Opinion

Mencantas gejala Wahabi di Malaysia

Kali pertama saya terserempak dengan penganut Wahabi, saya bingung kerana tidak pernah dengar pasal Wahabi langsung sebelum itu. Maklumlah, dalam pendidikan agama Islam semasa zaman persekolahan, Islam dilukiskan sebagai tidak pernah ada perbezaan pendapat, apa lagi perpecahan.

Gambarannya harum menawan. "A romantic view" dalam bahasa Inggeris. Gambaran sebenar lebih mengecewakan tetapi sekurang-kurangnya lebih jujur. Sebenarnya perbezaan pendapat sehingga ada konflik berlarutan memang sudah terjadi sejak zaman sahabat Nabi lagi.

Konflik sampai berbunuh-bunuhan sehinggakan 30 ribu orang terkorban dalam peperangan antara sahabat  Nabi sendiri. Jadi perbezaan pendapat itu perkara biasa, sebenarnya. Apa yang membahayakan ialah bila sesuatu pihak itu mengaku dirinya sebagai "firqah najiyyah" (golongan terselamat). Inilah paksi pemikiran Wahabi.

Semua orang Islam percaya yang golongan yang mereka ikuti berpegang kepada Al-Quran dan sunnah Nabi Muhammad. Malahan golongan Quranis yang tidak berpegang kepada hadis pun percaya yang mereka mengikuti sunnah Nabi Muhammad ialah mengikuti Al-Quran.

Jadi dakwaan mengikut Al-Quran dan sunnah itu sememangnya universal. Masalahnya setiap golongan percaya mereka pengikut Nabi Muhammad yang sebenar.

Ada golongan lebih fleksibel, iaitu menerima yang ada segelintir golongan lain juga berkongsi kebenaran. Agama ahli sunnah wal jamaah lazimnya mempunyai sifat fleksibel di mana mereka menerima mazhab mereka sendiri (Syafiee, Hanafi, Maliki dan Hambali). Ada juga yang menerima mazhab kelima iaitu mazhab Syiah Jafari.

Tetapi golongan Wahabi amat ketegar mereka golongan yang terselamat kerana mereka berpegang kepada Al-Quran dan sunnah Nabi dalam versi yang sebenar. Mazhab lain kebanyakannya memgamalkan amalan berunsur bidaah.

Bidaah adalah celaan yang amat kerap digunakan geng Wahabi dan bermaksud “perkara yang baru” atau “inovasi”. Kaum Wahabi mendakwa, berdasarkan pemahaman mereka tentang sesuatu hadis, semua bidaah akan ditolak dan akan berada dalam api neraka. Jadi mereka amat serik dengan perbuatan berunsur bidaah.

Berbalik kepada pengalaman saya dengan kaum Wahabi. Semasa itu (pertengahan zaman 1990-an), saya baru datang ke United Kingdom untuk melanjutkan pelajaran. Pemikiran Wahabi sudah lama bertapak di sini pada masa itu.

Saya memang berminat dengan bidang tasawwuf dan membeli satu buku yang tajuknya amat menarik iaitu "Sufism in Light of Quran and Sunnah" (Sufisme dari sudut Al-Quran dan Sunnah). Saya memilih buku tersebut kerana, seperti yang di atas, “Al-Quran dan sunnah” itu menjadi tunggak kebenaran seorang Islam.

Jadi saya mencari keaslian dalam buku itu. Alangkah terkejutnya saya apabila membaca amalan tasawuf itu sebenarnya bidaah. Bukan saja itu, malahan hadis yang kerap dipakai ulama tasawuf juga sebenarnya bukanlah sahih.

Satu daripada hadis ini berbunyi “sesiapa yang mengenali jiwanya akan mengenali Tuhannya” dan amatlah penting dalam amalan tasawuf. Peristiwa itulah menjadi titik permulaan saya mengenali fikrah Wahabiyah.

Saya menerima satu pesanan dalam WhatsApp daripada seorang ahli keluarga. Pesanan itu mengatakan jika berdoa semasa maal hijrah (tahun baru umat Islam) adalah bidaah. Sepatutnya umat Islam melahirkan rasa syukur mereka pada setiap masa bukan semasa tahun baru saja.

Saya tahu sumber pesanan demikian adalah daripada seorang ustaz Wahabi yang dianggap sebagai tinggi ilmunya. Ustaz ini menimbulkan rasa bimbang dan was-was dalam segolongan umat Islam dengan pesanannya. Ahli keluarga saya pun sama juga merasakan bimbang kalau dia melakukan satu perkara yang tidak disukai Allah.

Inilah sebenarnya gejala Wahabi. Mereka adalah golongan literalis (iaitu membaca sesuatu tanpa tiada pemikiran sekalipun). Mereka menganggap Nabi Muhammad sendiri tidak membaca doa hujung tahun, maka mereka pun tidak wajar berbuat demikian.

Perlu diingat yang Nabi Muhammad itu dikenali melalui kesusasteraan hadis. Hadis bukanlah lakaran yang lengkap tentang kehidupannya tetapi hanya dibukukan 200 tahun lebih selepas hijrah. Mungkin Nabi Muhammad  berdoa pada akhir tahun tetapi ia tidak dilaporkan.

Mungkin juga dia membuat doa tersebut secara peribadi atau mungkin baginda tertidur malam tersebut kerana terlalu letih. Ada banyak kemungkinan sebenarnya.

Apa yang perlu ditanya dalam kes ini ialah, adakah salah jika kita meluangkan masa untuk berdoa pada akhir tahun? Kepada yang taksub kepada budaya Islam sekali pun, ini bukanlah doa ‘happy new year’ kalendar Barat tetapi kalendar Islam sendiri.

Apakah salahnya jika kita menggunakan penghujung tahun untuk memasang niat memperbaiki diri? Bukankah itu yang dituntut Islam pada hakikatnya? Kaum Wahabi juga tidak meyukai kepada golongan Syiah.

Seorang Mufti yang amat liberal dalam isu lain mengejutkan saya apabila dia mengulangi mitos sejarah mengenai golongan itu. Kononnya, kaum Syiah mengkhianati umat Islam (iaitu golongan Sunni) dengan menolong penjajah Mongolia.

Mufti ini lupa empayar Abasiyah Sunni lama berada dalam keadaan teruk disebabkan pentadbiran yang buruk (seperti kerajaan Malaysia di masa ini). Itulah yang meyebabkan kejatuhan empayar Islam, sebenarnya bukan campur tangan kaum Syiah.

Amat menghairankan seorang mufti yang dalam ilmunya membawa konklusi sebegini. Tapi itulah petanda fikrah Wahabi sebenarnya kebencian kepada kaum Syiah. Ini kerana situasi politik di antara Arab Saudi dan Iran tetapi dalam sejarah Islam, memang wujud sejak awal lagi.

Gejala Wahabi di Malaysia amatlah membimbangkan. Dalam karangan yang akan datang, saya akan membutirkan bagaimana mengenali retorik Wahabi dan menjawab dakwaan mereka. – 28 Oktober, 2015.

* Ini ialah pendapat peribadi penulis dan tidak semestinya mewakili pandangan The Malaysian Insider.

Comments

Please refrain from nicknames or comments of a racist, sexist, personal, vulgar or derogatory nature, or you may risk being blocked from commenting in our website. We encourage commenters to use their real names as their username. As comments are moderated, they may not appear immediately or even on the same day you posted them. We also reserve the right to delete off-topic comments