Opinion

Kamu hendak perjuangkan maruah Melayu?

Tahun lepas, satu gabungan badan bukan kerajaan (NGO) Melayu dengan beria-ianya memanggil untuk bangsa kita berkumpul di Stadium Bukit Jalil, katanya hendak membincangkan pelancaran satu "Renaissance Melayu" atau zaman kegemilangan Melayu.

Sudah hampir setahun sejak acara tersebut, apa dah jadi? Apa kesimpulan yang dicapai?

Seperti biasanya, 20,000 Melayu masuk stadium duduk berborak tapi implementasi tidak nampak langsung. Selain dari pengumuman Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak menguar-nguarkan 99 KPI untuk memajukan bangsa Melayu, ada ke orang yang memantau?

Ataupun acara tersebut lebih kurangnya satu sesi perbincangan teh tarik yang teramat mahal?

Kalaulah memang tidak membuahkan hasil, lain kali bagi sajalah kupon kat semua rakyat Malaysia minum di Restoran Pelita, lagi berfaedah. Siap boleh membantu ekonomi lagi.

Hakikatnya ialah bangsa Melayu banyak sangat acara membincangkan kepentingan masing-masing tapi tidak pernah membuahkan hasil, malah merugikan dan memalukan diri sendiri.

Apatah lagi hendak berarak di Kuala Lumpur kononnya dengan tujuan naikkan kembali maruah Melayu. Bagi Ketua Umno Bahagian Sungai Besar Datuk Jamal Yunos, bagi sesiapa pun yang kononnya hendak berbuat demikian, tolonglah terangkan idea di sebalik memperkasakan maruah Melayu kembali.

Kepada pihak penganjur baju merah ini, saya tanyalah secara terbuka.

Apakah perarakan baju merah ini boleh membantu menyelamatkan ekonomi?

Maruah Melayu bergantung kepada ekonomi. Bangsa Melayu kalau setakat berkuasa majoriti semata-mata dalam bilangan undi, apa yang hendak bangga sangat?

Kalau setakat nak suruh kita bermaruah kerana melahirkan 12 anak untuk membesar menjadi 12 pengundi dalam keadaan papa kedana, ada pula hendak sibuk mengherdik pasal maruah?

Secara kasarnya, 60% bilangan rakyat Malaysia berpendapatan dalam termiskin berada di kawasan bandar. Rakyat Malaysia berbangsa Melayu adalah 80% daripada jumlah 2.7 juta rumah tangga termiskin di Malaysia.

Kamu pula fikir pasal Cina DAP yang kurang ajar menjatuhkan maruah Melayu?

Tolonglah, Melayu sekarang bukan semuanya begitu bangang, ikut perasaan sampai hendak telan bulat-bulat yang ini semua angkara rakyat Cina negara kita.

Bagi mereka yang masih dalam kebingungan dan kebodohan itu, tanyalah hati masing-masing.

Siapa yang sudah lebih 60 tahun menjadi pemangkin Melayu dalam politik?

Masa protes Bersih dulu beria-ia laman Facebook Umno Era Baru (dah tutup) kata Cina tidur dalam hotel, Melayu tidur di jalan raya kononnya.

Saya tanyakan balik, siapa yang kononnya berpolitik memperjuangkan Melayu yang sampai waktu protes itu pun masih tak cukup duit nak duduk di hotel?

Wahai encik dan puan berbangsa Melayu di Malaysia, tanyalah diri masing-masing sebelum memakai baju merah pada 16 September nanti.

Siapakah yang kononnya menjaga hak dan kepentingan Melayu yang sampai hari ini pun majoriti Melayu berpendapatan rendah dan sederhana setakat cukup makan, kais pagi makan pagi, kais petang makan petang?

Siapakah yang kononnya memperjuangkan "maruah" Melayu, tapi biarkan saja bangsa sendiri berkhemah, beratap kanvas di Pantai Timur Semenanjung Malaysia ini sampai ke hari ini?

Banjir besar melanda tahun lepas, sampai hari ini masih belum ada peruntukan dilepaskan untuk membantu mereka.

Siapa yang menggadaikan tanah-tanah milik Melayu, sampai hanya 20% milik bangsa kita? Siapa yang jual Tanah Rizab Melayu sampai tinggal 11% di Semenanjung Malaysia seperti yang dibangkitkan Ikatan Muslimin Malaysia (Isma)?

Melayu tidak begitu senang terpedaya dengan permainan emosi puak-puak ini, tidak kisahlah kalau presiden Umno sendiri yang tuduh kita "bangsat" kalau tidak menyokong Umno, mempersendakan orang berlainan pendirian kononnya binatang yang boleh dipanggil "seekor-seekor".

Saya bercakap telus.

Kalau benarlah Jamal, ketua persatuan silat malah ahli Umno betul-betul berniat hendak membantu satu bangsa Melayu, pergilah baca buku Rancangan Malaysia ke-11, pergilah baca laporan gaji dan pendapatan Jabatan Statistik Malaysia, pergilah baca buku Mohamed Khalid bertajuk "Colours of Inequality" dulu.

Lihatlah bagaimana dengan kekuatan politik, Umno masih lagi tidak mampu membantu Melayu secara holistik dari belenggu kemiskinan. Lihatlah bagaimana di kawasan pendalaman, Melayu masih lagi terpaksa bergantung kepada elaun kerajaan untuk hidup kerana untung dimakan orang tengah yang sama Melayu.

Lihatlah bagaimana dengan peluang pendidikan prioriti, Melayu masih lagi tidak boleh mendapat pekerjaan bergaji selesa. Lihatlah sendiri bagaimana pelajar Melayu di universiti kononnya kena bersyukur dapat Perbadanan Tabung Pinjaman Tinggi Negara (PTPTN) tetapi masih bergantung kepada ibu bapa mereka kerana kos sara hidup yang tinggi.

Fahamkan dulu siapa yang merosakkan maruah Melayu. Fahamkan dulu mengapa Melayu sudah mula tidak menyokong mana-mana pihak politik secara bersatu. Fahamkan dulu kenapa Melayu sudah muak dengan semua ahli politik, tidak kisah mana-mana parti.

Ianya kerana pemimpin Melayu sendiri celupar berkata-kata tanpa berfikir.

Ianya semua kerana ketidakpercayaan Melayu kepada pemimpin yang kaya raya menyuruh si miskin mengikat perut untuk kepentingan mereka. Ianya kerana ketidakpercayaan Melayu kepada si baju merah, kepada si pemimpin Umno, kepada mana-mana pihak yang kononnya memperjuangkan Melayu setakat hangat-hangat tahi ayam.

Kalau setakat nak menaik motor kapcai, memakai baju merah dan melolong "hidup Melayu" sehingga ke Padang Merbok pada 16 September, itu bukanlah sesuatu yang memulihkan maruah Melayu walhal memalukan seluruh bangsa Melayu.

Maruah Melayu, perpaduan Melayu malah hidup matinya politik Melayu, bergantung kepada kebolehan Melayu sendiri mengakui kelemahan sendiri dan bergerak ke arah pembaikpulihan. Dan setakat ini, saya masih lagi belum melihat mana-mana pihak politik Melayu yang berbuat sedemikian. – 15 September, 2015.

* Ini ialah pendapat peribadi penulis dan tidak semestinya mewakili pandangan The Malaysian Insider.

Comments

Please refrain from nicknames or comments of a racist, sexist, personal, vulgar or derogatory nature, or you may risk being blocked from commenting in our website. We encourage commenters to use their real names as their username. As comments are moderated, they may not appear immediately or even on the same day you posted them. We also reserve the right to delete off-topic comments