Opinion

Kenapa nak sekat kempen ‘Mari baca Quran’?

Apabila agama diperdagangkan dan dijadikan sumber kekayaan peribadi, maka kepentingan diri akan terlibat dalam pembuatan polisi yang berkenaan dengannya. Inilah masalah sebenarnya dalam isu penyekatan kempen "Lets Read The Quran" (Mari Baca Al-Quran).

Penyataan yang diberi oleh pengerusi Lembaga Pengawalan dan Pelesenan Pencetakan Quran (LPPPQ), Tan Sri Harussani Zakaria yang juga menjawat posisi mufti Perak, supaya kempen ini disekat adalah semata-mata untuk melindungi kepentingan agamawan-agamawan dan bukanlah untuk kepentingan umat Islam di Malaysia.

Penyekatan ini amatlah tidak logikal and kononnya kerana jika ayat-ayat yang diterjemahkan dari Quran dikumpul dan diterbitkan tanpa teks dalam bahasa Arab, ini akan menyelewengkan akidah umat Islam! Saya akan menjawab dakwaan ini di bawah.

Masalah utama di sini ialah persepsi agamawan-agamawan yang semakin lama, semakin jauh daripada realiti. Mereka pun terpaksa hidup dalam dunia manusia yang memerlukan dana untuk memenuhi keperluan harian. Ustad-ustad terpaksa menjadi amat kreatif untuk memasarkan diri mereka dengan berkesan. Ini adalah kerana, seperti semua bidang dalam dunia manusia, daya-daya persaingan wujud dalam bidang agama.

Ustad-ustad yang mengenakan bayaran yang tinggi untuk ceramah atau kursus mereka akan mengalami kekurangan dalam permintaan pelanggan-pelanggan mereka. Jadi mereka terpaksa mencipta sebab-sebab mengapa produk mereka relevan. Topik-topik seperti ajaran sesat dan serangan terhadap Shiah adalah "crowd pleaser" yang boleh menarik ramai pelanggan.

Mungkin agamawan yang paling lucu dalam hal ini ialah ustad ayam yang menjual ayam-ayam yang diperdengarkan gelombang bacaan Quran. Walaupun ayam-ayam ini tidak dapat memahami mesej Quran (dalam tekaan saya), tetapi Harussani dan agamawan lain tiada masalah yang mungkin ayam-ayam tidak akan memberi perhatian yang sepenuhnya kepada bacaan Quran dan akan memperlekehkan kitab suci ini. Maklumlah, ayam-ayam kuat bisingnya dan Quran patut diperdengarkan dalam senyap.

Tetapi ada juga agamawan-agamawan yang dilindungi daripada daya-daya ekonomi. Semasa ekonomi merundum pun, mereka masih lagi "steady" kerana dilindungi kerajaan dengan bajet-bajet yang bernilai satu biliion umpamanya. Mereka tidak perlu melaporkan kepada Rakyat pun apa yang dilakukan dengan duit sebanyak itu walaupun Rakyat kian lama, kian dalam kesusahan.

Agamawan-agamawan sebegini akan membentuk polisi mereka sejajar dengan situasi mereka. Buat apa mereka mahu bersusah payah jika orang ramai membaca Quran dengan sendiri lantas bertanya kepada mereka soalan-soalan yang sukar dijawab kelak?

Amatlah lebih mudah jika Quran diajar supaya dilagukan dengan bacaan tarannum tujuh wajah dan sebagainya. Dulu pun, Akademi Al-Quran yang seakan-akan Akademi Fantasia memfokus kepada bacaan sahaja. Sekalipun mesej Quran tidak dibincangkan. Adakah Tuhan menurunkan Quran untuk dinyanyikan?

Mungkin agamawan-agamawan tidak sedar tetapi dunia kian berubah. Walaupun dulu pun ada orang-orang yang mempersoalkan agama, namun sekarang bilangan orang yang berbuat demikian telah berlipat ganda. Ini adalah kerana teknologi maklumat telah maju dengan kadar yang cepat mendadak.

