Opinion

Apabila simbol dipertuhankan

Sekali lagi orang Islam melakukan jenayah terhadap rakyat jelata di Malaysia. Pada saya, kaum yang menjadi mangsa tindakan tidak waras ini tak lain dan tak bukan adalah orang Islam sendiri.

Mengapa saya berfikir begini? Kerana, semakin lama, semakin sempit mentaliti orang Islam. Mereka menyamakan agama Islam dengan satu simbol dan menganggap Islam itu sebagai perang di antara simbol.

Dengan ini, simbol Islam itu sebagai objek sembahan atau tuhan. Mereka tidak memahami apa itu fungsi simbol dan dari mana datangnya simbol mereka sendiri.  

Sebelum kita mendalami isu ini, mari kita sama-sama fikirkan: Apa itu simbol? Jika kita memandu kereta dan kita melihat papan tanda merah dengan tanda “-“ dalam warna putih, kita akan tahu yang papan tanda itu bertujuan memberitahu kita yang kita tidak boleh memasuki jalan tersebut.

Jika papan tanda itu difahami secara literal atau secara zahiri dalam bahasa perundangan Islam, kita akan menjangkakan yang dalam jalan tersebut ada banyak “-“ yang berwarna putih! Jangkaan ini sememangnya tidak masuk akal tetapi inilah yang sebenarnya berlaku di Taman Medan tempoh hari.

Lebih kurang 50 orang Islam memprotes secara aman terhadap sebuah gereja yang mempamerkan sebuah salib di bangunannya.

Kononnya, pameran salib ini “mencabar umat Islam”. Adakah dengan hanya mempamerkan satu simbol daripada agama lain, umat Islam tercabar? Betapa dangkal dan ceteknya pemikiran sebegini!

Bagaimana pula dengan simbol yang biasanya dikaitkan dengan agama Islam? Kepada umat Islam yang alirannya Ahli Sunnah Wal Jama’ah, simbol yang lazim mereka gunakan adalah simbol bulan sabit dan anak bintang.

Simbol ini dikenali di seluruh pelosok dunia Islam dan juga digunakan pada bendera negara Islam. Tetapi adakah simbol bulan sabit dan anak bintang ini semangnya simbol yang asli daripada Allah?

Jika kita mengkaji al-Quran, ia sememangnya tiada pengesyoran tentang apa sepatutnya menjadi simbol agama Islam. Ini adalah kerana al-Quran tidak mengajar yang Islam itu adalah monopoli mana-mana institusi.

Islam adalah prinsip yang beroperasi dalam banyak agama dan tradisi. Bukan sahaja itu, al-Quran juga menghormati kepelbagaian dalam bahasa (Surah 30, Ayat 22) dan juga dalam melakukan ritual. Simbol langsung tidak menjadi isu dalam skop al-Quran.

Daripada sudut Sunnah yang sememangnya hanya pendapat ulama sahaja, terdapat hanya bukti berikut: “Terdapat sebuah riwayat dari Ibnu Yunus bahwa ada seorang sahabat bernama Abul Kanud, Sa’d bin Malik al-Azdi, beliau pernah bertamu kepada Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wa sallam di Madinah. Kemudian Nabi Muhammad memasangkan sebuah bendera untuk dia bawa kepada kaumnya. Bendera itu berwarna hitam, bergambar bulan sabit putih.

Daripada isi kandung riwayat ini pun, jelas yang bendera ini bukanlah satu perkara lazim yang dilakukan Rasulullah. Jika demikian, sudah tentu ia perkara yang diulangi. Lagipun menurut ulama, riwayat ini adalah daif(bukan sahih).

Sarjana Islam juga berpendapat yang ‘lambang bulan sabit dan anak bintang, tidak pernah dikenali pada zaman Nabi Muhammad mahupun sahabat. Bahkan belum dikenal pada zaman Umayah. Ada yang mengatakan, pertama kali muncul pada zaman empayar Turki Uthmaniyah (sekitar abad ke-13 Masihi).

Juga, menurut ulama, meletakkan gambar bulan sabit dan anak bintang di atas menara masjid, termasuk bidaah (sesuatu yang baru). Penguasa empayar Turki Uthmaniyah menggunakan lambang ini sebagai lambang rasmi dengan meniru lambang istana di romawi.

Kejadian awal mulanya, bahwa Paulus al-Maqduni ayah dari Iskandar Akbar pernah menyerang konstatinopel bersama pasukannya. Di beberapa malam penyerangan, mereka berhasil mengalahkan penduduk negeri itu, dan mengusir mereka.

Kejadian itu bertepatan dengan waktu sahur. Lalu mereka merasa optimis dengan waktu itu, dan menjadikan gambar hilal (bulan sabit) sebagai lambang resmi mereka, untuk mengingat peristiwa itu.

Lambang ini juga dipakai di berbagai istana, kemudian ditiru Turki Uthmaniyah, ketika mereka berhasil mengalahkannya. Kemudian lambang itu masuk ke negeri Qazan.

Daripada maklumat di atas, amatlah jelas bahawa simbol umat Islam sendiri iaitu bulan sabit dan anak bintang tidak berteraskan kedua-dua sumber asli hukum Islam Tradisional, iaitu al-Quran dan Sunnah.

Kenapa umat Islam tidak tercabar dengan simbol ini pula? Tidak terpesongkah akidah umat Islam bila kita mengidentitikan simbol ini dengan sesuatu agama? Jika tidak, mengapa kita hilang akal apabila simbol salib digunakan untuk menandakan fungsi sesuatu bangunan?

Sebenarnya, apa yang berlaku ialah kita umat Islam mempertuhankan simbol. Tuhan dan agama adalah konsep yang bukanlah boleh dihadkan kepada sesuatu simbol sahaja. Ketaksuban kepada simbol telah menjadikan orang Islam senang diperdayakan oleh anasir-anasir politik.

Anasir inilah yang membuat kekacauan ini hanya untuk mengalihkan perhatian daripada isu penting yang sedang mengganggu ketenteraman negara. – 29 April, 2015.

* Ini ialah pendapat peribadi penulis dan tidak semestinya mewakili pandangan The Malaysian Insider.

Comments

Please refrain from nicknames or comments of a racist, sexist, personal, vulgar or derogatory nature, or you may risk being blocked from commenting in our website. We encourage commenters to use their real names as their username. As comments are moderated, they may not appear immediately or even on the same day you posted them. We also reserve the right to delete off-topic comments