Opinion

Warkah untuk Melayu: Siapakah kita?

Saya berhajat memulakan siri "Warkah untuk Melayu" ini tatkala umur saya mencecah 40 tahun. Umur ini adalah bermakna. "Life begins at forty" (kehidupan bermula di umur 40), kata orang.

Menarik juga kerana umur inilah sahaja yang disebut secara spesifik al-Quran, kitab yang saya pilih menjadi panduan (Surah Al-Ahqaf, Ayat 15). Pada umur ini, manusia dikatakan dapat menerima peranannya dalam hidup.

Di kala umur ini juga, boleh dikatakan seseorang itu menimba sedikit sebanyak pengalaman hidup. Pengalaman ini tidaklah sempurna tapi mungkin dapat memberi manfaat kepada yang dikongsi.

Mungkin juga ada yang bertanya, kenapa warkah ini untuk Melayu sahaja? Kenapa tidak untuk semua rakyat Malaysia atau lebih luas lagi, untuk manusia sarwajagat?

Niat saya dalam menjodolkan siri ini begitu bukan kerana saya rasis. Sebenarnya saya amat benci kepada rasisme terutamanya rasisme Melayu kepada kaum lain.

Saya menujukan siri ini kepada orang Melayu terutamanya kerana masalah-masalah spesifik yang dihadapi kaum Melayu. Lebih daripada itu, saya dapat mengenali situasi mereka dengan lebih mendalam kerana saya sendiri berada dalam dunia tersebut.

Namun demikian, saya rasa bangsa pembaca tidak menjadi batu penghalang dalam memanfaati siri ini kerana fitrah manusia sama sahaja.

Soalan paling penting yang patut ditanya setiap manusia ialah siapa dirinya? Soalan ini membawa kepada penghuraian atau pengupasan identiti seseorang itu.

Apabila kita memahami siapa diri kita, maka peranan yang patut kita mainkan relatif kepada makhluk lain akan bertambah jelas dan kita dapat memainkan peranan dengan lebih baik.

Dunia Melayu mempunyai 2 sumber jawapan utama kepada soalan siapa diri kita. Dua sumber jawapan ini menguasai perbincangan sejak sebelum merdeka lagi.

Dua sumber ini ialah nasionalisme Melayu dan nasionalisme Islam. Perlu diingat, nasionalisme bukanlah fundamentalisme. Keduanya adalah berbeza walaupun ia mudah satu berubah kepada yang lain.

Nasionalisme mudah menjadi fundamentalisme dan sebagainya. "Nasionalisme" adalah fokus kepada perjuangan untuk kebaikan sesuatu bangsa. Mungkin bangsa ini tertindas dan memerlukan bantuan yang spesifik.

"Fundamentalisme" pula juga memperjuangkan isu-isu sesuatu puak tetapi lebih daripada itu, ia juga mengurangkan fokus ataupun memang memusuhi perjuangan bangsa-bangsa yang lain. Memang mudah untuk nasionalisme berubah menjadi fundamentalisme tetapi tidak pula sebaliknya. Sekali fundamentalisme berakar umbi dalam minda masyarakat, sukar untuk ia menyejukkan hati kembali.

Seperti yang disebut di atas, orang Melayu mempunyai 2 nasionalisme yang kian berubah menjadi fundamentalisme, iaitu nasionalisme Melayu dan nasionalisme Islam.

Dalam nasionalisme Melayu, kita kononnya memperjuangkan hak-hak bangsa Melayu. Hak-hak ini adalah satu benda yang finit (finite, boleh dikira). Jadi hak-hak yang diperolehi orang Melayu akan diserahkan orang-orang lain. Ini adalah hakikat ekonomi yang sudah.

Sains ekonomi adalah sains yang cuba mengagihkan sumber yang finit kepada kemahuan yang infinit. Kerana ini, nasionalisme Melayu dengan mudah dapat bertukar menjadi fundamentalisme.

Nasionalisme Islam pula lain sikit. Ia menyatukan manusia-manusia yang berkait dengan budaya Arab kuno yang datang dengan tamadun Islam. Disebabkan budaya ini adalah sama di antara umat Islam sedunia (seperti mengharamkan pemakanan khinzir), maka lebih umat Islam dapat berinteraksi antara satu sama lain.

Nasionalisme Islam membawa isu-isu yang juga mengkompromi hak-hak orang yang beragama lain ataupun tidak beragama dan dengan ini menjadi fundamentalisme. Contoh yang paling mutakhir ialah tuntutan untuk pengharaman penyajian alkohol di atas penerbangan MAS.

Jadi untuk orang Melayu, kedua nasionalisme yang menguasai minda kita bertukar menjadi fundamentalisme. Proses ini tidak berlaku semalaman malah mengambil masa bertahun atau berdekad.

Kedua parti yang menggunakan mod (mode) pemikiran begini ialah Umno and PAS dan pada zaman kita ini, tidak begitu mudah untuk kita memisahkan antara mereka. Umno memekik tentang perjuangan Islam (kononnya "bangsa, agama dan negara") dan PAS pula bercakap tentang nasib Melayu dan menyerang kaum Cina. Identiti Melayu dan seterusnya, nasib politik kita tertulis dengan pendekatan politik mereka.

Di sini patut kita bertanya, adakah rumusan identiti ini dapat merangkumi kepelbagaian dalam dunia Melayu? Sudah tentu tidak.

Harus kita ingat yang sesuatu budaya itu bukanlah entiti yang serba lengkap (self-contained). Budaya Melayu bukannya jatuh dari langit dan sedia dipakai seperti "turn-key software". Ia dibentuk melalui interaksi dengan budaya-budaya lain.

Contohnya, banyak perkataan dalam bahasa Melayu dipinjam daripada budaya-budaya tersebut. Jika kita mengamalkan fundamentalisme, mungkinkah penghargaan kita terhadap budaya-budaya lain akan berkurangan. Budaya itu satu entiti yang dinamik.

Fundamentalisme agama juga akan membunuh variasi yang wujud dalam sesuatu umat itu. Cuba kita bertanya kepada sepuluh orang Islam, siapakah Tuhan and apakah mesejNya? Sudah tentu kita akan dapat jawapan yang berbeza (walaupun tidak banyak).

Ini adalah kerana tiap-tiap individu mempunyai pengalaman unik disebabkan sejarah hidup yang juga unik. Nasionalisme agama yang cuba menyeragamkan pendapat masing-masing akan membunuh variasi ini. Malah, lebih teruk lagi, ia akan menyusutkan nilai (devalue) pengalaman agama lain.

Sebenarny, dalam soalan "siapakah kita", "kita" itu hanyalah wujud sebagai satu instrumen politik yang digunakan untuk meraih manfaat kepada parti-parti politik sahaja. Dengan menutup variasi yang wujud dalam "kekitaan", pemikiran ini akan juga menghentikan apa-apa perubahan dalam identiti.

Akan terbantutlah kemajuan sesuatu bangsa itu. Soalan yang wajar ditanya sebenarnya ialah "siapakah saya" iaitu penyoalan di peringkat individu. Individu yang mengenali dirinya dan menggunakan budaya dan agamanya untuk kebaikan manusia barulah boleh menjadi efektif. – 3 Februari, 2016.

* Ini adalah pendapat peribadi penulis dan tidak semestinya mewakili pandangan The Malaysian Insider.

Comments

Please refrain from nicknames or comments of a racist, sexist, personal, vulgar or derogatory nature, or you may risk being blocked from commenting in our website. We encourage commenters to use their real names as their username. As comments are moderated, they may not appear immediately or even on the same day you posted them. We also reserve the right to delete off-topic comments