Jika dulu orang perlu tunggu berminggu atau berbulan untuk surat-menyurat, sekarang 'waiting time' hanya sesaat dua sahaja. Begitu juga dengan media sosial, ia membolehkan individu-individu yang mempunyai minat yang sama untuk bertukar maklumat dengan begitu mudah. Maka mereka menjadi lebih erat dan dapat memberi sokongan sesama sendiri.

Kumpulan yang banyak memanfaati daripada kemajuan teknologi ini adalah orang-orang Islam yang mempersoalkan agama mereka. Ini adalah kerana mereka sering dikecam dan terpaksa berselindung di sebalik tabir internet.

Saya secara peribadi tiada masalah langsung dengan tindakan mereka atau jika mereka mahu meninggalkan agama Islam. Itu hak mereka. Mereka juga berhak menentukan halatuju hidup masing-masing.

Namun begitu, sebagai satu iktibar, mungkin bagus kalau kita memahami aduan-aduan mereka terhadap agama Islam. Kenapa tidak? Jika aduan-aduan ini bernas, mungkin kita dapat menjawab dan dengan itu, memperdalamkan ilmu kita sendiri.

Salah satu aduan mereka ialah tentang pengajaran Quran kepada sekalian muslimin. Seperti yang saya ungkapkan di atas, Quran diajar kepada kitab nyanyian suci (hymn book) dan mesejnya tidak banyak dipedulikan.

Mungkin sebagai kanak-kanak, mereka tidak dapat memahami mereka perlu berbuat demikian. Mungkin mereka telah bertanya kepada agamawan-agamawan mereka tetapi tidak mendapat jawapan yang memuaskan. Jadi mereka terus berputus asa dan bertekad untuk meninggalkan agama dengan sepenuhnya ataupun menjadi atheis. Sudah ramai orang Melayu-Islam yang telah menjadi atheis sekarang, sebenarnya.

Kritikan Harussani sememangnya tidak masuk akal langsung. Jika orang memerlukan terjemahan, orang itu sudah tentu tidak memahami teks asal dalam bahasa Arab. Jadi apakah masalahnya jika teks bahasa Arab tiada dalam dokumen berkenaan?

Jika para pembaca mahu memastikan terjemahan itu atau membandingkan dengan terjemahan lain (satu langkah yang amat bijak), mereka ada rujukan terjemah-terjemahan itu (nombor surah dan ayat) jadi apakah masalah di sini?

Apakah saktinya teks asal dalam bahasa Arab jika tidak dapat difahami? Quran adalah untuk difahami dan dipraktikkan, bukan dijadi mantra seperti tikar terbang Tan Sri P. Ramlee yang perlu lafazan "zam zam alla kazam" sebelum "take off"!

Pada zaman ini, Quran sebagai kitab suci yang dinyanyikan untuk pahala sudah tidak lagi dapat diterima orang ramai. Mereka mahukan agama yang relevan kepada zaman ini.

Agamawan-agamawan patut mengadakan dialog terbuka dan membimbing orang ramai supaya melihat hikmah kitab ini. Apakah ajaran Quran dalam bidang politik, ekonomi, moral, teologi dan sebagainya. Jika agamawan-agamawan tidak mampu menjawab soalan-soalan ini, kenapa mereka menghalang orang ramai daripada mencuba?

Walaupun kita tidak boleh (dan juga tidak patut) mengharapkan yang orang akan menerima kepercayaan kita, namun kita patut memaparkan mesej agama kita dengan sebijak mungkin.

Dalam kes Quran, inilah yang sebenarnya cuba dilakukan oleh penganjur-pengajur kempen "Mari Baca Al-Quran". Mereka cuba memaparkan ayat-ayat terjemahan Quran untuk difikirkan oleh orang ramai. Kita patut menyokong dan menyumbangkan masa dan tenaga kepada inisiatif ini. – 9 Mac, 2016.

* Ini adalah pendapat peribadi penulis dan tidak semestinya mewakili pandangan The Malaysian Insider.

Comments

Please refrain from nicknames or comments of a racist, sexist, personal, vulgar or derogatory nature, or you may risk being blocked from commenting in our website. We encourage commenters to use their real names as their username. As comments are moderated, they may not appear immediately or even on the same day you posted them. We also reserve the right to delete off-topic comments