Tidak pasti apa respons saya sebenarnya. Sedih atau suka apabila Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak kata Melayu akan jadi 'bangsat' sekiranya Umno kalah dan hilang kuasa kerajaan persekutuan.
Secara ikhlasnya memang ada perasaan sedih dan kecewa mengenangkan masih ramai orang Melayu yang percaya akan khurafat dan doktrin hanya Umno mampu membela Melayu. Untuk membebaskan Melayu daripada doktrin ini sangat sukar.
Orang Melayu khasnya di luar bandar bahkan juga di bandar, yang kurang bermaklumat atau mendapat maklumat daripada akhbar perdana seperti Utusan dan RTM, akan terus percaya hanya Umno yang mampu membela Melayu.
Ya, memang sedih dan kesian orang Melayu terbelenggu dengan khurafat ini. Mereka kekal dalam politik perlindungan atau ‘patronage’ ini. Mereka mudah ditakut-takutkan atau diugut. Mungkin sampai kiamat agaknya.
Hendak ketawa dan merasa lucu ya juga, sebab PM ini tidak habis-habis hendak 'berjenaka'. Dengan ‘expose' atau pendedahan yg dibuat media antarabangsa seperti WSJ dan New York Time (NYT) tentang pelbagai skandal, termasuk terkini hal 'derma', melibatkan Najib selaku pengerusi Lembaga Penasihat syarikat 1Malaysian Development Berhad atau 1MDB, dia masih mencuba. Ini melucukan.
Kalau dulu Umno memang jelas membantu rakyat khasnya orang Melayu. Contoh mudah, allahyarham Tun Razak, ayahanda Najib, membangunkan kaum Melayu dan Bumiputera dengan projek pembangunan seperti Felda. Sebaliknya, hari ini Umno di bawah Najib merungkaikan dan merencat usaha membangunkan warga peneroka.
Kini mereka dimangsakan. Ketika Felda Global Venture (FGV) akhirnya disenaraikan menjana hampir RM10 bilion, 112, 635 peneroka hanya diperuntukkan 91 juta saham dan berakhir dengan mendapat kurang daripada satu lot (800 unit). Mereka meminjam RM3,563 untuk membeli saham tersebut. Mutakhir, harga saham Felda merudum tinggal RM1.50 sesaham berbanding RM4.55 sesaham ketika diapung dulu. Peneroka terbeban hutang kerana membeli saham dahulu. Yang untung pihak korporat dan pengurusan. Yang merana peneroka. Umno membela peneroka Melayu?
Umum belum melupai bagaimana FGV Berjaya membeli 51% pegangan saham Koperasi Peneroka Felda (KPF) dalam Felda Holding Berhad (FHB) dengan harga murah daripada sepatutnya sebanyak RM4.1 bilion. Sekali lagi Melayu yakni kelompok peneroka ditipu korporat Melayu Umno!
Ramai yang mula celik sekarang ini dan tahu peneroka yg mengusahakan kebun sendiri mendapat pendapatan lebih lumayan daripada berurusan dengan pihak korporat Felda. Ada juga pihak tertentu terbukti sabit menipu peneroka tentang perahan minyak sawit.
Tun Razak sebagai Umno Asal atau Original, bangunkan Melayu, Umno sekarang tipu Melayu. Inilah 'Melayu tipu Melayu'.
Cerita terkini tentunya hal 1MDB. Bayangkan dana berbilion ringgit yang boleh digunakan untuk membangunkan orang Melayu dan juga kaum lain kalau tidak digunakan untuk 'bailout' dan selamatkan 1MDB. Hutang korporatnya mencecah lebih RM42 bilion. Seandainya gagal dilunaskan 1MDB, semua akan terbeban ke atas kerajaan persekutuan.
Berapa kali kerajaan bailout dengan diberi pula line kredit RM950 juta untuk digunakan 1MDB bila-bila masa.
Nah, bayangkan kalau tidak ada Umno dan Najib, maka tidak akan ada angkara 1MDB. Seluruh dana berbilion ringgit ini boleh kita gunakan membangunkan rakyat. Maka sekali lagi Umno bangsatkan rakyat khasnya bangsa Melayu.
Dengan kata lain, sebab angkara Najib dan Umnolah berbilion dana-dana awam ini 'koyak' dek mereka. Jadi siapa yang 'kencing dan tipu' Melayu. Umno!
Satu lagi contoh Najib 'tipu' Melayu ialah dengan menjual tanah diperuntukkan Pak Lah untuk Perbadanan Hartanah Bumiputera Berhad (PHBB) kepada 1MDB. Itulah tanah yang kini hendak dibangunkan projek TRX Exchange.
Tanah itu asalnya diberikan kepada PHBB utk dibangunkan oleh mana-mana pemaju Bumiputera sebagai pembangunan hartanah Bumiputera dan akhirnya akan menerbitkan REIT seumpama Amanah Hartanah Bumiputera (ASH) untuk orang Melayu dan Bumiputera. Ini penting untuk bangunkan Melayu supaya memiliki saham dalam aset 'prima' di tengah-tengah bandar Kuala Lumpur.
Sebab Najib dan Umno 'tipu dan bangsatkan' Melayu, maka semua perancangan baik dulu dikorbankan Umno hari ini. Menjadi lebih celaka dan bangsat kerana dijual kepada 1MDB dgn harga kroni sebanyak RM60 kaki persegi (kps), tetapi dijual semula kepada seumpama Tabung Haji setinggi RM2,700 kps dan terkini kepada Affin Bank melebihi RM4,700 kps. Apa yang orang Melayu dapat?
Dengan hanya mengambil beberapa contoh ini saja, cukup untuk saya buktikan Umno sekarang ini yang 'membangsatkan' Melayu! Naratif penuhnya terlalu panjang, dengan kisah pembangsatan bangsa Melayu yang sangat mengaibkan. Tolak tepilah hal urusan kewangan yang sangat culas, boros dan khianat yang mengakibatkan rakyat dibebani cukai GST yang ganas regresif.
Najib tidak sedar apabila beliau mengatakan kalau Umno kalah Melayu menjadi bangsat bermakna selain Umno, Melayu akan jadi bangsat! Tetapi hakikat sebaliknya tidak beliau sedari sehingga kini.
Nah untuk menamatkan program 'pembangsatan' Melayu, maka Melayu mesti tolak Najib dan Umno dalam pilihan raya akan datang. Tegasnya, Melayu akan selamat dan sejahtera apabila Umno hilang kuasa di peringkat persekutuan!
Dengan kata lain, siapa yang 'membangsatkan' orang Melayu? Najib dan Umno! – 25 Ogos, 2015.
* Ini ialah pendapat peribadi penulis dan tidak semestinya mewakili pandangan The Malaysian Insider.
Comments
Please refrain from nicknames or comments of a racist, sexist, personal, vulgar or derogatory nature, or you may risk being blocked from commenting in our website. We encourage commenters to use their real names as their username. As comments are moderated, they may not appear immediately or even on the same day you posted them. We also reserve the right to delete off-topic comments