‘naratif’  tersendiri, serta implikasi kefahaman ke atas ‘penganutnya’.

Sesuai dengan kedudukannya sebagai  sebuah ‘isme’ atau ideologi yang punya asas falsafahnya, pluralisme agama tampil dalam sejarah persis satu ‘agama baru’ dan mempunyai ‘prophets’ atau ‘ahli-ahli falsafah’ mereka seperti Ernst Troeltsch (1865-19230), Arnold Toynbee (1889-1975), Wilfred Carnwell Smith  (1916-2000). Antara ahli falsafah kontemporarinya ialah Professor John Harwood Hick yang baru meninggal (1922-2012).

Secara mudah dan tegasnya, mengikut fahaman mereka "semua agama adalah sama, sekaligus menafikan hak dan tuntutan setiap agama akan kebenaran hakiki agama mereka, sehingga meletakkan semua agama sifatnya nisbi (relative), tidak sempurna, terbatas dan merupakan satu sisi pandang terhadap Kebenaran Agung.

Lantas pluralisme agama mengisytiharkan ‘persamaan agama’ dan ‘semua agama sebagai jalan-jalan kepada kemuncak yang sama (All the paths lead to the summit - John Hick).

Inilah doktrin utama yang ‘fundamental’ serta ‘cardinal’ dalam fahaman pluralisme agama. Nah, di sini letak tunggak pemikiran ‘Persamaan Agama’ John Hick yang mengiktiraf dakwaan semua agama ada sama.

Sesungguhnya, ‘persamaan agama’ lantas ‘pluralisme agama’ pada hakikatnya dan mengikut pandangan ahli agama adalah falsafah yang sebenar-benarnya ‘merosakkan dan mendobrak agama itu sendiri’!

Di saat ini, saya tampilkan penegasan kedudukan Islam dan implikasinya dalam isu yang dipolemikkan ini.

Sesungguhnya Islam bukan sahaja mengisytiharkan penerimaan akan kewujudan pelbagai agama, tetapi mengiktiraf dan meraikan perbezaan agama tanpa mengurangkan dan menafikan hak mereka kepada dakwaan eksklusif mereka meskipun bertentangan dengan ajaran dan prinsip Islam.

Pengiktirafan ‘perbezaan agama’ itu lantas menampilkan sikap ‘tasaamuh’ (toleransi) Islam serta bersedia mengizinkan penganut agama lain tertakluk kepada hukum dan prinsip undang-undang agama mereka.

Sesungguhnya Islam mengiktiraf ‘religious plurality’ dan bukan ‘religious pluralism’ sebagai satu sunnahtullah dalam kejadian seluruh mahkluk Allah. Secara umum hakikat itu termaktub dan tersimpul dalam firman Allah:

“Sesungguhnya Kami mengutus pada setiap umat seorang rasul dengan perintah: Sembahlah Allah dan jauhilah taghut (yang selain dari Allah). Maka di kalangan mereka ada yang diberi hidayah dan ada yang berhak ditimpa kesesatan…(Al-Nahl :36).

Sekali lagi pengiktirafan ‘pluraliti agama’ ini tersirat secara lebih tegas dalam firman Allah dalam Surah Al-Maidah : 48. Ayat ini sangat jelas maksudnya dan tidak perlu ditafsirkan lagi.

“Sekiranya Allah menghendaki nescaya Dia jadikan kamu satu (yang bersatu dalam agama yang satu), tetapi Dia hendak menguji kamu (dalam menjalankan) apa yang disampaikan kepada kamu”.

Lebih jelas lagi adalah pengisytiharan yang Allah abadikan dalam Surah Al-Kaafirun (109:6). Penegasan “Lakum diinukum Waliyadiin” (Untuk kamu agama mu dan untuk kami agama kami).

Pengisytiharan perbezaan agama sangat jelas terpapar dalam ayat ini bagi memperkukuhkan fahaman “religious plurality” yang ‘bukan dan tidak’ bermaksud menerima pula segala kepercayaan agama lain. Ini sangat penting!

Bagi umat Islam, pastinya keyakinan dan iktiqad kita bahawa Islam adalah A=agama yang benar di sisi Allah seperti ditegaskan “Sesungguhnya, Agama Cara Hidup di sisi ialah Islam” (Ali Imran: 19).

Namun umat Islam wajar diingatkan bahawa begitu juga keyakinan dari sisi pandang penganut agama lain samada yang bersifat agama Samawi (Langit) atau pun bukan Samawi.

