Opinion

Pota – satu penilaian seimbang

Jarang-jarang saya setuju dengan kerajaan kita mutakhir ini.

Pada saya, buat masa ini, kerajaan tersasar jauh daripada visi asal Malaysia. Kerajaan banyak menyokong polisi mementingkan satu bangsa daripada bangsa lain. Ia juga membenarkan unsur-unsur Islamofasis masuk ke dalam badan kerajaan dan memeterai polisi yang akan merosakkan keharmonian antara agama.

Akhir-akhir ini pula, kerajaan mencadangkan Akta Pencegahan Keganasan (Prevention of Terrorism Act, atau Pota). Akta ini kononnya untuk mencegah tindakan pengganas yang timbul setelah kebangkitan Daesh yang melabel diri mereka "negara Islam" (Islamic State).

Malaysia sendiri "menyumbang" berpuluh bala "tentera" kepada Daesh, termasuklah pengantin perempuan jihadi (jihadi brides).

Seperti dijangkakan, penulis sayap kiri cepat menyangkal Pota. Adakah bantahan mereka rasional?

Pada saya, memang rasional dari satu sudut, kerana dalam sejarah politik Malaysia, penyalahgunaan akta seperti Pota sudah lama berlaku.

Siapa tidak kenal dan ingat Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA)? Kerajaan selama berpuluh dekad mengamalkan ISA dengan alasan musuh politik mereka ada potensi membahayakan masyarakat umum, walhal yang sebenarnya, yang dibahayakan hanyalah posisi mereka sebagai parti yang berkuasa sahaja.

Yang hairannya, anasir yang menghunus keris plastik mereka dan mengancam mahu memandikannya dengan darah bangsa lain tidak pula dihumban ke dalam kem tahanan ISA. Jadi tidak hairanlah jika pihak bersayap kiri membantah bila Pota dicadang.

Namun begitu, saya ingin bertanya, adakah kita perlu juga memikirkan tahap ancaman ini? Mengapa Pota dicadangkan pada masa ini? Adakah cadangan ini tiada sebab yang munasabah?

Pada saya, kita perlu memahami ancaman yang dibawa Daesh. Ancaman sebegini jarang dihadapi masyarakat Malaysia. Ini adalah kerana unsur Islamofasis yang kita jumpa bermain dalam gelanggang lain.

Umpamanya, PAS bermain dalam gelanggang parti politik, Isma dalam gelanggang NGO. Kita juga ada unsur Islamofasis dalam pendakwah bebas yang muncul di kaca TV dan serata alam media. Adakah mereka ini merbahaya kepada keselamatan negara?

Pada saya, memang merbahaya kerana retorik mereka acap kali menyentuh hal berkenaan agama yang berpotensi memecah-belahkan masyarakat.

Tetapi, walaupun berbahaya, kita pada amnya belum lagi menghadapi ancaman pada tahap yang diberi oleh Daesh. Mereka ini tidak lantang sangat dengan mulut. Kelantangan mereka adalah dengan tembakan dan letupan bom! Itulah tahap ancaman mereka sebenarnya.

Mereka tidak memperdulikan mekanisme yang sedia ada untuk mencapai kuasa iaitu demokrasi berparlimen. Pada mereka, apa-apa mekanisme yang perlu dipakai akan dihalalkan secara otomatik.

Mereka akan menyusur masuk balik ke dalam negara dengan tiada masalah seperti ular masuk reban. Mereka akan menyebarkan dakwah mereka dengan mudah dan akan membawa bencana yang belum pernah kita lihat. Inilah strategi jihadisme yang susah ditentang kerana ia sangatlah tersembunyi. 

Saya berpengalaman lebih 10 tahun sebagai pemerhati unsur jihadisme di London. Mungkin orang Malaysia akan terkejut tetapi London adalah sarang mereka ini berkumpul, berdakwah dan membuat perancangan mereka.

Ini kerana sehingga sekitar tahun 2005, polisi kerajaan British adalah memberi kebebasan bersuara dan pendapat. Maka muncullah suatu generasi golongan muda Islam Britain (kebanyakan berketurunan Pakistan tetapi ada juga yang berketurunan Bangladesh, Arab dan Somalia) yang membenci negara di mana mereka dilahir dan dibesarkan.

Mereka lantang mengkritik kerajaan British tetapi diam dan takut apabila diberi doktrin oleh pendakwah jihadis yang berkeliaran di kota ini. Situasi ini berlaku sejak dekad 1970an sehinggalah hanya beberapa tahun yang lalu, jadi bayangkan betapa tersebarnya idea ini.

Di manakah jihadis berdakwah? Mereka ini cukup bijak dan berdakwah seperti ular menyusur dalam rumput. Pendakwah jihadis pada amnya berdakwah dalam masjid yang sama seperti pendakwah lain, jadi mereka tidak mudah dikesan.

Selain itu, mereka juga akan menjangkiti orang muda seperti pelajar universiti yang buat pertama kali tinggal sendiri atau dengan siswa lain. Ini sememangnya strategi mereka kerana pelajar ini berdarah muda dan amat bersemangat mengubah "nasib umat".

Aktiviti mereka boleh dikatakan bawah tanah. Ia amat sukar dikesan pihak berkuasa Britain yang tiada jalan menembusi tabir mereka.

Dari sudut isi kandung dakwah pula, mereka ini juga tidak mudah dibezakan daripada pendakwah tradisional yang tidak menggunakan retorik jihadis dan mementingkan pengislahan diri. Ini kerana mereka dari tradisi yang sama.
Fikirkanlah, mereka menggunakan kitab sama, nama ulama kuno yang sama, dan juga menggunakan nama Nabi Muhammad memberi pengesahan kepada ideologi mereka.

Jadi sekali lagi, amatlah susah pihak berkuasa mengesan retorik mana yang sebenarnya akan mendatangkan keganasan. Bukan sahaja pihak berkuasa, malahan sasaran dakwah mereka pun akan sukar mengetahui apakah retorik mereka sehinggalah hati sanubari mereka tertawan kepada ideologi ini.

Akhir sekali, kita perlu memikirkan tentang strategi operasi mereka. Mereka memperolehi peralatan mereka daripada bahan harian. Mereka berkomunikasi dengan pantas dan dengan bahasa yang berkod dan sukar difahami.

Bayangkanlah betapa pantas mereka boleh beroperasi dan menjayakan rancangan jahat mereka. Sementara pihak polis sibuk mencari penghasut di Twitter, mereka ini sudah bertindak dan mengakibatkan banyak kerosakan dan kehilangan nyawa.

Jadi kepada pembangkang Pota, pertimbangkan semula akta ini. Ya, memang Pota mungkin disalahgunakan, tetapi ancaman pengganas jihadis adalah terlalu berat untuk kita menutup mata.

Ancaman ini amat tersembunyi dan memerlukan strategi berpatutan. Jika tidak, kita mungkin menghadapi kerosakan dan kehilangan nyawa yang tinggi.

Kitalah yang bertanggungjawab membawa ancaman ini kerana kita tidak mengawasi proses Islamisasi, jadi kitalah patut bertanggungjawab memeranginya. – 15 April, 2015.

* Ini ialah pendapat peribadi penulis dan tidak semestinya mewakili pandangan The Malaysian Insider.

Comments

Please refrain from nicknames or comments of a racist, sexist, personal, vulgar or derogatory nature, or you may risk being blocked from commenting in our website. We encourage commenters to use their real names as their username. As comments are moderated, they may not appear immediately or even on the same day you posted them. We also reserve the right to delete off-topic comments