Opinion

Ali Rustam, belajarlah dari semangat Jebat

‘Ali Rustam belajar silat apa?’ Ini persoalan yang berjejeran dari mulut kawan-kawan ketika bekas ketua menteri Melaka itu melaungkan kesediaan para pesilat untuk berperang sekiranya dicabar.

Banyak persoalan lain timbul, antaranya termasuklah ‘mahu berperang dengan siapa’ dan ‘nak bersilat lawan machine gun?’ tetapi saya lebih sukar soalan yang pertama.

Sebagai bekas ketua menteri Melaka, Tan Sri Ali Rustam sewajarnya lebih mengerti bumi peninggalan Hang Tuah lima bersaudara itu bukan setakat merakam jejak langkah bunga buah bermacam ilmu persilatan, bahkan menjadi rekod keberanian dan kesanggupan seorang wira yang menderhaka demi melawan kezaliman dan menegakkan keadilan.

Bukan sekali dua kita dipertontonkan filem Hang Jebat lakonan seniman Nordin Ahmad pada tahun 1961.

Dalam satu babak di istana yang menampilkan si Jebat memberi makan fakir miskin dan mengembalikan harta kerajaan kepada rakyatnya, pelakon kelahiran Pulau Pinang itu berulang kali menyebut dia hanya mahukan keadilan, keadilan, keadilan.

Dua watak ini sering timbul dalam naratif politik Melayu, terutamanya dalam wacana taat-derhaka orang Melayu terhadap penguasa atau pemerintahnya.

Tuah sering digambarkan sebagai si gagah perkasa yang taat beraja; manakala si Jebat digambarkan sentiasa beperwatakan antagonistik, baran dan derhaka.

Namun kita dilupakan Jebat barangkali adalah sosok demokrat pertama di bumi Melaka yang menggunakan hak membantahnya terhadap sebuah sistem yang melonggokkan kuasa eksekutif, legislatif dan kehakiman pada satu batang tubuh bergelar sultan.

Dan Jebat juga tidak derhaka secara membabi-buta, malah bersebabkan kezaliman yang menimpa saudara seperguruannya.

Kezaliman yang menimpa Tuah lantaran fitnah Patih Kerma Wijaya barangkali menjadi jerami mematahkan belakang unta, yang akhirnya mencetuskan amukan si Jebat demi mempertahankan bukan sahaja nasib Tuah, tetapi juga nasib orang kebanyakan.

Semangat Jebat, yang menghargai persaudaraan, keadilan serta melawan kezaliman adalah semangat yang wajar dicontohi terutamanya dalam keadaan sekarang di mana umat Malaysia berada di bawah pentadbiran yang begitu bobrok dan selayaknya dilawan.

Derhaka si Jebat demi semangat setiakawan serta menumpaskan kezaliman menjadikan Jebat tokoh demokrat Melayu yang merintis semangat melawan. Pastinya, melawan kezaliman bukan satu kesalahan.

Aneh sekali bagaimana Ali Rustam gagal memahami konsep semangat Jebat ini, seraya menyeru supaya sekalian pengamal seni silat bersedia untuk bertempur demi maruah Melayu kononnya.

Barangkali Ali Rustam sebenarnya tidak belajar silat, justeru tidak faham semangat Jebat.

Kita tidak bodoh. Kita tahu apabila Ali Rustam menyebut maruah Melayu, apa yang dimaksudkan sebenarnya ialah maruah Umno. Maruah sebuah parti yang sepanjang lebih 50 tahun lampau gagal membela nasib umat Melayu, kecuali sanak saudara terdekat yang dijamin tembolok mereka sentiasa mendapat habuan.

Kita kesal apabila seni silat mahu dipergunakan sesetengah pihak untuk kepentingan politik dan ekonomi poket mereka sendiri.

Walhal, seni silat mendidik rohani dan jasmani agar hidup teratur dan berdisiplin, hormat-menghormati antara satu sama lain, serta membela mereka yang ditindas ketimbang mengacukan buku lima sebagai tanda mengacah perseteruan.

Kesiapsagaan yang diajar dalam seni silat cekak contohnya, mendidik si pengamal supaya berdiri lurus dan bertenang; hanya bertindak balas apabila penumbuk cecah ke tubuh badan.

Ia tidak menganjur supaya si pengamal silat sentiasa berada dalam kedudukan menyerang dan memperlihatkan diri seolah-olah begitu paranoid dan menanti serangan.

Minda tertawan seperti yang cuba diajarkan Ali Rustam bukan daripada didikan dan latihan pengamal seni silat.

Pesilat bukan kerjanya mencari gaduh, bahkan berfungsi sebagai ikhtiar menjaga diri daripada kejahatan mereka yang mahu berbuat jahat.

Percubaan proksi-proksi Umno untuk mempergunakan para pesilat sebagai benteng mempertahankan kuasa adalah suatu langkah yang amat sumbang dan sewajarnya diketawakan.

Apakah tidak cukup lagi mereka mempergunakan pihak keselamatan yang lengkap bersenjata untuk menakut-nakutkan orang ramai daripada menyuarakan bantahan masing-masing?

Nah sekarang mahu diajak berkeris pula?

Kalaulah dengan berkeris maka persoalan skandal ribuan juta yang merundung negara dapat dilunaskan alangkah baiknya.

Silat dan keris punya kedudukan tinggi dalam memberi erti kepada nilai dan tatasusila orang Melayu.

Janganlah ia dipergunakan tangan-tangan kotor para ahli politik sebagai perisai daripada serangan-serangan minda yang sudah tidak mampu dipatahkan. – 27 Oktober, 2015.

* Ini adalah pendapat peribadi penulis dan tidak semestinya mewakili pandangan The Malaysian Insider.

Comments

Please refrain from nicknames or comments of a racist, sexist, personal, vulgar or derogatory nature, or you may risk being blocked from commenting in our website. We encourage commenters to use their real names as their username. As comments are moderated, they may not appear immediately or even on the same day you posted them. We also reserve the right to delete off-topic comments