Dari sisi pandang mereka, agama merekalah yang benar dan betul. Masakan mereka akan menganut agama tersebut kalau mereka percaya bahawa Islamlah agama yang paling benar.

Mengungkap Thomas Lee (in MYSinchew.com), setiap penganut agama Kristian meyakini dan mendakwa agama mereka sebagai penyelamat manusia dan tidak ada penyelamat lain selain melalui Al-Masih Isa..seperti ditegaskan dalam Injil-Bible: “Lord Jesus Christ is the 'the way, the truth, and the life' and "No one comes to the Father (God) except through me (Jesus)’ (John 14:6).

Dalam menggarap pertikaian ‘pluraliti agama atau kepelbagaian-perbezaan agama’, Islam tidak pula merumuskan dan mendamaikan perbezaan ini dengan menyamakan semua tuntutan kebenaran agama.

Penegasannya adalah untuk mengizinkan semua agama membuat dakwaan dan tuntutan mereka masing-masing dan tidak perlu dinisbah (relativized), dikurangkan (reduced) atau dirungkaikan (deconstruction) kerana tidak diizinkan menyamakan agama samasekali.

Maka bertolak dan bertitik punca dari pemahaman konsep ini, wacana di ruang umum tidak lagi wajar berkisar tentang agama siapa atau yang mana yang lebih ‘superior’ dan penganut agama mana dan siapa yang akan ke syurga dan siapa pula yang disumbat ke neraka.

Isu teologi yang sangat emotif itu wajar dikekang dan dihadkan dalam ruang iktikad dan keyakinan serta pencerahan penganut masing-masing.

Meneruskan debat antara agama ke garis teologi yang mendalam itu pasti akan mencetuskan satu pertentangan dan perang besar. Ia pasti akan bersifat ‘kalah-menang’ atau ‘zero-sum’, dan pastinya agresif,  dan ‘destruktif’.

Sebaliknya dialog dan wacana yang wajar adalah berganjak kepada satu garis dan paradigma yang lebih bersifat konstruktif dan positif dalam menentukan sumbangan agama masing-masing dalam membangunkan kemuliaan kehidupan, kemakmuran negara dan kesejahteraan rakyat.

Itulah wacana dan agenda yang harus menjadi tawaran yang dipelupori oleh pendukung “political Islam”.

Advokasi inilah yang mesti digarap dengan pendekatan yang ‘persuasive’, ‘inclusive’, ‘prudent-bijak’ serta ditala dalam ‘konteks’ demografi serta kerencaman realiti politik negara masing-masing.

Demi keharmonian perhubungan antara agama makak wacana ‘pluraliti agama’ memperkukuhkan sendi-sendi pembinaan kembali negara. Sekaligus ia memaknakan erti kedamaian perhubungan antara agama dan peranan agama secara positif dan langsung dalam kehidupan serta tatakelola bermasyarakat dan bernegara.

Tentunya ia mampu menangkis sifat pegangan sempit serta melampau. Ia memaparkan sifat “Wasatiyyah” atau kesederhanaan yang sebenarnya dalam Islam.

Kembali kepada tajuk asal kita, maka adalah sangat wajar bagi pihak Mais dan badan-badan seumpamanya, dalam pendekatan dan semangat Dakwah Islamiyyah untuk mewujudkan ‘engagement’ atau ‘keterlibatan’ dengan mana-mana badan yang dikesani atau didakwa ‘menyimpang’ dari anutan Islam yang sebenarnya.

Cara dialog atau hiwar dan wacana adalah jalan terbaik dalam menyelesaikan isu-isu pemikiran dan keyakinan agar benar-benar pemurnian pegangan Aqidah Ummat dapat diperkukuhkan.

Bukankah anutan Aqidah dan amalan Islam itu mesti terbit dari kerelaan dan keredhaan dan bukan paksaan dan tekanan?

Allahualam. Allah lebih mengetahui. – 8 November, 2014.

* Ini adalah pendapat peribadi penulis dan tidak semestinya mewakili pandangan The Malaysian Insider.

Comments

Please refrain from nicknames or comments of a racist, sexist, personal, vulgar or derogatory nature, or you may risk being blocked from commenting in our website. We encourage commenters to use their real names as their username. As comments are moderated, they may not appear immediately or even on the same day you posted them. We also reserve the right to delete off-topic comments