Opinion

Melayu, kau jangan bangang, boleh?

Mantan perdana menteri kita pernah berpuisi yang Melayu mudah lupa. Mungkin beliau sedang jaga hati warga Melayu Malaysia pada waktu tersebut.

Saya takkan berbuat demikian.

Boleh dikatakan yang saya ini jarang berbahasa Melayu, bukan sebab tak fasih. Cuma terminologi tidak menghalalkan penulisan bila cakap pasal ekonomi dan isu sosial.

Tetapi kali ini, terpaksa. Darah berderau tahap nak mengamuk.

Soalan saya senang: bilakah bangsa Melayu menjadi begitu lemah dalam pegangan iman sampaikan nampak salib pun boleh tergugat?

Saban tahun isu ini tak naik di media massa pun sebab ia terlalu bangang nak diwartakan.

Bilakah Islam begitu lemah sampaikan salib membawa paranoia kepada 50 orang Islam di Taman Medan, Petaling Jaya, sampaikan kena protes turunkan salib?

Mungkinkah kita sebagai orang Islam, majoriti orang Malaysia ini, semuanya terpengaruh dengan salib sampai nak tukar agama?

Saya yang tengok dokumentari pasal kota Vatican, Perang Salib, malah filem-filem Hollywood pun, tidak sebegitu.

Jadi kepada 50 orang yang protes dan buli gereja itu, tahniah. Nak kata Islam, Islam. Nak kata baligh, sah baligh. Tapi nak kata berakal atau dungu tu, bab tu bertanda soal.

Kesedaran sivil perlu ada dalam masyarakat Malaysia, sekurang-kurangnya baca Perlembagaan Persekutuan kita. Bukannya mahal pun. Dulu bukunya yang versi mini tak sampai RM10 pun.

Lagi murah daripada rokok Semporna.

Mengikut perlembagaan negara kita, semua rakyat Malaysia termasuk warga Kristian bebas beragama. Ini termasuklah mendirikan gereja dan meletakkan lambang salib jika permohonan lesen mereka diluluskan pihak berkuasa tempatan.

Jadi, bila pula ini dikatakan "cabaran terhadap Islam"?

Entah.

Soalan ini perlu diajukan kepada 50 orang tersebut yang paranoia tahap dewa sampai iman terganggu nampak salib, termasuklah abang kepada ketua polis negara kita sendiri.

Kalau benarlah terganggu, agaknya nampak roti dan air Ribena pun iman tergugat kalau fasih dalam amal orang Katolik Malaysia.

Jadi kata saya dalam isu ini senang: wahai orang Melayu, kau jangan bangang, boleh?

Kalau salib tu menggugat iman, sila pergi surau ke, masjid ke, minta tunjuk ajar ustaz di sana.

Apa ke halnya pergi melalak macam anjing? Kau tu membawa imej Islam dalam semua perilaku. Setiap Melayu di Malaysia wajib Islam.

Oleh yang demikian, kenapa sanggup lupakan ajaran agama sendiri dengan berbuat sedemikian?

Mana sabarnya?

Mana ajak duduk berbincangnya supaya selesaikan isu ini secara aman?

Islam tidak pernah mengajar umatnya reaktif tahap gaban.

Boleh ke mengaku Islam lagi kalau nampak salib pun boleh terus tergugat? Kalau kita amalkan hudud, boleh saja kita pancung 50 orang ini sebab ini.

Bagus juga. Jimat masa, jimat BR1M, negara pun mungkin lagi aman.

Dalam masa negara mengalami cabaran yang berbagai dari segi ekonomi malah pembaikpulihan pantai timur yang dilanda banjir pun belum selesai, boleh pula 50 orang dungu tergugat dengan salib menjadi isu nasional?

Mengikut kanun keseksaan Malaysia sendiri, perbuatan mereka adalah salah di sisi undang-undang. Jadi, bila lagi polis dan ketua polis negara mahu ambil tindakan?

Perlukah laporan polis bila jelas ternyata kes ini di media massa?

Kepada gereja tersebut, saya meminta maaf terhadap aksi golongan Melayu Malaysia yang bangang dan tidak baca perlembagaan negara kami.

Pasangkan balik salib itu. Itu hak anda sebagai warga Kristian Malaysia.

Kalau isu ini timbul lagi, carilah ustaz berdekatan untuk merotan dan menyuruh golongan dungu itu ke masjid mengaji Quran.

Dan saya akan mengakhiri ini dengan satu amaran dan doa.

Kalau ada sebarang parti politik yang terlibat dalam mendungukan Melayu sampai ke tahap ini, moga-moga anda semua kalah dalam setiap pilihanraya di negeri Selangor ini.

Sudah cukuplah Melayu dikeldaikan jika ini benar-benar gerakan politik. Jangan memalukan bangsa dan agama sendiri sebegini. – 21 April, 2015.

* Ini ialah pendapat peribadi penulis dan tidak semestinya mewakili pandangan The Malaysian Insider.

Comments

Please refrain from nicknames or comments of a racist, sexist, personal, vulgar or derogatory nature, or you may risk being blocked from commenting in our website. We encourage commenters to use their real names as their username. As comments are moderated, they may not appear immediately or even on the same day you posted them. We also reserve the right to delete off-topic comments