Opinion

Eksploitasi Islam semasa perhimpunan agung Umno

Tiap-tiap tahun akan berlangsunglah pesta tarian di Pusat Dagangan Dunia Putra. Dalam pesta ini, ada bermacam-macam ragam tarian yang bertujuan menawan hati ahli dan juga, jika ada liputan media, hati rakyat jelata. Walaupun peserta tarian ini nampaknya serius, namun mereka digelak ketawakan rakyat jelata. Inilah persembahan komedi perhimpunan agung Umno.

Tahun ini, Umno merendahkan retorik mereka ke tahap lebih teruk daripada biasa dengan mengeksploitasi agama Islam termasuk Al-Quran sendiri. Kalau difikirkan, bukanlah mengejutkan sangat Umno berbuat demikian. Apa yang benar-benar mengejutkan ialah pernyataan yang dibuat dengan benar-benar berkontradiksi dengan ajaran agama Islam.

Pertama sekali adalah polisi aparteid (perpisahan) dalam acara yang dinamakan 'Daulatkan Islam Agama Negara' (Dian). Dalam acara yang dirasmikan Datuk Seri Zahid Hamidi ini, hanya wartawan beragama Islam dibenarkan masuk. Kenapa begini pula? Adakah agenda rahsia yang mahu diketengahkan? Sebab yang lemah diberi iaitu wartawan bukan Islam kononnya tidak dapat memahami acara Islam. Mungkin penganjur acara ini tidak sedar yang pelajaran agama Islam boleh diikuti semua orang. Kita hidup dalam zaman di mana maklumat sedia ada untuk ditatapi. Aksi Umno berbuat begini hanyalah menimbulkan syak wasangka dan memecahbelahkan rakyat.

Kedua ialah pernyataan Ahli Parlimen Jerlun Othman Aziz, yang menampakkan kedangkalan dalam pemikiran teologi (ketuhanan). Menurutnya, kononnya Datuk Seri Najib Razak dipilih Allah kerana tiada yang lain sepertinya. Jika kita mengkaji Al-Quran, entiti yang mempunyai sifat keunikan (al-wahid) ialah Allah sendiri (Surah Al-Baqarah, Ayat 163). Rasulullah sendiri disuruh mengaku yang dia bukanlah selain daripada manusia biasa yang menerima wahyu (Surah Al-Kahf, Ayat 109). Maka pernyataan Othman menyimpang jauh daripada ketauhidan Al-Quran.

Adakah Allah yang memilih Najib? Bukan, Najib dipilih menurut proses dalaman Umno (yang paling tidak berdemokrasi). Kerana Umno memenangi pilihan raya (walaupun kalah dalam bilangan undi), Najib yang menjadi presiden Umno dinaikkan sebagai perdana menteri Malaysia.

Allah langsung tiada peranan dalam proses ini. Sebenarnya dalam Al-Quran, yang terpilih adalah para nabi. Yang diberi penghormatan istimewa ialah Nabi Musa yang dipilih Allah untuk diriNya (li nafsee, Surah Taha, Ayat 41). Kenapa Nabi Musa dipilih begitu? Kerana dia menentang Firaun yang maha zalim. Firaun menindas orang bawahan dan mengenakan tindakan kepada orang yang melanggar kemahuannya. Adakah perdana menteri kita lebih kepada peribadi Nabi Musa atau Firaun?

Othman juga berpendapat Najib dipilih kerana 'daya ketahanannya' yang dapat bertahan dengan serangan dibuat. Kononnya, inilah bukti Najib dipilih Allah. Pertama sekali, kita belum tahu apakah akibat skandal yang sedang melanda Umno sekarang. Mungkin kritikan ditonjolkan kepada Umno akan membawa kejatuhannya. Saya nasihatkan Othman supaya jangan takbur.

Kedua, kita mesti faham mekanisme Umno yang menghalang pemilihan berlaku. Presiden boleh menangguhkan pemilihan sepertimana yang dilakukan Najib ke tahun 2016. Jadi janganlah kita menuding jari kepada Allah. Semuanya angkara manusia, sebenarnya. Akhir sekali, kenyataan yang paling membodohkan peserta perhimpunan agung Umno datang daripada Najib sendiri.

Menurut laporan ini, Najib mengatakan Al-Quran menekankan kesetiaan kepada ketua yang dibahasakan sebagai 'ulil amri' (Surah An-Nisa, Ayat 59). Inilah masalah dengan membaca Al-Quran tanpa memahami konteks ayat tema surah yang tertentu.

Kita perlu memahami ayat ini dalam Surah An-Nisa yang bermula dengan bantuan kepada golongan yang ditindas. Ini sudah jelas daripada permulaan surah ini (4/1-6) yang menekankan bantuan jangka panjang kepada anak yatim. Adakah ini diamalkan Umno? Rasanya tidak. Yang pasti, polisi Umno memisahkan manusia sejagat mengikut kaum atau bangsa, bukan sejajar dengan falsafah politik Al-Quran. Al-Quran tidak memisahkan antara kaum, bangsa atau agama bila kita berbuat kebaikan. Jika kita menganalisis Al-Quran (contohnya 2/83, 4/36, 6/151 and 17/23) kebaikan tidak pernah dihadkan kepada manusia yang sebangsa atau seagama dengan kita.

Jadi dengan logik ini, 'ulil amri minkum' (yang mentadbir daripada kamu semua) bukanlah merujuk kepada kerajaan yang tidak mematuhi kepada 'world-view' Al-Quran. Yang perlu diberi kesetiaan ialah rasul sendiri melalui ayat 'taatlah kepada Allah yang taat kepada rasul' (ayat 4/59 sendiri mengandungi perintah ini). Rasul pun ada kondisinya kerana dia perlu menghakimi sistemnya mengikut kitab (4/105 and 5/48). Jadi 'ulil amri minkum' bukanlah merujuk kepada Umno yang tidak mengikut sistem ini.

Sebenarnya, para nabi yang patut dicontohi sentiasa mencabar ketua kaum mereka. Jika kita meneliti Surah Al-A'raaf Ayat 59-158, kita akan dapati rasul menolak sistem kezaliman kaum mereka. Ini termasuklah pembesar kaum mereka yang mempunyai sikap bongkak terhadap rakyat lain. Ini memang selari dengan sikap Umno yang tidak mementingkan keadilan. Polisi Umno yang berbaur kronisme dan nepotisme sememangnya lebih dekat kepada sistem kezaliman dicabar rasul.

Penyalahgunaan agama Islam oleh ahli politik sesuatu yang meloyakan. Mereka berkelakuan seolah-olah perbuatan mereka diperakui agama Islam. Bukan saja itu, mereka menggunakan golongan agamawan seperti Fathul Bari untuk memberi pengiktirafan kepada kelakuan mereka.

Fathul Bari memberi cerita daripada hadis dan tidak langsung membenarkan (confirm) hadis itu dengan Al-Quran. Inilah cara Umno melayan agama Islam. Sebagai alat mengeksploitasi rakyat. Eloklah jika rakyat menolak mereka secepat mungkin. – 16 Disember, 2015.

* Ini ialah pendapat peribadi penulis dan tidak semestinya mewakili pandangan The Malaysian Insider.

Comments

Please refrain from nicknames or comments of a racist, sexist, personal, vulgar or derogatory nature, or you may risk being blocked from commenting in our website. We encourage commenters to use their real names as their username. As comments are moderated, they may not appear immediately or even on the same day you posted them. We also reserve the right to delete off-topic comments