Opinion

Menjana generasi baru yang hipokrit

Strategi ahli-ahli politik negara yang mengamalkan ‘hands off approach’ (pendekatan yang tidak masuk campur) terhadap golongan agamawan semakin merosakkan negara kita.

Saya faham banyak komplikasi melanda negara dan ahli politik sibuk menangani masalah-masalah ini, tetapi penyelesaian kepada masalah ini bukan terletak dalam strategi ‘hands off approach’.

Strategi ini diamalkan untuk menyedapkan hati pengundi konservatif yang mengukur tahap ketakwaan dengan bilangan peraturan.

Lagi banyak peraturan, lagi tinggilah tahap ketakwaan, kononnya. Inilah peraduan ‘siapa lagi Islam’ yang pesertanya Umno dan PAS.

Mereka kerap berlumba untuk mempamerkan keislaman mereka tanpa mengambil kira yang mangsa-mangsa golongan agamawan adalah rakyat jelata.  Dengan ini, akan muncullah umat generasi baru yang hipokrit.

Mutakhir ini, negeri Kedah pula yang mengimplementasi hukuman amat pelik. Mulai 1 Jun ini, Jabatan Agama Islam Kedah (Jaik) diberi kuasa memberi hukuman kepada orang lelaki Islam yang tidak hadir sembahyang Jumaat sebanyak 3 kali berturut-turut.

Hukumannya adalah denda sebanyak tidak lebih daripada seribu ringgit atau dipenjara 6 bulan atau kedua-duanya sekali jika sabit kesalahan.

Adakah ini cara yang terbaik untuk menjana atau meningkatkan iman umat Islam? Atau mungkin ini hanyalah cara untuk memberi kerja kepada golongan agamawan sahaja? Mungkin inilah versi agama terhadap strategi John Maynard Keynes yang mengatakan yang kerja boleh ‘dicipta’ untuk menghidupkan ekonomi! Tidak ada kerja, buatlah kerja baru!

Seperti yang dikatakan di atas, yang menjadi mangsa kepada strategi Islamofasis ini tidak lain tidak bukan adalah umat Islam sendiri.

Dengan cuaca ekonomi yang semakin merundum (GST semakin melembabkan ekonomi menurut laporan-laporan mutakhir), adakah ini cara yang terbaik untuk menggunakan sumber manusia yang ada?

Sebahagian yang agak besar daripada sumber-sumber ekonomi yang ada (termasuk sumber manusia) digunakan untuk industri agama. Sekolah-sekolah menengah aliran agama wujud yang menghasilkan beribu-ribu tenaga pengajar agama.

Kita juga menghantar pelajar-pelajar ke negara asing untuk melanjutkan pelajaran agama. Kerajaan juga membina masjid-masjid dan mengadakan pejabat agama yang mempunyai pelbagai.

Semua ini bukanlah percuma. Walaupun Rasulullah sendiri dilarang daripada mengambil bayaran dalam menyampaikan ajaran beliau, namun ‘waris-warisnya’ (ulamak itu pewaris nabi, dengan pengakuan sendiri) tiada masalah untuk menerima bayaran beribu-ribu ringgit untuk perkhidmatan mereka.

Agama itu sebuah industri, sebenarnya. Jika tiada bayaran, maka akan tiadalah kakitangan agama.
Dengan logik ini, kakitangan agama perlu diberi kerja supaya boleh dibayar gaji.

Namun jikalau kerja-kerja ini bukan saja tidak berfaedah, malah memudaratkan kondisi umat Islam di Malaysia, maka kita perlu memikirkan kembali fungsi agamawan ini. Mereka tidak boleh dibiarkan begitu sahaja tanpa deselia oleh kerajaan pusat.

Dalam kes ini, amalan sembahyang jumaat perlu dianalisa dengan teliti. Apa itu sembahyang JKumaat? Sembahyang Jumaat, jika kita menganalisa Al-Quran (Surah Al-Jumu’ah, Ayat 9-11), kita boleh dapati yang sembahyang ini adalah masa yang diambil daripada masa pekerjaan (iaitu perniagaan yang disebut dalam ayat).

