Opinion

Saat hancurnya martabat Melayu

Rosak. Runtuh. Hancur. Rentung. Perkataan-perkataan ini tidak cukup untuk menyifatkan betapa teruknya tragedi yang menimpa martabat kaum Melayu minggu lepas.

Saya amatlah terkilan dengan betapa tidak malunya maklum balas kepada peristiwa ini daripada sebahagian orang Melayu. Mereka yang  selalu membuat tuntutan yang kononnya merekalah yang membina nasib Melayu.

Peristiwa ini tidak lain, tidak bukan ialah rusuhan di Plaza Low Yat. Terdapat banyak ulangan kisah ini tetapi versi yang saya dapati tersangat lengkap ialah daripada laman web www.rakyatviral.com yang mempunyai laporan-laporan polis.

Menurut laman web ini, seorang remaja, Syahrul Anuar Abdul Aziz, dituduh mencuri telefon bimbit. Dia berkelakuan seolah-olah mahu membeli telefon itu dan apabila pembantu jualan tersebut menoleh ke belakang mendapatkan hadiah percumanya, remaja itu mencuri telefon bimbit tersebut.

Pembantu jualan itu bersama orang awam berjaya menangkap Syahrul dan seorang rakannya, Mohd Khairul Azmi Mazlan, lalu menyerahkan mereka kepada pihak polis. Khairul kemudian dibebaskan.

Menurut siasatan pihak polis, mereka mendapati Syahrul mengaku mencuri telefon bimbit itu walaupun ia jatuh ketika melarikan diri.

Kamera litar tertutup (CCTV) merakamkan perbuatan ini. Inilah yang diungkapkan dalam bahasa Inggeris sebagai "caught red handed".

Namun begitu, pada malam tersebut, Khairul dan 6 orang rakannya (Ayie, Mat, Tiger, Wan, Ali dan Baby) kembali ke tempat kejadian dan memukul pekerja kedai tersebut! Perbuatan ini adalah untuk membalas dendam.

Media sosial Melayu menampakkan rasisnya ketika itu dengan posting yang menzahirkan perasaan negatif kepada kaum Cina. Kaum Cina dikatakan sebagai chauvinis terhadap Melayu dan suka menipu dalam perniagaan.

Lebih daripada itu, posting ini mengatakan yang kaum Melayu dipinggirkan di tanah air sendiri! Semua rintihan kaum Melayu dizahirkan pada masa itu dan panggilan untuk Melayu bangkit menentang kaum Cina juga disebut-sebut. 

Semua unsur demokrasi dan harmoni di antara kaum di Malaysia dilupakan terus dan kita berbalik kepada mood semasa tragedi 13 Mei 1979! Selain daripada retorik rasisme, agamawan yang sangat was-was kepada orang beragama lain juga mengaitkan peristiwa ini dengan kebencian Kristian terhadap umat Islam.

Selepas kekacauan pertama dapat dihentikan, “Ali Tinju” dang geng rasisnya dituduh muncul menyemarakkan lagi sentimen perkauman.

Ahli Pekida, NGO yang kononnya "mempertahankan Islam", juga dituduh hadir dalam rusuhan dan terlibat sama. Pada waktu ini, Ali Tinju dan beberapa orang lagi tokoh samseng direman pihak polis untuk membantu siasatan.

Pada waktu ini juga, gambar tertuduh Syahrul yang kelihatan tidak berapa sedar bersama dengan peguamnya, Mohd Khairul Azam  Abdul Aziz yang pada raut wajahnya kelihatan begitu megah.

Banyak penyokong mereka yang berusaha mendapatkan sumbangan untuk membebaskan Syahrul. Ini adalah seorang yang ditangkap “red handed”.

Namun begitu, ada juga kaum Melayu yang masih menyokong mereka! Wira pemikir seperti Dr Kassim Ahmad tiada sokongan begini, tetapi seorang yang mengaku mencuri dan mengambil dadah pula tidak kurang sokongannya! Dunia sudah terbalik, rasanya.

Pada saya, reaksi kaum Melayu yang menyokong Syahrul timbul kerana kita ketagih dengan konsep “maruah bangsa”.

