Opinion

Kepalsuan dikotomi antara sekularisme dan keagamaan

Ada peribahasa dalam bahasa Inggeris yang mengatakan, jika kita mengulangi sesuatu penipuan dengan kekerapan mencukupi, ia akan diterima sebagai kebenaran.

Salah satu penipuan sebegini adalah di antara sekularisme dan keagamaan. Dalam perbincangan politik, terutamanya dunia Islam, sekularisme dilihat sebagai lawan kepada politik keagamaan yang difahami sebagai “Islamisme” (Islamism tapi sebenarnya Islamofascism).

Inilah yang dikatakan sebagai dikotomi (daripada ‘dichotomy’ iaitu pembelahan sesuatu kepada 2 bahagian saling berlawanan) yang palsu.

Dengan kepalsuan ini, maka sesetengah kumpulan dapat menjalankan agenda politik mereka kerana dinamik yang datang daripada permusuhan di antara kedua pihak sekularis dan keagamaan. Dinamik inilah yang membolehkan parti seperti PAS menjulang.

Terkilan saya membaca satu “Sideviews” minggu lepas yang mendakwa sekularisme menyiangkan (iaitu seperti menyiang atau mensiangkan daging, daripada perkataan Inggeris ‘butchers’) agama.

Maksud yang saya dapat ialah dengan adanya sekularisme, maka agama bukan lagi syumul. Dalam tradisi dan perbincangan agama Islam, Islam itu mesti diambil secara syumul atau menyeluruh.

Jika kita melupakan walau satu pun daripada aspek agama Islam, maka akan terkompromilah segala aspek yang lain.

Dengan itu, sekularisme dilihat sebagai ancaman kepada kesyumulan Islam dan mesti ditentang habis-habisan.

Rumusan sebegini amatlah cetek dan tidak mengambil kira pelbagai faktor yang wujud dalam perbincangan ini.

Kita mulai dengan faktor sejarah Tamadun Islam. Tamadun Islam yang bermula dengan Nabi Muhammad adalah bersifat ad hoc.

Maksud pernyataan ini ialah apabila Nabi Muhammad meninggal, baginda tidak meninggalkan sebarang kitab undang-undang.

Buku yang diwariskan cumalah al-Quran. Ini kerana al-Quran sendiri menyifatkan dirinya sebagai sebuah “kitab” (Surah Al-Hijr, Ayat 1).

Jadi cerita-cerita yang mendakwa al-Quran ditulis dalam bentuk cebisan di atas kertas, tulang kambing dan sebagainya adalah palsu.

Al-Quran sendiri mendakwa yang ia ditulis di atas kertas dan disimpan rapi dan disebarkan ke merata tempat oleh penulis-penulis yang mulia (Surah Abasa, Ayat 11-16).

Tanpa sebarang kitab lain, sahabat-sahabat Nabi terpaksalah memeterai undang-undang sedia ada tetapi dengan menyelarikan undang-undang Arab kuno dengan al-Quran.

Mereka tidak berniat yang undang-undang ini akan menjadi “undang-undang Islam” bahkan sarjana-sarjana pengajian Islam seperti Ignaz Goldziher dan Joseph Schacht menggelarkan monarki Islam yang ulung iaitu Khilafah Umayyah sebagai “kerajaan Arab sekular”.

Ini kerana tiada kitab undang-undang wujud daripada zaman itu. Kitab yang dikatakan terawal pun hanyalah dirujuk oleh kitab-kitab yang dimeterai pada zaman seterusnya.

Inilah sebabnya kitab-kitab hadis generasi Al-Bukhari wujud. Kerana kitab-kitab yang kononnya datang sejak awal sudah pupus secara bentuk teks.

Ini bukan seperti kes dengan al-Quran sendiri yang diperturunkan daripada satu generasi kepada satu generasi sehinggalah sekarang.

Mari kita fikirkan sekarang, kenapa golongan Islamis mahukan pentadbiran “Islam”? Jawapannya mudah – kerana pentadbiran atau kerajaan Islam adalah dikatakan sebagai hukum Tuhan.