Kalimah ‘solat’ yang ditafsirkan sebagai ‘sembahyang’ sebenarnya mempunyai maksud yang jauh lebih luas. ‘Solat’ itu perhubungan yang juga melibatkan perhubungan antara manusia. Jadi sembahyang Jumaat perlu menguatkan perhubungan antara manusia juga.

Lebih dari itu, kata asal perkataan ‘Jumaat’ adalah dari bahasa Arab ‘jama’a’ yang membawa maksud ‘berkumpul’. Terjemahan ini diperakui kerajaan Arab Saudi sendiri. Dalam Bahasa Melayu, kita ada kalimah ‘jemaah’ yang dari kata asal yang sama iaitu kumpulan.

Maka jelaslah dari Al-Quran yang ‘sembahyang Jumaat’ ini patut menjadi suatu masa di mana perhubungan kita dengan Allah dan juga sesama manusia diperkuatkan.

Masa ini adalah masa untuk berkumpul. Bagaimana pula dengan hari Jumaat? Hari Jumaat dipilih kerana pada zaman itu, orang Yahudi memilih hari Sabtu (Sabbath day) dan orang Nasrani pula hari Ahad (‘day of rest’ bagi mereka).

Harinya tidaklah penting asalkan dapat berkumpul (seperti maksud ‘jumu’ah’ di atas). Yang penting adalah fungsi hari tersebut, sebenarnya. Fungsinya adalah untuk mengeratkan perhubungan manusia dengan Tuhan dan juga sesama manusia yang percaya kepada amalan ini.

Adakah sembahyang Jumaat pada hari ini memenuhi fungsi di atas? Jauh sekali. Seingat saya, semasa zaman persekolahan, sembahyang Jumaat hanyalah amalan ritual yang tidak menyentuh kehidupan harian sangat.

Selalunya, pelajar-pelajar lelaki yang beragama Islam akan pergi ke masjid selepas sekolah. Mereka akan melepak dan menikmati cendol dan rojak di perkarangan masjid.

Orang-orang yang bekerja pula akan datang sedikit demi sedikit. Mereka biasanya akan makan atau tidur di luar dewan sembahyang.

Biasanya, dewan sembahyang tidak dipenuhi sehingga tiba masa untuk bersembahyang. Dewan sembahyang akan cepat kosong sebaik saja sembahyang selesai. Selepas doa selepas sembanyang, hanya beberapa orang saja yang tinggal.

Tiada perbincangan atau konsultansi dengan imam atau khatib yang biasanya akan hilang sejurus selepas sembahyang. Fungsi yang disasarkan oleh Al-Quran jauh terlepas.

Dengan hakikat ini, kita tidak boleh mempersalahkan pelajar dan pekerja. Mereka mempunya tugas dan adalah manusia yang bergantung kepada tenaga fizikal dan mental. Setelah penat bekerja, mereka perlukan rehat juga.

Jadi adakah wajar Jabatan Agama Islam Kedah mengenakan hukuman bila fungsi sembahyang Jumaat sendiri jauh tersasar? Bagaimana pula dengan tugas dan tanggungjawab umat Islam?

Adakah Jaik akan memberi wang pampasan kepada mereka yang kena buang kerja kerana lambat?

Sebenarnya agama ini perkara yang boleh dikawal dengan hukuman. Ini hanya akan menjana umat yang mengerjakan amalan-amalan kerana takut dihukum.

Hasilnya satu umat yang tidak mementingkan pengalaman agama tapi mendapat pengiktirafan sahaja.

Sememangnya, ini bukan sasaran Al-Quran. Ini hanya untuk memberi golongan agamawan kerja sahaja. Eloklah kita mansuhkan hukuman zalim ini. – 26 Mei, 2015.

* Ini ialah pendapat peribadi penulis dan tidak semestinya mewakili pandangan The Malaysian Insider.

Comments

Please refrain from nicknames or comments of a racist, sexist, personal, vulgar or derogatory nature, or you may risk being blocked from commenting in our website. We encourage commenters to use their real names as their username. As comments are moderated, they may not appear immediately or even on the same day you posted them. We also reserve the right to delete off-topic comments