Opinion

Mempolitikkan garis di antara budaya dan agama

Terkejut saya bulan lepas apabila membaca komen Dr Mohamad Asri Zainal Abidin (Maza) mengenai pakaian Perdana Menteri Najib Razak apabila beliau menghadiri perayaan Thaipusam baru-baru ini. Komen Dr Maza dilaporkan begini – Najib sebagai orang Islam, tidak patut memakai ‘pakaian Hindu’. Perbuatan ini boleh menjejaskan ‘keIslaman’ Najib, katanya lagi. Saya tidak tahu pun yang pakaian boleh menganut sebarang agama dan memakai sesuatu set pakaian boleh menjejaskan keIslaman seseorang.

Pada hemah saya, Dr Maza adalah wajah kesederhanaan Islam (wasati dalam bahasa Melayu yang taksub Arab) di Malaysia dan sepatutnya memahami yang pakaian tidak menentukan kepercayaan. Pakaian itu adalah produk budaya dan berkaitan dengan geografi di mana ia timbul. Jikalau pakaian itu tidak sesuai dengan geografi tersebut, maka ia akan nampak janggal. Cuba kita fikirkan, adakah pakaian musim sejuk ala Eskimo sesuai di pakai di cuaca tropika? Sudah tentu tidak kerana ia tidak memenuhi fungsi pakaian dalam konteks itu. Jadi geografi dan budaya Eskimo akan member garis panduan tentang pakaian mereka. Ini bukan perkara ketuhanan langsung.

Sebenarnya, garis di antara budaya dan agama adalah satu isu yang menjadi punca perbalahan dalam perbincangan agama dan politik. Mari kita fikirkan mengapa ini terjadi. Apabila kita mengatakan yang sesuatu ajaran itu adalah ‘agama’, kita akan menjadikan ajaran itu sebagai sesuatu yang suci dari ilahi. Jadi bila ajaran itu dikritik atau ditohmah, kita akan menjadi emosional. Tenaga emosi ini menjadi bahan untuk diperalatkan ahli politik dalam usaha meraih markah. Jadi yang untung adalah ahli politik sendiri, bukan Rakyat jelata.

Rakyat hanya akan kehilangan masa, tenaga dan kalau tak bernasib baik, nyawa mereka apabila mereka melepas geram. Ini dapat dilihat dalam banyak peristiwa di mana orang Islam menunjuk perasaan kerana ada perbuatan yang dianggap menghina agama mereka. Dalam tahun 1989 umpamanya, orang Islam telah hilang sabar apabila buku Salman Rushdie, "Satanic Verses" diterbitkan. Banyak harta benda yang musnah dan beberapa orang telah mati. Namun begitu, Encik Rushdie sendiri hanya dapat mendapat untung berlipat ganda kerana penjualan bukunya yang lebih laris akibat kontroversi tersebut.

Jadi penggarisan (delineation) antara budaya dan agama itu amat penting. Apa itu budaya, apa itu agama? Budaya ditakrifkan sebagai jumlah total aktiviti manusia. Semua aktiviti manusia adalah budaya, sebenarnya. Takrifan ini mungkin tidak dipersetujui rakan-rakan yang cenderung kepada agama. Ini adalah kerana mereka berpendapat bahawa sebahagian besar (atau mungkin semua) daripada aktiviti-aktiviti mereka adalah agama.

Dalam ertikata lain, sebahagian besar (atau mungkin semua) aktiviti mereka adalah hasil daripada mengikuti suruhan tuhan. Maka dengan mengatakan yang aktiviti mereka hanyalah budaya, mereka akan menganggap yang kita telah merendahkan ‘martabat’ aktiviti mereka.

Di sinilah sebenarnya tempat mana masalah bermula. Masalah ini dalam bidang falsafah dipanggil "epistimologi" iaitu bidang yang membincangkan tentang apa itu ilmu pengetahuan. Bagaimana kita dapat tahu yang sesuatu itu dapat diketahui atau tidak? Adakah dengan deria sahaja atau dengan persepsi rasional kita? Mungkin juga ia adalah kombinasi keduanya?

Mengenai persoalan kita yang asal, bagaimana kita dapat mengetahui yang sesuatu itu budaya atau agama? Yang dikatakan agama itu bergantung kepada kepercayaan orang dalam agama itu sahaja. Mereka mempercayai yang sesuatu amalan itu disuruhi tuhan.

Orang-orang yang diluar budaya atau tradisi agama itu tidak dapat mempastikan kepercayaan tersebut. Mereka hanya perlu menerima dakwaan itu sahaja. Jadi tidak hairanlah mengapa dakwaan yang mengatakan sesuatu itu ‘agama’ tidak mudah diterima.

Bandingan kes di atas dengan dakwaan yang mengatakan sesuatu itu budaya. Budaya itu sesuatu yang jelas. Ia adalah aktiviti manusia yang tidak ada implikasi kuasa. Sesuatu kaum melakukan sesuatu amalan hanya kerana itu adat mereka turun-temurun.

Mungkin ada sebab yang munasabah, mungkin juga tidak. Ia tidak ada implikasi politik yang melibatkan agamawan. Mungkin ia boleh mendatangkan perbincangan yang hangat-hangat tahi ayam. Kes di mana orang Malaysia dan Indonesia tidak setuju dengan asal-usul makanan popiah adalah satu contoh. Mungkin ada perbezaan pendapat tapi rasanya tidak akan ada orang dibunuh kerana popiah.

Jadi apa itu budaya, apa itu agama? Sebenarnya, pada mata kasar kita, yang zahir hanyalah budaya. Sifat yang menjadikan sesuatu itu agama adalah ciri metafizika dan tidak dapat dibuktikan dengan objektif. Hanya kepercayaan atau pendapat sesuatu kaum sahaja yangmemberi kesucian kepada sesuatu unsur budaya mereka.

Berbalik kepada persoalan komen Dr Maza, adalah tidak logik dia mengatakan yang perdana menteri memakai pakaian Hindu. Pakaian itu adalah unsur budaya yang diserap dalam amalan-amalan agama Hindu. Jika agama Hindu muncul di tempat yang lain, pakaian mereka akan berlainan sama sekali. 

Begitu juga dengan amalan-amalan dalam tradisi agama Islam. Jika Nabi Muhammad datang dari negara China, maka Al-Quran pun akan dalam bahasa Cina dan orang Islam akan memberi salam dalam bahasa Cina. Mungkin pakaian ‘Islam’ akan menjadi pakaian rakan-rakan kita di kala Tahun Baru Cina.

Janggut dan tudung tidak akan menjadi suci lagi. Yang menjadi "suci" akan berlainan dan kita akan mempunyi imej yang berlainan dalam minda kita tentang apa itu agama Islam.

Sebenarnya, islam itu adalah ajaran yang membawa kedamaian. Prinsip kedamaian itu adalah prinsip etika dan moral dan bukanlah forma dalam budaya. Perdana Menteri memang betul dalam memakai pakaian tradisi hindu apabila beliau menyertai perayaan Thaipusam. Perbuatan ini adalah tanda hormat, bukan tanda persetujuan. Agama Hindu mempunyai falsafah mereka. Pakaian itu pula hanyalah pakaian. – 4 Mac, 2015.

*Ini ialah pendapat peribadi penulis dan tidak semestinya mewakili pandangan The Malaysian Insider.

Comments

Please refrain from nicknames or comments of a racist, sexist, personal, vulgar or derogatory nature, or you may risk being blocked from commenting in our website. We encourage commenters to use their real names as their username. As comments are moderated, they may not appear immediately or even on the same day you posted them. We also reserve the right to delete off-topic comments