Saya memang tidak bersetuju dengan penghijrahan Datuk Saifuddin Abdullah ke dalam PKR kerana ia satu perbuatan memakan diri selepas beliau menggunakan laman Twitter berkata tidak akan meninggalkan Umno.
Tetapi tiadalah sampai mengatakan beliau “sampah”, seperti yang dinyatakan oleh Setiausaha Agung Umno Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor. Saya tidak begitu kurang ajar.
Tetapi disebabkan Tengku Adnan sanggup membangkitkan perkataan sampah, dia memberi laluan kepada rakyat Malaysia sendiri untuk menentukan siapa sebenarnya sampah di Malaysia.
Bagi definisi saya sendiri, sampah adalah orang yang pecah amanah, yang “mencapati” janji, yang memporak-perandakan rakyat Malaysia yang dulunya makmur dan bersatu, tetapi sekarang sudah luntur dan berbahagi daripada aspek agama, bangsa, malah jantina.
Daripada aspek agama, rakyat Malaysia sekarang dibahagi dari pelbagai segi, sampaikan hendak mengucap “Selamat Tahun Baharu Cina” dan “Merry Christmas” pun dijadikan isu syak.
Malah, memandangkan kita sekarang dalam bulan Oktober, tunggu sajalah “tokoh agama” bersuara 31 hari bulan nanti.
Malah, ada juga yang cukup bangang dan hipokrit, salahkan perempuan saja kerja golongan ini. Perempuan tidak pakai tudung, pakai tidak menutup aurat dijadikan sasaran hinaan, caci maki dan lawak seksual – ada juga yang bangang sampai ke tahap mengancam rogol dan bunuh semata-mata perempuan tersebut menyatakan sesuatu yang jantan ini tidak boleh terima.
Saya sengaja guna perkataan “jantan” sebab tidak boleh hendak terima mereka ini manusia berperangai binatang. Saya kata mereka ini hipokrit kerana tidak pula sama tapah keganasan ini terhadap lelaki – perempuan saja yang kena.
Ada ke tidak mereka tengok permainan bola sepak bising kata “tengok mereka itu tidak tutup aurat!” dan tanya “berapa inci agaknya itu dalam seluar pendek”?
Tentulah tiada. Kononnya nak tunjuk alim, tetapi jadi zalim kerana tiada hadis atau ayat al Quran pun yang menjustifikasikan perangai “sampah” mereka itu.
Kemudian sampailah kategori “sampah” kedua, iaitu cakap tidak serupa bikin. Kategori ini berlambak contoh baik daripada pihak politik prokerajaan dan propembangkang. Bagi pihak pembangkang di Selangor, mulanya kata tidak setuju dengan pembinaan mana-mana lebuh raya baharu.
Tiba-tiba, muncul pelan pembinaan Lebuhraya Damansara Shah Alam (DASH), Lebuhraya Lembah Klang Timur (EKVE) dan Lebuhraya Ekspres Kinrara Damansara (Kidex). Kidex dilupuskan, tetapi apakah justifikasi pecah janji bagi yang lagi 2 itu?
Bagi yang prokerajaan pula, pilih saja yang mana-mana dari 1Malaysia Development Berhad (1MDB) sampailah ke isu rumah mampu milik yang entah bagaimana definisinya sampai golongan yang perlukan pun tidak mampu membeli.
Kemudian ada seorang individu yang cuba mengharamkan perbuatan pemberian makanan percuma kepada golongan kurang bernasib di Kuala Lumpur pada suatu masa dahulu. Apabila perbuatan derma yang ikhlas pun boleh diharamkan, itulah perbuatan “sampah” sebenarnya.
Tambah lagi, tengoklah pelbagai kenyataan menteri kabinet berkait dengan kos sara hidup dari dulu sampai sekarang. Ada yang kata kalau tidak mampu beli daging, jangan beli. Ada yang suruh pelajar duduk di kampus masak sendiri hendak elak cukai barangan dan perkhidmatan (GST).
Kemudian ada pula yang sekadar naik tren sehari dah boleh kata sistemnya “begitu bagus sekali”. Banyak sangat kenyataan dan perbuatan “sampah” bagi pihak kerajaan sampaikan yang menggeledah sampah dan membangkitkan isu korupsi tahap tinggi pun dihalang.
Kategori “sampah” ke-3 di Malaysia ini istimewa sikit dan paling berbahaya, yakni pihak yang rasis membangkitkan semangat perkauman semata-mata tanpa sebarang tindakan undang-undang diambil oleh pihak berkuasa.
Ini kategori sampah ajaib, macam “Recycle Bin” di komputer yang tidak boleh dikosongkan.
Contohnya senang saja, boleh dilihat di Ampang memakai baju merah dalam protes terbarunya menentang kerajaan Selangor. Tidak cukup dia merosakkan keamanan negara dan memporak-perandakan perpaduan bangsa di Kuala Lumpur pada Hari Malaysia lepas, sekarang pula Selangor menjadi mangsa yang perlu “diselamatkan”. Diselamatkan dari apa? Entahlah.
Yang tidak tahannya, siap ada penyokong tahap ahli Parlimen yang mengatakan beliau boleh rasis mengikut Islam. Memang sampah ajaib, entah ikut mazhab mana. Siap ada sampah berpangkat timbalan menteri yang kata rakyat Cina di Malaysia jangan bising supaya tidak dilempang. Malah, disebut dan direkod media massa tapi tiada tindakan.
Malah, “cover line” pihak Cina prokerajaan boleh kehilangan taring kata timbalan menteri itu “tidak cukup senior” untuk diendahkan sebagai alasan tiada tindakan. Macam mana itu?
Bagi saya, ketiga-tiga kategori sampah ini merupakan kebanyakan rakyat Melayu Malaysia, maaf saya katakan bagi mereka yang terasa. Inilah Melayu daripada pihak pemimpin sekarang sampailah kepada rakyat Melayu Islam Malaysia yang bergiat begitu aktif menjadi pendakwah hipokrit di media sosial.
Lebih menyedihkan, mereka inilah golongan majoriti di negara ini, pemimpin masa depan Malaysia dan juga kemudian hari juga mungkin menjadi tokoh korporat kita yang dibangga-banggakan.
Inilah bangsa Malaysia yang hendak menjadi negara “berpendapatan tinggi”, yang diwar-warkan di luar negara sebagai “Truly Asia” untuk warga asing dan kononnya negara yang menjadi tarikan bagi pelabur asing di Asia.
Inilah bangsa yang mengutuk mereka yang meminta tolong kerana kehilangan orang tersayang sebab tidak menggunakan bahasa Melayu. Inilah bangsa yang mengutuk pemenang pingat emas gimnastik Sukan SEA, malah pemenang biasiswa Bank Negara Malaysia kerana tidak menutup aurat.
Senang cakap, ini ialah bangsa sampah dan tin kosong yang perlu dikitarkan semula menjadi masyarakat bermentaliti dunia pertama. – 16 Oktober, 2015.
* Ini ialah pendapat peribadi penulis dan tidak semestinya mewakili pandangan The Malaysian Insider.
Comments
Please refrain from nicknames or comments of a racist, sexist, personal, vulgar or derogatory nature, or you may risk being blocked from commenting in our website. We encourage commenters to use their real names as their username. As comments are moderated, they may not appear immediately or even on the same day you posted them. We also reserve the right to delete off-topic comments