Opinion

Tentang ketuanan Melayu

Saya tersedak kejap membaca berita di The Malaysian Insider yang masih ramai percaya konsep ketuanan Melayu di Malaysia ini sampaikan dijadikan alasan oleh penganalisis sebagai salah satu faktor Barisan Nasional akan terus menang pilihanraya umum.

Ketuanan Melayu dalam bidang apa tu? Kalau nak kata pendidikan, entahlah. Saya rasa tidak tepat. Kata tidak tepat itupun bagi melembutkan bahasa sebenarnya. Bidang sukan? Mungkin, kalau tidak meludah pada ahli pasukan lain.

Bidang perniagaan? Tersedak saya kali kedua. Bidang politik? Paling tepat. Bukan pasal apa, sebab kita lagi ramai dari bangsa lain. Itu saja. Tapi sedihnya, adakah dasar kerajaan ini benar-benar membantu Melayu?

Kalau tengok setakat memberi wang dalam bentuk subsidi berbagai, pinjaman memulakan perniagaan kecil-kecilan dan sederhana (SME), bersyukurlah kita semua. Hidup aman. Tapi bagaimana pula dari segi gaji?

Saya terpandang fakta yang mengatakan gaji median rakyat kita berdasarkan tahun 2010 adalah RM2,000. Ini sangat menyedihkan, geram pun ada. Bukan pasal apa, masa saya sendiri mula kerja tahun 2005, gaji pertama saya dah sampai RM2,170.

Maksud data ini ialah dalam sedekad saya dah bekerja, orang yang mula kerja tahun 2010 dan malah pada hari ini pun masih belum dibayar gaji saya dulu. Lagi sedih lagi bila difikirkan berapakah inflasi sepanjang jangka masa tersebut.

Gaji RM2,170 pada tahun 2005 adakah nilai beliannya sama dengan sekarang? Kemungkinan tidak. Jadi apa gunanya kononnya "ketuanan" kalau orang kaum sendiri pun tak boleh bantu?

Dulunya, Presiden Perkasa Datuk Ibrahim Ali sendiri merupakan pejuang golongan nelayan dan petani. Mungkin dia pun sudah "give up" perjuangan ini dan lebih pentingkan golongan bandar saja.

Kedua-dua golongan ini yang dulunya merupakan sektor dominasi kaum Melayu kini sudah dilupakan begitu saja, diberikan bantuan kewangan setiap bajet tanpa penyelesaian berterusan untuk memastikan wang dari hasil usaha mereka sendiri cukup untuk kehidupan selesa.

Malah, duit dari kelapa sawit pun sudah entah ke mana bagi Felda Global Ventures. Jadi saya ingin bertanya: Apakah sebenarnya yang dimaksudkan dengan "ketuanan Melayu"?

Adakah ia bermakna kita mahu membangunkan seluruh bangsa Melayu Malaysia ke arah pendapatan bukan sahaja tinggi tapi mampan?

Ataupun adakah kerajaan ini setakat nak membangunkan individu tertentu sahaja, supaya rakyat berbangsa Melayu yang lain memanggil mereka "tuan"?

Inilah yang terjadi sekarang. Dan ini juga salah satu sebab saya agak bengang dengan Pemandu.
Kalau setakat nak membanggakan pendapatan kasar negara per kapita kita naik ke AS$16,000 atau secara kasarnya RM59,960, cuba teliti matematiknya sekejap.

Gaji median rakyat Malaysia – maksudnya gaji majoriti rakyat kita – hanyalah RM2,000 sebulan atau RM24,000 setahun.

Kalau pendapatan kasar dah dekat RM60,000, gaji median hanya RM24,000 yang lainnya ke mana? Tambahan lagi, kalau betullah Melayu ni tuan, berapa ramai yang berpendapatan sampai boleh membayar cukai pendapatan yang digunakan untuk pembangunan negara dan diagihkan sebagai Bantuan Rakyat 1Malaysia (BR1M)?

Ke mana Melayu kalau hanya setakat majoriti penerima BR1M saja, tidak sampai RM4,000 gajinya nak membayar cukai? Fikirlah sendiri.

Kerajaan ini tidak habis-habis kata nak menjadikan Malaysia negara berpendapatan tinggi tetapi pernahkah kita pergi balik bertanya; gaji tinggi ini termasuk kepada golongan nelayan, petani, pemandu teksi, pembancuh teh kat pejabat masing-masing?

Juga, kalau setakat gaji tinggi tapi kos sara diri pun meningkat, apakah ringgit kita sebaik mata wang negara serantau yang berjuta dan berpuluh ribu seperti Baht Thailand, Rupiah Indonesia dan Peso Filipina?

Jadi, tunjukkanlah mana sebenarnya kononnya "ketuanan Melayu". Saya sengaja tulis rencana ini dalam bahasa Melayu hendak suruh Melayu baca. Ini adalah cabaran bangsa kita sendiri. Bila tengok di pejabat masing-masing, pernah tanya ke gaji berapa cukup untuk hidup selesa?

Pernah tanya bos sendiri berapa peratus dari pendapatan syarikat jadi gaji staf? Pernah tanya kenapa kerajaan tidak mewajibkan peratusan tersebut ke atas semua majikan?

Bagaimana pula dengan hasil tani dan tangkapan laut? Kalau dari pasar raya kepada nelayan dan petani pun hanya seciput balik ke asal, yang lain ditelan orang tengah, macam mana dengan golongan ini?

Kalaulah benar rakyat Malaysia, terutamanya yang Melayu, hendak menjadi tuan dalam makna bantu membantu sebangsa seboleh-bolehnya, tentu ia takkan dipandang hina dan sinis.

Tapi realitinya, kita dah semakin memandang ketuanan Melayu sebagai agenda memperkayakan satu lapisan mandor yang kita semua kena panggil "tuan". – 10 Jun, 2015.

* Ini ialah pendapat peribadi penulis dan tidak semestinya mewakili pandangan The Malaysian Insider.

Comments

Please refrain from nicknames or comments of a racist, sexist, personal, vulgar or derogatory nature, or you may risk being blocked from commenting in our website. We encourage commenters to use their real names as their username. As comments are moderated, they may not appear immediately or even on the same day you posted them. We also reserve the right to delete off-topic comments