Opinion

Siapa menang; regu Dr Mahathir-Ku Li atau Najib-Umnonya?

Tun Dr Mahathir Mohamad, bekas perdana menteri Malaysia yang bersara sejak Oktober 2003, masih berbisa. Menghimbau rentetan sejarah politik negara, hanya Tun Razak saja yang tidak digugat beliau.

Benar, Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak pernah menyelamatkan beliau dalam pertarungan sengit pemilihan parti pada 1987. Benar, Najib yang juga ketua Pemuda Umno ketika itu, menukar sokongan dari lawan atau pesaing Dr Mahathir sekali gus menyelamatkan beliau dengan kemenangan tipis. Pesaingnya ialah Tan Sri Tengku Razaleigh Hamzah (Ku Li). Umum masih ingat, Umno berpecah akibat pertarungan bersejarah itu.

Gelagat orang politik adalah persis dikatakan Henry Kissinger; ‘America has no permanent friends or enemies, only interest’. Nah, meskipun penulis kurang senang dengan ‘maxim’ atau kaedah politik ini, namun itulah ‘hakikatnya’ dalam politik; ‘musuh mahupun kawan bukan untuk selama-lamanya, yang kekal adalah kepentingan’.

Dr Mahathir yang mempertingkatkan serangan di Facebooknya mutakhir ini diramal berpotensi menumbangkan Najib. Beregu dengan Ku Li, seluruh warga Umno, khas ‘warlords’nya, tidak lagi boleh buat pekak kepada asakan kedua-dua tokoh veteran parti Melayu terbesar di negara ini.

Prestasi Najib dikatakan Dr Mahathir lebih teruk daripada perdana menteri sebelumnya, iaitu Tun Abdulah Ahmad Badawi (Pak Lah). Ingatan umum masih segar Dr Mahathir dan Najib menyingkir Pak Lah kerana kononnya, kepimpinannya lemah. Sekarang kalimat jelik itu ‘boomerang’ kepadanya.

Meskipun 160 daripada 193 ketua bahagian Umno menyokong Najib pada 8 Mac lalu (di Pusat Dagangan Dunia Putra) dan semalam ketua BNBBC juga menyatakan sedemikian terhadap Najib, umum sedar isu yang dilontar Dr Mahathir sukar untuk ditangkis atau dipertahankan.

Mungkin Umno belum mahu untuk menukar presidennya atau sebab seperti didakwa Dr Mahathir, mereka setia secara 'buta tuli' kepada pemimpin. Pun begitu, yang jelasnya kini, Najib tidak lagi boleh bertahan dengan berbisu seribu bahasa.

Pelbagai isu dibangkitkan Dr Mahathir sejak serangan terhadap Najib mula dilancarkan termasuk kemewahan dan kekayaan luar biasa anak tiri perdana menteri itu serentak mempertikaikan kekayaan keluarga Najib sendiri. Laporan dibuat majalah The New York Times (8 Februari, 2015) menggemparkan umum.

Tidak perlu mengulang siri gambar yang memperlihatkan isteri Najib, Datin Seri Rosmah Mansor memegang sekurang-kurangnya 9 beg tangan Birkin yang berbeza, yang biasanya berharga di antara AS$9,000 (RM32,000) sehingga AS$150,000 (RM530,000) setiap satu.

Akhbar Amerika Syarikat itu juga melaporkan ia memperoleh invois dan dokumen lain yang menunjukkan berjuta-juta dolar barang kemas termasuk cincin berlian dan zamrud, gelang zamrud dan delima yang ditempah Rosmah di Hong Kong pada 2008 dan 2009.

The New York Times itu juga mendedahkan transaksi anak tiri Najib, Riza Aziz, 38, yang membeli sebuah apartmen di Park Laurel, New York bernilai AS$33.5 juta (RM117.5 juta) dan sebuah rumah di Beverly Hills bernilai sekurang-kurangnya AS$17.5 juta (RM61. 5 juta) secara tunai.

Namun yang bakal mengundang bala dan musibah besar terhadap karier politik Najib ialah ulangan asakan isu pembunuhan wanita Mongolia, Altantuya Shaariibuu dan pembabitan 2 anggota Unit Tindakan Khas, Sirul Azhar Umar dan Azilah Hadri, yang disabit kesalahan membunuh, oleh mahkamah. Sirul terkini mendakwa beliau melakukan perbuatan itu mengikut arahan.

Menghimbau ingatan, pelbagai soalan masih tidak terjawab bersabit penggunaan C4, Deepak, PI Bala dan mengapa DSP Musa Safri, orang atasan Sirul dan bekas pembantu (ADC) Najib, ketika menjadi timbalan perdana menteri, tidak dipanggil menjadi saksi pihak pendakwaan.

Dr Mahathir tegaskan rakyat mahu tahu siapa yang mengarah pembunuhan ini. Kenyataan Dr Mahathir berhubung Sirul pernah berkerja sebagai pengawal peribadinya dan tidak pernah pula membunuh sesiapa ketika itu, adalah pelik. Apa yang mahu dimaksudkan Dr Mahathir terdedah kepada pentafsiran. Tegasnya buat Dr Mahathir, amatlah zalim jika Sirul dibunuh kerana menjalankan arahan.

Isu kedua kembali bersabit tuduhan penyelewengan urus niaga 1MDB melibatkan berbilion ringgit oleh Jho Low, rakan Najib dan Rosmah. Tuduhan ini tidak lagi boleh lagi dijawab Najib dengan mendakwa semua itu hanya pembohongan atau Deloitte menjalankan 'pengauditan forensik’ terhadap 1MDB. Penulis ini tidak pula ingat tentang audit forensik itu, tetapi 160 ketua bahagian Umno percaya termasuk ketua BNBBC penjelasan Najib.

Lebih khusus, di samping perpindahan AS$700 juta (RM2.5bilion) yang jelasnya kesalahan pecah amanah (CBT) ke akaun Swiss Bank milik Low Taek Jho atau Jho Low. Banyak lagi isu yang berserabut dalam urus niaga 1MDB termasuk pembelian 1MDB oleh syarikat Tun Taib Mahmud, iaitu Utama Banking Berhad (UBG) yang penuh kontroversi. Pembelian melibatkan dana RM1.4 bilion itu menggunakan dana milik 1MDB sebanyak RM850 juta.

1MDB menjadi lambang kebobrokan tadbir urus kewangan era Najibnomics yang dulu dibanggakan. Kebetulan sebuah Harvard Business School pada 2009 bersedia membuat ‘case study’ tentang reformasi ekonomi yang dianjurkan Najib.

Mungkinkah Umno belum bersedia mengundurkan presiden mereka kerana takut karam bersamanya? Mampukah Najib dan ketua bahagian bersama BNBBC bertahan pukulan atau ‘onslaught’ regu Dr Mahathir - Ku Li kali ini? Apakah Tan Sri Muhyiddin Yassin atau Ku Li sendiri atau tokoh baru bakal menjelma? Bersediakah rakyat menerima atau ada formula lain sedang dirundingkan beberapa pihak?

Sama-sama kita saksikan pergolakan episod seterusnya. – 7 April, 2015.

* Ini ialah pendapat peribadi penulis dan tidak semestinya mewakili pandangan The Malaysian Insider.

Comments

Please refrain from nicknames or comments of a racist, sexist, personal, vulgar or derogatory nature, or you may risk being blocked from commenting in our website. We encourage commenters to use their real names as their username. As comments are moderated, they may not appear immediately or even on the same day you posted them. We also reserve the right to delete off-topic comments