Opinion

Kenapa Melayu-Islam ditanggap bodoh?

Dalam kajian tesis, saya menganalisis fikrah orang Melayu-Islam yang di pinggiran (margins) daripada apa yang normal. Yang di luar kebiasaan, dalam erti kata lain.

Mungkin ramai terkejut yang ada orang Melayu Islam boleh menganjak paradigma pemikiran dengan begitu radikal tetapi itulah hakikatnya.

Sebenarnya, ada ramai pemikir Melayu-Islam yang memang terlalu "ori" sehingga pemikir-pemikir Islam lain dari serata pelosok dunia tidak dapat bertanding dari segi keaslian pemikiran mereka. Tapi kenapa mereka kurang diketahui rakyat jelata?

Pada pendapat saya, ini adalah kerana polisi yang kononnya "melindungi" Melayu-Islam daripada kerosakan akidah dan sebagainya (protectionism).

Soalannya, kenapa Melayu-Islam ditanggap sebagai bodoh sangat walhal mereka mempunyai daya fikiran yang tinggi lagi "ori'?

Jawapannya mungkin terletak kepada keperluan tanggapan atau persepsi. Rakyat yang bijak dan gemar menyoal akan menjadi masalah besar kepada kerajaan yang tidak suka dipersoalkan.

Peguam Negara Tan Sri Mohamed Apandi Ali menyeru rakyat supaya jangan menyoal apakah tujuan derma/pelaburan RM2.6 bilion itu.

Fikirkanlah! Manusia yang sepatutnya mempunyai perasaan ingin tahu paling tinggi di Malaysia menyeru kepada rakyat supaya jangan bertanya!

Inilah tahap Malaysia sekarang. Rakyat yang bodoh sahaja akan menerima situasi ini dan membiarkan eksploitasi terhadap mereka berlarutan.

Inilah sebabnya sistem penindasan pemikiran itu penting bagi pihak yang berkuasa.

Bagaimana penindasan pemikiran berlaku? Dengan kerjasama di antara kerajaan Barisan Nasional (BN) dengan PAS dan agamawan.

PAS bukanlah selalu mahu bekerjasama dengan Umno. Malahan, bila kerjasama erat mula timbul selepas pemergian Tok Guru Datuk Seri Nik Aziz Nik Mat, walaupun Presiden PAS Datuk Seri Abdul Hadi Awang dan mursyidul am baharu Datuk Haron Din amat menyokong kerjasama dengan Umno (mungkin pada mereka, sunnah Nabi itu termasuk unsur-unsur rasisme dan nasionalisme, tak tahu pula saya),  akar umbi PAS masih ada integriti dan menolak kerjasama ini.

Jadi niat Hadi dan Haron patah sebelum tegak. Namun begitu, Umno tidak memerlukan khidmat PAS untuk memenangi sokongan umat Islam konservatif.

Mereka ada Jakim yang berfungsi dengan bajet lebih kurang RM1 bilion (tetapi masih memerlukan dana untuk melawan Isis!).

Jakim akan membanteras apa-apa saja aktiviti yang menyoal versi rasmi Islam dan dengan itu, menjadikan kerajaan Umno sebagai jaguh mempertahankan Islam.

Sungguh licik sistem ini sebenarnya tapi ia memerlukan yang Melayu Islam dianggap sebagai bangsa bodoh dan tidak mampu menilai yang mana baik atau buruk. Barulah ia boleh menjadi relevan.

Contoh paling mutakhir dalam strategi tanggapan yang Melayu-Islam adalah bodoh ini ialah dalam isu tanda "no pork" (atau "pork free") dan "halal". Di Malaysia, agak kerap juga kita boleh melihat tanda "no pork" (tiada khinzir) di restoran-restoran.

Tanda ini bukan semestinya untuk orang Melayu tetapi juga orang yang daripada fahaman lain yang tidak memakan daging khinzir.

Mungkin atas sebab-sebab kesihatan tetapi mungkin juga kerana sistem etika (ethical system) mereka tidak membenarkan mereka makan daging (seperti sesetengah "vegetarian" atau "vegan").

Walau bagaimanapun, papan tanda ini mempunyai fungsinya sendiri. Namun begitu, Jakim memberi amaran yang peniaga-peniaga meletakkan tanda ini akan didenda kerana mengelirukan umat Islam.

Kononnya, umat Islam mungkin menyangka yang makanan yang dijual oleh peniaga-peniaga ini halal hanya kerana tanda "no pork" dipaparkan? Adakah golongan Melayu-Islam sebodoh itu?

Seperti yang kita sedia maklum, setiap kanak-kanak Islam di Malaysia diberi didikan agama di sekolah hampir 3 jam seminggu.

Mungkin ini tidak cukup untuk agamawan-agamawan tetapi kalau digandingkan, 3 jam seminggu selama 11 tahun takkanlah tidak cukup untuk memahami ajaran yang cukup asas iaitu makanan halal.

Ahlus Sunnah Wal Jama'ah mengajar yang daging halal mestilah disembelih (satu ajaran yang tiada dalam al-Quran). Mereka tahu benar yang daging khinzir hanyalah satu daripada beberapa kriteria halal. Kenapa boleh keliru pula?

Menurut pengarah penguat kuasa Jakim, hanya ia yang berkuasa memberi tanda halal. Mungkin ini benar untuk daging tetapi adakah ini termasuk makanan laut dan makanan vegan (tiada unsur daripada haiwan termasuk susu dan telur)? Sudah tentu tidak!

Jadi apa masalahnya golongan Melayu-Islam makan di restoran-restoran tersebut? Kenapa perlu cap halal daripada Jakim jika tiada daging yang bukan makanan laut dijual?

Adakah kami Melayu-Islam terlalu bodoh ke sampai ke tahap ini? Mungkin langkah seterusnya ialah mendenda sesiapa menjual minuman ringan tanpa cap halal pula!

Inilah satu contoh di mana golongan Melayu-Islam ditanggap sebagai golongan yang amat bodoh. Kami difikirkan sebagai golongan tidak tahu menilai yang mana ajaran Islam dan yang mana bukan.

Sebabnya bukan kerana kerajaan atau agamawan benar-benar berfikir demikian (mereka sendiri pun Melayu-Islam juga) tetapi kerana mereka memerlukan tanggapan ini untuk menjalankan polisi mereka.

Jikalau orang Melayu-Islam bijak menilai di antara "no pork" dan "halal", maka tidak perlulah Jakim dengan bajet RM1 bilion mereka menolong membersihkan akidah dan amalan umat Islam.

Ini adalah persoalan kepentingan ekonomi dan umat yang tidak pandai berfikir mudah dikorbankan untuk kepentingan tersebut. – 17 Februari, 2016.

* Ini adalah pendapat peribadi penulis dan tidak semestinya mewakili pandangan The Malaysian Insider.

Comments

Please refrain from nicknames or comments of a racist, sexist, personal, vulgar or derogatory nature, or you may risk being blocked from commenting in our website. We encourage commenters to use their real names as their username. As comments are moderated, they may not appear immediately or even on the same day you posted them. We also reserve the right to delete off-topic comments