Opinion

Berapa lama mahu tidur?

Kita semua ada kawan kaki tidur. Selalunya juga kawan kaki tidur ini bukan calang-calang orangnya. Yang paling rajin terlena dalam kelas dan bilik kuliah, contohnya adalah seringkali yang paling bijak. Waktu orang sibuk mengulangkaji, dia sedap membuta. Bila keluar keputusan peperiksaan, dialah yang paling berjaya.

Tidur bukan masalah. Semua orang memerlukan tidur. Ada golongan yang memerlukan tidur lebih lama berbanding golongan lain. Ada pula spesis yang tidur sekejap-sekejap sahaja.

Mereka yang ahli dalam bidang tidur ini memutuskan manusia dewasa antara usia 26 ke 64 tahun memerlukan tidur sebanyak 7 ke 9 jam setiap hari. Ini pula berkadaran dengan aktiviti harian pula. Semakin berat pekerjaan yang dibuat, makin banyak lah rehat yang diperlukan.

Mahasiswa contohnya memerlukan tidur yang lebih banyak kerana banyak menggunakan otak. Berbeza dengan orang politik yang tak perlu banyak guna otak.

Tetapi bukanlah semua orang politik itu tidak menggunakan otak, jangan salah faham. Ramai juga ahli politik yang rajin menggunakan otak, dan pastilah mereka lebih kuat tidur berbanding rakan-rakan yang lain.

Almarhum mantan presiden Indonesia Kiai Haji Abdurrahman Wahid contohnya terkenal dengan kelazimannya mudah terlena. Matanya yang nampak seakadan sentiasa pejam sebelah juga tidak membantu. Pun begitu Gus Dur itu juga terkenal sekadar berlakon tidur walhal sebenarnya sedar dengan perbincangan sekeliling.

Khabarnya tidak sekali dua Gus Dur kelihatan lena dalam mesyuarat namun boleh sahaja terjaga dan menyambung perbincangan. Dalam satu wawancara, Gus Dur ditanya kenapa beliau sering sahaja difotograf sedang lena. Gus Dur pantas menjawab hanya mata sahaja pejam, namun telinga dan hati tetap terpasang.

Malaysia juga pernah mempunyai pemimpin negara yang kuat tidur. Hatta buku yang membincangkan legasi pentadbirannya diberikan tajuk "Awakening: The Abdullah Badawi Years in Malaysia", menyindir sinis.

Pak Lah, sebagaimana panggilan mesranya, kerap kali juga digambarkan sebagai perdana menteri yang kuat tidur. Meski kuat tidur, beliau masih mampu memimpin seluruh negara (walaupun tidak begitu lama). Dalam kuat tidur itu pun Pak Lah berjaya memimpin Barisan Nasional untuk menang bergaya dalam pilihanraya umum pada tahun 2004.

Kita pasti kekalahan teruk Barisan Nasional empat tahun berikutnya bukanlah kerana sikap kuat tidurnya itu. Kekalahan itu diatributkan kepada tsunami yang tidak punya ras, berbanding tsunami 2013 yang diwarnakan sebagai tsunami Cina.

Apa pun Pak Lah masih lagi disebut-sebut namanya sebagai orang yang meski kuat tidur masih mampu mengepalai kerajaan. Terutamanya di musim bermunculan menteri besar baru di Kedah yang khabarnya turut lemah mengawal kelopak matanya, meski di balairung istana.

Dua minggu lamanya "Langkah Kedah" diatur untuk melengser anakanda Tun Dr Mahathir Mohamad, hanya untuk digantikan dengan menteri besar kuat tidur yang menang di Dewan Undangan Negeri (DUN) Bakar Bata dengan majoriti senipis kulit bawang.

Analisa awal mengatakan perubahan menteri besar Kedah tanpa justifikasi selain untuk memperkukuh politik Umno negeri itu serta memastikan barisan panglima Perdana Menteri boleh menurut perintah, akan hampir pasti mengundang masalah kepada Umno untuk kekal berkuasa di negeri itu.

Bukan sahaja kerana yang diganti itu merupakan anak Dr Mahathir, malah kerana anak Dr Mahathir itu diganti dengan seorang individu yang khabarnya tidak berpendidikan tinggi selain punya reputasi buruk sebagai seorang kaki lena.

Ternyata akhirnya dalam permainan politik Datuk Seri Najib Razak yang begitu "real" ini, kualiti dan kelayakan tidak perlu dijadikan pertimbangan. Apa yang jauh lebih penting ialah ketaatan dan kesetiaan tanpa banyak mempersoal.

Apatah lagi jika soalan tersebut melibatkan skandal-skandal keluar masuk wang ribuan juta ke dalam akaun peribadi menteri perdana, sepertimana yang disahkan Peguam Negara.

Apatah lagi di saat banyak lagi pihak-pihak berkuasa luar negara sudah memulakan tindakan undang-undang bagi menyiasat hal-hal lain yang terkait dengan korupsi melibatkan transaksi pihak-pihak yang terlibat dengan menteri perdana. Beliau pastinya memerlukan mereka yang mampu bertaat-setia tanpa berbelah bagi kepadanya.

Bukan seperti Mukhriz, anak Dr Mahathir yang bukan sekali dua menderhaka. Bahkan di hujung kekuasaannya sebagai menteri besar mengutuk legasi Najib. “I'm sorry to say,” katanya, "as long as Najib is still there, Umno is at its weakest point right now.”

Ini juga bukan kali pertama Mukhriz melawan presiden Umno. Ya, beliau juga dulu rancak melawan kaki tidur yang disebut tadi, selepas Pak Lah gagal mempertahankan majoriti dua pertiga dalam PRU ke-12 tahun 2008.

Memang ironi dan kelakar sekali melihat Mukhriz yang dahulunya melawan presiden kaki tidur, kini digantikan dengan seorang kaki tidur juga. Tetapi itu bukan soalnya.

Soalnya berapa lama kita harus tunggu sebelum Mukhriz mengatur langkah balas setelah begitu lama bersembang kencang dengan perkumpulan yang mahu melengser Najib. Atau adakah Mukhriz pula yang sedang tidur? – 5 Februari, 2016.

* Ini adalah pendapat peribadi penulis dan tidak semestinya mewakili pandangan The Malaysian Insider.

Comments

Please refrain from nicknames or comments of a racist, sexist, personal, vulgar or derogatory nature, or you may risk being blocked from commenting in our website. We encourage commenters to use their real names as their username. As comments are moderated, they may not appear immediately or even on the same day you posted them. We also reserve the right to delete off-topic comments