Opinion

Isis datang berkunjung, bersediakah kita?

Apabila kita sudah hampir 40 tahun menanam pohon epal, takkanlah negara kita menjadi pengeluar buah pisang pula! Pohon dan ladang epal akan menjadikan kita pengeluar buah epal. Itu yang masuk akal.

Samalah juga dengan fenomena pengganas Negara Islam Iraq dan Syria (Isis). Jangan kita terkejut bila Isis datang berkunjung ke Nusantara.

Sudah hampir 40 tahun kita menyuburkan tanahair kita dengan retorik yang berbaur Isis, cuma bukan pada tahap yang sama, itu saja. Isi kandung retorik Islam di Malaysia memang sudah lama berbaur seperti Isis.

Retorik sebegini amatlah berguna untuk kerajaan kerana ia retorik mudah, senang menarik minat dan tidak memerlukan daya fikiran.

Minggu lepas, bermulalah babak baru dalam sejarah Nusantara. Indonesia diserang pejuang Isis. Ini bukanlah kali pertama jiran kita diseberang pengganas. Pengeboman Bali yang meragut nyawa lebih 200 orang sudah berlalu lebih 13 tahun lalu.

Serangan terbaru ini mangsanya hanya 1% daripada pengeboman Bali dulu tetapi petandanya amat menggerunkan. Ini adalah kerana selama ini kita hanya bertutur mengenai Isis sahaja. Isis itu merupakan satu benda jauh yang belum sampai ke sudut dunia kita.

Paling teruk pun, ada pejuang Isis dari Nusantara. Beberapa hari sebelum serangan Jakarta ini, ada berita mengenai 2 pejuang Isis Melayu-Islam yang sudah mati sambil membunuh berpuluh orang di Syria dan Iraq. Itu pun masih ok lagi kerana jauh.

Tapi sekarang semuanya sudah berubah.

Serangan Jakarta oleh Isisi menandakan yang bahaya Isis sudah melangkah masuk ke dalam realiti warga Nusantara. Sejurus selepas serangan ini, keluar pula berita seorang suspek yang ada hubungan dengan Isis ditangkap.

Dia merancang untuk melakukan serangan di pusat hiburan. Mengapa di pusat hiburan? Ini adalah soalan yang amat penting.

Mengapa tidak ke masjid atau sekolah? Mungkin kerana mentaliti Isis yang berbentuk kepuakan (tribal mindset). Pada suspek ini, pusat hiburan itu tempat orang “kafir” yang wajarlah diserang.

Apa pula tindakan kerajaan? Terus terang, saya tidak menaruh harapan yang tinggi kepada kerajaan.

Masih ingatkah lagi para pembaca yang bila Isis mula-mula muncul dulu, Datuk Seri Najib Razak memuji mereka kerana dapat mengalahkan tentera Iraq dengan begitu pantas? Ucapan ini mempunyai satu daripada 2 kemungkinan implikasi.

Satu, pihak yang bersimpati dengan Isis sudah menusuk masuk ke jabatan perdana menteri. Dua, yang perdana menteri kurang faham apa akibat bersekongkol dengan teroris.

Dengan serangan Jakarta ini pula, kedengaran Timbalan Menteri Dalam Negeri Datuk Nur Jazlan pula mengatakan yang Malaysia kekurangan dana untuk melawan Isis.

Apa sudah jadi dengan “sumbangan” RM2.6 bilion yang duduk dalam akaun perdana menteri? “Sumbangan” itu diberi untuk melawan Isis (setahun sebelum Isis muncul, mungkin penyumbang itu ahli nujum!). Perang belum bermula, takkanlah dana itu sudah habis pula!

Dengan fakta di atas, janganlah kita rakyat jelata mengharapkan terlalu banyak daripada kerajaan. Mereka kurang berpengalaman dalam perang yang sebegini. Mereka lebih biasa dengan berdiri di depan khalayak ramai dan mengecam sesiapa yang tidak sekepala dengan mereka, itu saja.

Rakyat sepatutnya menjadi lebih proaktif dan memberi sumbangan secara modal insan ke arah ini. Rakyat menghadapi realiti kehidupan harian secara langsung jadi mereka lebih berkemungkinan melihat ancaman yang datang.

Bila bom meletup yang mati dan cedera adalah kita, bukan orang atasan dengan pengawal mereka.

Apakah langkah yang boleh diambil rakyat? Pada pendapat saya, pertama sekali ialah langkah buka mata. Janganlah kita tertidur sentiasa. Kita perlu celik.

Contohnya jika ada orang baru datang ke masjid, jangan buat tak tahu saja. Kita patut mengambil langkah untuk mengenali mereka. Siapa mereka? Dari mana  mereka datang? Fahami sikap mereka terhadap agama, kerajaan dan kepada orang lain.

Jika mereka menunjukkan kebencian terhadap kebanyakan ulama lain dan menganggap mereka sebagai pengkhianat Islam, mungkin mereka ada simpati terhadap Isis atau pengganas lain. Ini tidak bermakna yang  mereka pengganas, tetapi ada kemungkinan di situ.

Begitu juga jika mereka selalu mengecam orang “kafir”. Pada pandangan mereka, sesiapa yang bukan Islam itu dikira “kafir”. Mudah saja.

Bahkan orang Islam seperti Syiah, Ahmadiyah dan Quranis juga boleh dianggap kafir. Jadi kita perlu peka terhadap orang sebegini.

Langkah ke-2 ialah pendidikan. Isis mempunyai senjata ideologi yang amatlah utuh. Strategi mereka mudah saja (sila tonton video mereka untuk merekrut orang baru di YouTube).

Mereka akan memetik ayat Al-Quran dan hadis kepada rekrut baru mereka untuk menunjukkan yang mereka ada autoriti daripada Tuhan.

Kita perlu mendidik anak muda untuk menjawab hujah Isis. Sebenarnya jawapan memang ada, cuma pendidikan agama yang wujud sekarang tidak berorientasikan debat.

Ini membawa kita ke langkah ke-3. Reformasi agama. Sememangnya ada hadis dan tafsiran Al-Quran yang memberi justifikasi kepada aktiviti Isis.

Ideologi sebegini sepatutnya dikeluarkan daripada turath (tradisi ilmu Islam) atau sekurang-kurangnya dijawab para ulama.

Buka medan untuk perdebatan secara umum supaya semua orang dapat melihat kedangkalan hujah Isis. Satu daripada hujah ialah hadis di mana Rasulullah berucap yang dia diperintahkan untuk memerangi manusia sehingga mereka mengucap syahadah.

Bila mereka berbuat demikian, darah dan harta mereka akan selamat. Hadis ini memang kegemaran penyokong Isis yang saya pernah jumpa di London. Tetapi mereka terkilan bila saya menunjukkan ayat Al-Quran yang menyanggah hadis ini. Al-Quran memang kaya dengan hujah sebegini.

Perang dengan Isis sebenarnya boleh dimenangi. Strategi kita perlu bertepatan dengan keadaan. Kita tidak boleh mengharapkan kepada sesiapa kecuali diri kita sendiri. – 20 Januari, 2016.    

Comments

Please refrain from nicknames or comments of a racist, sexist, personal, vulgar or derogatory nature, or you may risk being blocked from commenting in our website. We encourage commenters to use their real names as their username. As comments are moderated, they may not appear immediately or even on the same day you posted them. We also reserve the right to delete off-topic comments