“Maruah bangsa” dalam konteks ini merujuk kepada perasaan Asabiyah (pemujaan puak sendiri) yang wujud di hati sesuatu kaum. Apabila seorang daripada puak mereka dizalimi (atau hanya dizalimi dalam persepsi serong mereka), maka mereka akan bertindak.

Persoalan betul atau salah tidak timbul langsung. Menurut sehelai memo Facebook yang saya baca, bila Islam menzalimi Islam, tidak mengapa kerana kedua-dua pihak akan akhirnya masuk syurga.

Kalau Islam dizalimi bukan Islam, maka kita patut bertindak kerana pihak bukan Islam ditakdirkan masuk neraka buat selama-lamanya dan dilaknat Tuhan. Inilah logik rosak sesetengah orang dalam puak Melayu.

Salah satu sumber dalam mempopularkan konsep “maruah bangsa” ialah parti politik Melayu yang terbesar iaitu Umno.

Selama berdekad lamanya, Umno menghunus keris mereka untuk berjuang mempertahankan maruah orang Melayu.

Kesan daripada retorik basi ini banyak. Salah satunya ialah ucapan Siti Azzahra Abd Razly beberapa minggu yang lepas yang menyuarakan perasaan sebagai Melayu yang dipersisihkan di tanah air sendiri.

Itu baru manifestasi yang tiada unsur agresif. Perbuatan yang dituduh ke atas Syahrul dan gengnya adalah manifestasi yang bahaya.

Namun begitu, kedua-dua perbuatan ini adalah manifestasi retorik Umno yang mengapi-apikan semangat perkauman untuk memenangi sokongan orang Melayu.

Alangkah baiknya jika mereka boleh membenteras kegiatan rasuah, kronisme, nepotisme dan sebagainya? Dengan semangat mempertahankan bangsa yang begitu semarak, kenapa kegiatan-kegiatan jahat itu masih wujud?

Sebenarnya martabat atau maruah sesuatu kaum itu hanyalah satu ilusi sahaja. Jika seseorang daripada bangsa atau etnik kita berbuat silap, tidak adil kalau kita sendiri dinilai sebegitu. Inilah rasisme yang sebenarnya. Apa yang bukan satu ilusi ialah persepsi orang daripada budaya lain terhadap bangsa kita.

Jika ada orang Melayu yang melakukan jenayah, maka orang Melayu yang lain (yang pada zahirnya nampak sama) yang menjana persepsi negatif di mata orang lain. Ini adalah kerana dalam interaksi seharian, kita tiada masa untuk mengenal orang dengan mendalam.

Ini tidak berbeza dengan umat Islam dan pakaian seragam agama mereka – janggut, jubah, kopiah, tudung. Kerana ada segelintir umat Islam yang jadi pengganas, maka orang Islam yang lain akan terpaksa “membayar” untuk jenayah segelintir itu.

Di United Kingdom, selepas pembunuhan askar Lee Rigby oleh pengganas Islam, banyak masjid dirosakkan dan orang Islam dikasari.

Pada saya, eloklah orang Melayu menolak pertubuhan rasis seperti Pekida, Perkas, Isma , Umno dan PAS (yang rasisnya berlainan tetapi sama).

Sememangnya semakin ramai orang Melayu yang menyedari yang pertubuhan ini hanya menggunakan simpati orang Melayu untuk mendapat sokongan tanpa memberi manfaat kepada sesiapa pun kecuali diri mereka sendiri.

Martabat kaum Melayu terletak kepada kerja amal dan budi pekerti kita. Eloklah kita sama-sama memperbaikinya. – 22 Julai, 2015.

* Ini ialah pendapat peribadi penulis dan tidak semestinya mewakili pandangan The Malaysian Insider.

Comments

Please refrain from nicknames or comments of a racist, sexist, personal, vulgar or derogatory nature, or you may risk being blocked from commenting in our website. We encourage commenters to use their real names as their username. As comments are moderated, they may not appear immediately or even on the same day you posted them. We also reserve the right to delete off-topic comments