Opinion

Siapa jadi mangsa tindakan peguam negara dalam keputusan 1MDB?

Kenyataan rasmi dikeluarkan Bank Negara Malaysia ((BNM) pada Isnin lalu, 19 Oktober membawa implikasi besar dari sisi perundangan dan termasuk persepsi terhadap tadbir urus kewangan negara. Kenyataaan ini bersabitan kontroversi dakwaan terhadap syarikat pelaburan strategik 100% milik Kementerian Kewangan 1Malaysia Development Berhad (1MDB).

Kenyataan menegaskan BNM berhak mengambil tindakan ke atas mana-mana pihak yang melanggari mana peruntukan di bawah undang-undang yang ditadbirnya, selaku badan tunggal yang mengelola segala urusan tadbir urus kewangan negara.

Peruntukan tindakan pentadbiran atau “administrative action” tersebut, selain “tindakan jenayah” akan diambil berpandukan Akta Perkhidmatan Kewangan 2013 dan Akta Perkhidmatan Kewangan Islam 2013. Antara lainnya, mengenakan hukuman bayaran wang dan sebagainya.

Tindakan BNM ini dibaca atau difahami pelbagai pihak sebagai menegaskan sesuatu yang tidak kena dengan keputusan dibuat Jabatan Peguam Negara.

Peguam negara pada 13hb Oktober lalu  membuat keputusan melepaskan 1MDB daripada apa jua kesalahan jenayah dan tidak ada apa-apa lagi tindakan (NFA), dengan pengumuman dalam sidang akhbar Peguam Negara Tan Sri Apandi.

Terdahulu BNM  mengeluarkan arahan pada 11 Oktober kepada 1MDB menuntut dana sejumlah AS$1.83 bilion (RM7.54 bilion) sehubungan dengan urus niaga kerjasama atau “joint-venture” dengan PetroSaudi International Ltd (PSI) dihantar pulang atau “repatriate”.

BNM juga mengeluarkan arahan bersurat sebanyak 3 sebelum ini supaya 1MDB mengambil tindakan “repatriation” berhubung dana tersebut sebelumnya. Untuk ingatan umum, urus niaga dengan PSI ini yang  banyak dibuat pendedahan tentang dakwaan salah laku, yang antara lain menyaksikan wang sebanyak AS$700 juta berpindah ke akaun Good Star Limited, milik Low Teik Jho atau Jho Low.

BNM mendedahkan terdapat pelbagai kesalahan sama ada maklumat tidak tepat (inaccurate) atau tidak lengkap (incomplete) ketika 1MDB membuat permohonan dan diluluskan BNM dalam penghantaran dana tersebut melalui Akta Kawangan Pertukaran 1953 (Exchange Control Act, 1953).

Meskipun Jabatan Peguam Negara tidak mahu mengambil tindakan kerana 1MDB dikatakan tidak melakukan kesalahan jenayah, tindakan gabenor untuk meneruskan “hukuman” ke atas 1MDB membawa pelbagai implikasi besar buat seluruh tadbir urus sistem kewangan negara.

Menyedari perkara ini, Persatuan Ekonomi Malaysia atau Malaysian Economic Assciation, sebuah persatuan berusia 50 tahun yang berpusat di Universiti Malaya bertujuan mempromosi kepentingan mendalami kajian bidang ekonomi di akademia dan pencerahan pengetahuan awam, mengeluarkan sebuah kenyataan rasmi yang panjang dan sangat diplomatik, mengingatkan pihak kerajaan dan awam supaya kedudukan institusi BNM dipelihara kebebasan dan wibawanya dalam suasana integriti negara sangat dipertikai kini.

Sayugia dingatkan antara matlamat di dalam ucapan bajet menteri kewangan baru-baru ini seharusnya adalah untuk menyuntik kembali keyakinan pihak pelabur bagi menangani sekaligus kejatuhan nilai ringgit dan terhadap integriti sistem tadbir urus kewangan negara.

Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak gagal menggunakan peluang tersebut, khasnya bagi membuat beberapa penerangan tentang kontroversi sekitar 1MDB khasnya bersabitan derma RM2.6 bilion dan hubungkaitnya dengan urus niaga 1MDB. Perkara ini terus menjejaskan persoalan “market confidence” atau keyakinan pasaran terhadap Malaysia serentak menjejaskan nilai ringgit.

Kenyataan peguam negara tentang kedudukan keputusan NFA ke atas 1MDB juga adalah satu yang sangat rumit dan menyusahkan, kerana ia pastinya menjejaskan sedikit sebanyak kewibawaan BNM dan gabenornya yang bertindak atas keperluan menjaga integriti dan kredibiliti bank pusat atau central bank negara ini.

Tegasnya, umum menganggapi tindakan untuk meneruskan “administrative action” ke atas 1MDB itu sebagai satu cabaran atau juga ditaggapi satu “coup” ke atas kuasa Jabatan Peguam Negara selaku “the sole prosecutor” dalam sistem perundangan negara. Mengikut ingatan dan semakan penulis, episod ini “unprecedented” atau tidak pernah berlaku.

Peguam negara, selepas mengisytihar verdict NFA ke atas 1MDB perlu untuk membuat penjelasan dan pencerahan yang teliti dan cermat. Ini adalah bertujuan merungkaikan segala kontroversi dan dakwa-dakwi ke atas syarikat pelaburan strategik kerajaan ini yang menjadi tumpuan negara bahkan beberapa pusat kewangan dunia yang terpalit dengan urus niaganya termasuk siasatan Federal Bureau of Investigation atau FBI.

Goldman Sachs, sebuah bank pelaburan AS, mendapat bayaran sebanyak AS$500 juta dalam terbitan 3 bon untuk 1MDB.

Najib dan peguam negara, gagal melunaskan tanggungawab ini dengan baik. Hari ini, hanya BNM kekal sebagai institusi tunggal yang berani “menyemak-imbang" pihak eksekutif dan juga pihak judisiari negara. Pihak legislatif di bawah pimpinan speakernya, juga mula ditanggapi sebagai hanya “menurut” dan “tunduk” kepada pihak eksekutif yakni perdana menteri yang melantik beliau.

Siapa mangsa semua angkara ini...BNM dan rakyat Malaysia...malang! – 28 Oktober, 2015.

* Ini ialah pendapat peribadi penulis dan tidak semestinya mewakili pandangan The Malaysian Insider. 

Comments

Please refrain from nicknames or comments of a racist, sexist, personal, vulgar or derogatory nature, or you may risk being blocked from commenting in our website. We encourage commenters to use their real names as their username. As comments are moderated, they may not appear immediately or even on the same day you posted them. We also reserve the right to delete off-topic comments