Opinion

Ofisialisasi agama, penghalang pertumbuhan Islam

Zaman remaja dahulu, saya gemar membaca mengenai "generasi Al-Quran", iaitu Rasulullah and sahabat-sahabatnya.

Salah seorang penulis kegemaran saya ialah Shaykh Abd al-Qadir al-Murabit al-Darqawi, yang menulis buku "The Way of Muhammad".

Dalam buku yang amat mendalam konsepnya ini, Abd al-Qadir menulis tentang keadaan semasa era Rasulullah di Madinah.

Katanya, pada zaman itu, tidak perlu ada sarjana Islam kerana semuanya menjadi sarjana Islam masing-masing. Samalah juga dengan polis atau tentera. Semuanya tidak perlu kerana individu dalam masyarakat mempunyai tanggungjawab mencari ilmu, mengawal keselamatan negara dan memerangi musuh luar.

Inilah situasi yang ideal dalam Islam, jika kita mengambil generasi Al-Quran sebagai blueprint.

Zaman berganti zaman, Islam berkembang sebagai tamadun dan muncullah pula "ofisialisasi", iaitu memberi sesuatu pengiktirafan rasmi.

Ofisialisasi memang lumrah dalam kehidupan manusia. Misalnya, sesiapa sahaja boleh bermain bola sepak tetapi untuk mencapai Piala Dunia, perlu ada badan rasmi seperti FIFA.

FIFA menggariskan polisi kepada badan bola sepak Asia, Eropah (UEFA) dan lain-lain. Mereka ini pula mengelola persatuan bola sepak di negara masing-masing seperti FAM yang menjaga persatuan bola sepak negeri.

Semua ini diatur rapi dan undang-undang diwujudkan bagi menjaga tatatertib tertentu. Inilah "ofisialisasi" secara praktisnya.

Dalam Islam, ofisialisasi yang sebenar datang pada zaman Abbasiyah, ketika belum wujud sempadan antara Ahlus Sunnah Wal Jamaah dan Syiah. Malah, boleh dikatakan belum ada lagi Ahlus Sunnah Wal Jamaah secara rasmi.

Khalifah Abbasiyah berjaya menggulingkan khalifah Umayyah dengan pertolongan golongan penyokong Ali Abi Talib, sepupu Rasulullah.

Penyokong Ali ditindas teruk di bawah kerajaan Umayyah yang sememangnya memusuhi mereka.

Dengan menolong golongan Abbasiyah merampas kembali takhta khalifah, mereka mendapat lebih banyak pengaruh. Pengaruh mereka kian ditakuti khalifah Abbasiyah kerana merekalah dikatakan pemegang Islam yang sejati disebabkan ada darah keturunan Rasulullah.

Langkah Abbasiyah mencantas pengaruh penyokong Ali ialah dengan membuat dakwaan yang ulama Sunnah adalah waris Rasulullah yang sejati (dengan mewujudkan hadis "ulama pewaris nabi").

Mungkin ramai yang menolak sejarah ini kerana tidak selari dengan apa yang diajar di sekolah. Namun begitu, dalam buku "International Human Rights and Islamic Law", Profesor Mashood Barderin (Sarjana Perundangan Islam di Univerity of London, School of Oriental and African Studies) mengatakan yang pada asalnya, Islam mempunyai beratus-ratus mazhab!

Tetapi setelah langkah golongan Abbasiyah, bilangan mazhab jatuh ke berpuluh-puluh sahaja sehinggalah menjadi hanya lebih kurang 4 pada hari ini.

Proses ofisialisasi menjadikan ideologi Islam sebagai agama rasmi dan mana-mana pendekatan yang tidak bersesuaian dengan versi rasmi Islam dikatakan sesat.

Di sinilah permulaan konflik Sunnah dan Syiah, yang bertukar menjadi perkara agama sedangkan sebelumnya hanya perkara politik.

Inilah juga masalah ofisialisasi yang pertama. Bila wujudnya ofisialisasi, akan ada pihak yang mengaku mereka sahaja benar dan dengan otomatik, pihak yang tidak menyebelahi mereka dikategorikan sebagai sesat.

Inilah yang berlaku di Malaysia sekarang, dengan wujudnya badan yang diberi tanggungjawab menjaga hal-ehwal Islam secara rasmi seperti Jakim, di mana sesiapa yang tidak bersetuju dengan mereka dilihat sesat lagi menyesatkan.

Yang menghairankan pula, badan seperti Jakim dan seangkatannya di peringkat negeri tidak ada masalah dengan agamawan yang sebulu dengan mereka tetapi tidak mengamalkan agama Islam mengikut Sunnah Rasulullah.

Umpamanya, "Ustaz Ayam" yang mengiklankan ayam ternakan istimewa kerana diternak dengan gelombang bacaan Al-Quran.

Amalan ini sememangnya tidak ada pada zaman Rasulullah. Walaupun Rasulullah dan para sahabat mempunyai haiwan ternakan, tidak pula mereka membaca Al-Quran kepada haiwan itu supaya lebih sihat dimakan!

Begitu juga dengan mesin kuasa solar membaca Al-Quran di tanah perkuburan. Mesin ini mengumpul kuasa solar dan memainkan Al-Quran kepada mayat di tanah perkuburan itu.

Tidak dinyatakan pula kalau satu mesin cukup untuk satu tanah perkuburan atau hanya dihadkan kepada satu mayat sahaja. Silap-silap, habislah Nasir Bilal Khan, imam "Tanah Kubur" kena buang kerja kerana semua mayat selamat daripada siksa kubur!

Poinnya, walaupun ada amalan jauh menyimpang daripada semangat Islam sebenar, badan Islam tidak mengganggu mereka kerana mungkin mereka sebulu. Inilah kesan proses ofisialisasi.

Lain pula dengan pendakatan yang dikatakan sesat. Bagi Jakim, "sesat" itu termasuklah Syiah dan "liberal" walaupun mereka pun mempunyai dalil sendiri.

Kerana proses ofisialisasi, Jakim yang diberi tunggak kuasa tidak perlu berbincang apa-apa dengan mereka. Cukuplah hanya dengan melabel mereka sesat dan menangkap mereka.

Polisi sebegini tidak langsung dapat menaikkan mutu perbincangan Islam, malah ia meletakkan pemikiran Islam pada tahap yang paling rendah.

Sebenarnya ofisialisasi dalam agama adalah perkara yang tidak memanfaatkan sesiapa kecuali agamawan. Umat Islam akan hanya mengikut titah perintah agamawan kerana, pada sangkaan mereka, Islam yang dibawa agama adalah "rasmi" dan oleh itu pengiktirafan agamawan adalah daripada Tuhan ataupun rasul.

Mudah saja agamawan menggunakan frasa seperti "menurut Islam" dan "Allah berfirman" tanpa memberi caveat (awasan) yang sebenarnya, sedangkan ia hanya tafsiran mereka.

Ofisialisasi adalah proses semangat pemikiran independen dan seterusnya akan membantutkan proses pemerkasaan umat Islam. – Disember 1, 2015.

* Ini ialah pendapat peribadi penulis dan tidak semestinya mewakili pandangan The Malaysian Insider.

Comments

Please refrain from nicknames or comments of a racist, sexist, personal, vulgar or derogatory nature, or you may risk being blocked from commenting in our website. We encourage commenters to use their real names as their username. As comments are moderated, they may not appear immediately or even on the same day you posted them. We also reserve the right to delete off-topic comments