Opinion

‘Aloq Setaq Move’, siapa punya kerja?

Konspirasi melengser anak Tun Dr Mahathir Mohamad di Kedah, kelihatan aneh. Tak ada angin ribut, tiba-tiba perkumpulan pemimpin-pemimpin Umno Kedah muncul bersama dalam satu sidang media untuk menyatakan hilangnya keyakinan mereka terhadap Datuk Seri Mukhriz Mahathir.

Mereka dilaporkan bersetuju mendesak supaya Mukhriz segera diganti, dengan campur tangan Presiden Umno Datuk Seri Najib Razak, sepertimana yang pernah dilakukan di Terengganu, dan pastinya sepertimana pernah terjadi di Selangor, dalam aksi “Kajang Move” yang begitu popular.

“Aloq Setaq Move” yang nampaknya disokong gerombolan pemimpin bermasalah dan terkait skandal Tabung Haji, Ypeim dan entah apa lagi skandal itu, barangkali bukan semudah kita sangka. Langkah bunga buah Umno Kedah nampak terlalu “orchestrated” dengan tujuan-tujuan yang tidak mampu kita pastikan.

Sekali pandang, kita melihat wajah Datuk Seri Abdul Azeez Rahim, Datuk Seri Jamil Khir Baharom dan Datuk Seri Ahmad Bashah Hanipah di barisan hadapan kumpulan pendesak yang mengadakan sidang media itu. Wajah yang tiada dalam gambar ialah Datuk Mahdzir Khalid, teman rapat istana Kedah yang diserap menganggotai Kabinet baharu Najib tahun lalu.

Kehadiran wajah-wajah ini memberikan andaian memang betul wujud komplot melengser Mukhriz, bagi memberi ruang kepada orang yang lebih “Najib-friendly” mengepalai pentadbiran Kedah Darul Aman.

Tetapi bagaimana kalau andaian ini tidak benar dan wujud konspirasi lain, yang tidak kita ketahui.

Bagaimana kalau yang merencana semua ini adalah datuk seri menteri besar sendiri, dengan bantuan perencana ulung abad ini, Dr Mahathir?

Sebenarnya sejak waktu pecah berita saya sudah nyatakan, saya tidak hairan kalau rancangan menggesa Najib untuk menukar menteri besar Kedah ini adalah rencana Mukhriz sendiri untuk mencabar keberanian perdana menteri, sama ada beliau berani untuk berlaga angin dengan bapanya, Dr Mahathir.

Sejak usai Perhimpunan Agung Umno yang lalu, kita terus ternanti-nanti apa langkah politik seterusnya bagi kem Dr Mahathir, dalam usaha melengser Najib dan memperkukuh kedudukan parti Umno tanpa sebarang masalah kepimpinan yang bergelumang siasatan skandal kewangan.

Perhimpunan tersebut berakhir dengan andaian pemimpin-pemimpin Umno disantuni sang presiden, dengan caranya tersendiri dan diberikan kefahaman tentang skandal-skandal semasa, terutamanya persoalan syarikat bermasalah milik negara, 1Malaysia Development Berhad (1MDB).

Kelihatan juga semua penentang-penentang Najib ditewaskan atau dibungkam, dengan apa jua cara, supaya mereka tiada lagi melawan. Tan Sri Muhyiddin Yassin juga sudah lama tidak kedengaran namanya, Datuk Seri Shafie Apdal apatah lagi.

Lalu dalam keadaan tenang itu kita dikejutkan dengan “Aloq Setaq Move” ini, yang dilancarkan dengan dakwaan Mukhriz sudah tidak lagi layak menerajui Kedah dan mahu diganti dengan calon yang tidak pula dinamakan gerombolan sidang media tersebut.

Mereka sekadar berkata mereka berharap supaya perdana menteri dapat membuat keputusan, dan mereka akan akur dengan keputusan perdana menteri.

Setakat waktu tulisan ini, perdana menteri belum membuat sebarang keputusan. Kita boleh andaikan kelewatan membuat keputusan itu adalah disebabkan kombinasi beberapa faktor, terutamanya faktor Dr Mahathir.

Mahu bertembung dalam satu majlis juga tidak berani, inikan pula mahu dilengser anaknya daripada jawatan yang begitu penting.

Apatah lagi selpas si anak berjaya memperlihatkan beliau sememangnya memiliki sokongan dan disenangi ramai. Cuba kalau saya suruh anda fikirkan apa salah silap dan skandal Mukhriz sebagai menteri besar Kedah sehingga perlu beliau dilengser, boleh anda senaraikan? Lama juga nak fikirkan?

Ya, ini mengingatkan kita kepada “Kajang Move”, langkah maha tidak popular PKR untuk menggantikan menteri besar Selangor beberapa lama dahulu. Barangkali Umno Kedah akan terpaksa buat “roadshow” pula ke seluruh negeri, menerangkan kenapa mereka berpendirian sedemikian.

Sambil itu, mereka harus juga mendapatkan persetujuan parti-parti komponen Barisan Nasional selain menunjukkan bilangan Adun yang hilang percaya kepada sang menteri besar, supaya dapat diperkenankan Istana.

Tapi takkanlah kita nak harapkan Umno buat begini melalui proses demokrasi, walaupun dengan cara separuh jalan dengan menunjukkan angka bilangan sokongan dalam Dewan Negeri? Lihat sahaja pendedahan semalam tentang bagaimana orang yang hadir ke sidang media pun tak tahu hujung pangkal mereka hadir majlis apa sebenarnya.

Dengan segala kekeliruan dan persoalan ini, saya seru anda semua untuk terus bertanya, “Aloq Setaq Move” ini kerja siapa sebenarnya? Adakah ia dilakukan sekadar untuk mencabar suami Datin Seri Rosmah Mansor? – 22 Januari, 2016.

* Ini ialah pendapat peribadi penulis dan tidak semestinya mewakili pandangan The Malaysian Insider. 

Comments

Please refrain from nicknames or comments of a racist, sexist, personal, vulgar or derogatory nature, or you may risk being blocked from commenting in our website. We encourage commenters to use their real names as their username. As comments are moderated, they may not appear immediately or even on the same day you posted them. We also reserve the right to delete off-topic comments