Maka jika kita menolak hukum Tuhan, kita dikatakan sebagai menolak Tuhan sendiri. Penyokong-penyokong “hukum Tuhan” akan memetik cebisan-cebisan 3 ayat yang berbunyi “sesiapa yang menghakimi dengan selain daripada apa yang diperturunkan Allah, dia tergolong sebagai golongan yang kafir, zalim dan fasik.” (Surah Al-Maidah, Ayat 44, 45 dan 47).

Salah satu daripada ayat ini pun cukup menakutkan orang Islam kerana tidak mahu menjadi kafir. Inikan pula 3 ayat yang hampir sama!

Jadi inilah sebabnya pentadbiran Islam mempunyai daya tarikan tinggi di kalangan umat Islam. Tetapi adakah dakwaan ini benar? Adakah kerajaan Islam betul-betul memberi undang-undang daripada Tuhan sendiri?

Cuba kita teliti ayat-ayat yang diberi di atas (5/44,45 dan 47). Ia tidak langsung menyebut tentang undang-undang Islam. Ia menyebut tentang Taurat dan Injil yang sering difahamkan sebagai kitab lama.

Al-Quran sendiri memperhadapkan dirinya sebagai sumber hukum-hukum Islam (4/105, 5/48).

Hairannya, undang-undang Islam yang kita fahami sekarang hampir tiada langsung datang daripada Al-Quran.

Sesetengah undang-undang Islam seperti hukuman mati untuk kesalahan murtad sememangnya berlawanan dengan nilai-nilai al-Quran sama sekali.

Jadi bagaimanakah pentadbiran Islam itu benar-benar daripada Tuhan?

Bukan itu sahaja, malah formulasi undang-undang Islam tidak melibatkan Rasulullah sendiri.

Undang-undang ini hanyalah formulasi yang dibuat para ulama kuno yang sering bercanggah antara satu sama lain.

Sumber-sumber fikah pun tidak dipersetujui – mazhab Shafie memberi ijmak kepada seluruh umat Islam walhal mazhab Maliki memberinya kepada ahli Madinah.

Mazhab Hanafi mementingkan hukum qiyas (analogi) walhal mazhab Hambali pula menolaknya sama sekali dan menekankan pengembalian kepada al-Quran dan sunnah sahaja (seperti mazhab Wahabi zaman moden).

Al-Quran adalah sumber pertama umat Islam dalam memberi hukum tetapi itu pun tiada persetujuan dalam bagaimana ia memberi hukum.

Ada perbezaan pendapat dalam surah dan ayat mana turun di Mekah atau Madinah. Ada perbezaan dalam fahaman ayat. Ada perbezaan dalam ayat mana yang memansuhkan dan ayat yang termansuh.

Ada perbezaan ayat yang mana muhkamat dan mutashabihat. Kepada siapa kita akan menuding jari sebagai sumber-sumber perbezaan pendapat ini?

Sebenarnya sistem sekularisme sebenarnya jauh lebih adil daripada sistem dikatakan sistem Islam. Dalam sistem sekularisme, tiada perbezaan dalam hak-hak individu tetapi dalam sistem Islamofasis, orang yang dilahirkan dalam keluarga Islam sememangnya tiada hak memilih agamanya sendiri.

Ini sebenarnya menusuk kalbu umat Islam kerana ia tersangatlah zalim. Namun mereka tidak dapat berbuat apa-apa kerana mereka percaya ia melanggar hukum Allah.

Jadi walaupun sekularisme tidak merujuk kepada kitab suci, nilainya lebih dekat dengan al-Quran daripada perundangan Islam sendiri!

Akhir kata, dikotomi di antara sistem-sistem sekularisme dan sistem pentadbiran Islam tidak wujud. Ia diwujudkan untuk meraih sokongan kepada para agamawan yang di Malaysia, tidak malu bersekongkol dengan rasis (seperti PAS berjinak dengan Umno) sekarang.

Kita perlu berfikir dengan mendalam untuk memahami situasi ini. – 23 Disember, 2015.

* Ini adalah pendapat peribadi penulis dan tidak semestinya mewakili pandangan The Malaysian Insider.

Comments

Please refrain from nicknames or comments of a racist, sexist, personal, vulgar or derogatory nature, or you may risk being blocked from commenting in our website. We encourage commenters to use their real names as their username. As comments are moderated, they may not appear immediately or even on the same day you posted them. We also reserve the right to delete off-topic comments