Opinion

‘Smart Autocrat’ – Tun dan ISA

Gesaan Tun Mahathir supaya Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) dihidupkan kembali tidak memeranjatkan. Pihak yang benar-benar mengenali kepemimpinan beliau selama 22 tahun sangat memahami.

Media Barat pernah menggambarkan Mahathir sebaris Mr Lee Kuan Yew sebagai “smart autocrat” sementara melabel Suharto sebagai “dumb autocrat” (http://www.smh.com.au/opinion/politi...0222-ornl.html).

Tidak hairan kalau kita diingatkan bagaimana Tun memandulkan kuasa “semak-imbang” daripada Institusi Legislatif dan Judisiari ke atas eksekutif. “Political tantrum” atau “ragam political” Tun terserlah setiap kali berdepan situasi cemas dan cabaran getir.

Tidak ada pihak yang terlepas daripada “kuasa ganasnya” termasuk kekebalan Sultan dan penjawat tertinggi institusi kehakiman. Pemecatan Ketua Hakim Negara (Lord President – panggilan ketika itu), sekaligus mencetuskan krisis kehakiman 1988.

Kemelut yang diberi jolokan “Travesty of Justice” atau “Penghinaan Keadilan” menjadi bahan utama tesis penyelidikan yang mengizinkan Datuk Seri Utama Rais Yatim menggunakan title Dr dewasa ini.

Dalam rentetan kemelut penggunaan kalimah Allah yang serba dikusutkan lagi dengan serbuan Jais terhadap Pertubuhan Bible dan rampasan naskhah kitab Bible mereka, konflik serta pertentangan agama ini pastinya bakal membuak ke kemuncaknya.

Masih sebagai seorang autocrat, Tun sangat tidak senang dengan situasi perbalahan yang tajam seperti ini. Seorang demokrat sebaliknya melihat dinamika dissent atau pertentangan-persaingan sebagai peluang atau opportunity merelaikan sekaligus memberikan penyelesian kepada apa yang sebenarnya merupakan “konflik dalaman tak terungkai” atau “unresolved internal conflict” dalam sebuah negara-bangsa yang sifatnya sangat majmuk atau “pluralis”.

Negara plural ini berhajatkan pelbagai pertentangan harapan dan kepentingan atau mutually exclusive demands dan expectations ini digarap secara berani dan matang. Peluang untuk mewujudkan satu national dialogue atau conversation atau satu bicara nasional dalam wacana-wacana dan seminar bahkan debat yang bebas emosi dan ketegangan.

Buat Mahathir semua ini hanyalah “ancaman” negara dan sangat bermudah seorang autocrat melabelkan golongan yang tidak disenangi sebagai ekstremis atau puak pelampau dan “pengacau” yang mesti ditangani segera sebelum menjejaskan ketenteraman negara. Atas nama keamanan dan kepentingan umum atau public interest, autocrat lazim bertindak memburukkan lagi situasi secara represif.

Buat Mahathir hanya ada satu jalan bagi mereka yang telah dilabel ekstremis dan pelampau yakni cara-cara undang-undang draconian yakni ISA. Mahathir kurang senang berdialog, berwacana atau berdebat. Kalau tak mahu semua itu pun tak apa tetapi gunalah undang-undang secara “Rule of Law” atau Kedaulatan Undang-Undang” bukan “Undang-Undang Penguasa” atau ”Law of the Rule”!

ISA seperti umum tahu adalah “Penahanan Tanpa Bicara” atau “Detention without Trial” berlawanan dengan prinsip Islam “Al Aslu Bariiatu Zimmah” atau “Asal kedudukan Bebas dari Kesalahan” atau “maxim” undang-undang Barat “Innocent until proven guilty”.

Udang-undang zalim dan tidak berperikemanusian ini menyiksa “mangsa” dan juga turut menganiaya keluarga sebab dinafikan bersama “mangsa” yang dipenjara. Meringkuk bertahun-tahun sebagai tahanan ISA sebelum jelas sabitan kesalahan pastinya hukuman yang sangat tidak bertamadun atau ‘drakonian’.

Ketika ISA dimansuhkan pada Septemebr 2011 dahulu, PM Najib dalam ucapan yang dikira bernas juga menyebutkan bahawa usaha ke arah memacu negara maju memerlukan masyarakat yang lebih matang dan demokratik dan sebuah sistem demokrasi yang functional atau berfungsi.

Apakah semua retorik Najib itu akan terkorban dan dikorbankan dengan gesaan Tun Mahthir ini? Apakah sekali lagi rakyat bahkan dunia akan sekali lagi menyaksikan bahawa Najib tidak punya tulang belakang atau ‘spineless’ atau benarkah dakwaan bahawa dia seorang “Demokrat Tiruan” atau “A False Democrat”?

Segala dakwaan bahawa ISA acap kali disalahgunakan termasuk Ops Lalang – 1987 dan juga yang digunakan semasa Najib memerintah ke atas beberapa peribadi termasuk Ahli Parlimen Sungai Siput dan YB Seputih, adalah berasas dan punya bukti.

Dalam penggulungan perbahasan Akta Undang-Undang Kesalahan Keselamatan (Special Measures) – Sosma, de facto Menteri Undang-undang mengakui bahawa ISA telah pernah disalahgunakan oleh pihak pemerintah dan beliau menyebutkan bahawa tiada jaminan bahawa Sosma tidak disalahgunakan. Beliau mahukan rakyat menyemak-imbang pihak eksekutif.

Sangat malang cadangan Tun disokong segera oleh Ketua Polis Negara. Sikap itu memburukkan lagi persepsi terhadap pihak PDRM bahawa mereka perlu undang-undang seperti ISA untuk mengawal ketenteraman negara. Mereka masih tidak mampu berdiri sebagai Pasukan Keselamatan yang professional kerana memerlukan “undang-undang represif dan kejam” ini.

Amat ironis dan paradox sekali cadangan ini disokong terus oleh Perkasa. Sebabnya? Ya, kelompok ini masih tidak insaf walau dinasihatkan oleh YBM Gua Musang. Mereka tidak sedar di kaca mata awam, merekalah kelompok “ekstremis” yang kerap mengganggu ketenteraman negara dan keharmonian antara agama dan  mengapi-api pertentangan bangsa sebaris media perdana seperti Utusan.

Merekalah calon pertama yang sepatutnya “dimangsakan” ISA bukan golongan “pengacau” seperti yang tersirat dalam ucapan Tun golongan gereja dan mereka yang membuat protes Turun untuk menangani kenaikan harga barang secara aman untuk kepentingan rakyat teramai.

Negara sudah punya Sosma, Kanun Keseksaan (Penal Code) dan Akta Pencegahan Jenayah (PCA) yang mampu menangani kes jenayah, terrorisme dan ekstremis. Cukuplah negara yang berdekad dibelenggu ISA sekaligus membudayakan Politik Ketakutan (Politics of Fear) dan rakyat yang berjiwa penakut dan tidak merdeka.

Bersediakah rakyat di bumi bertuah ini untuk sepakat mengikis segala saki-baki doktrin Mahathirisme lantas memacu daya juang serta daya saing negara untuk berada dalam liga negara yang dihormati? – 16 Januari, 2014.

* Ini adalah pendapat peribadi penulis dan tidak semestinya mewakili pandangan The Malaysian Insider.

Comments

Please refrain from nicknames or comments of a racist, sexist, personal, vulgar or derogatory nature, or you may risk being blocked from commenting in our website. We encourage commenters to use their real names as their username. As comments are moderated, they may not appear immediately or even on the same day you posted them. We also reserve the right to delete off-topic comments