Opinion

Bersatu Melayu, dan ‘kebangkitan Baju Merah’

Kuala Lumpur sesak, sepanjang Jalan Tun Razak menuju kubu Umno di simpang Jalan Ipoh sana. Semuanya berpusu-pusu ke bangunan Pusat Dagangan Dunia Putra, menyahut seruan supaya ‘Bersatu Melayu’.

Seruan ini aneh sekali kerana ia tidak pernah digunakan sepanjang 69 kali parti pemerintah tersebut bersidang. Ia menimbulkan persoalan, antaranya termasuklah kenapa perlu diseru orang Melayu supaya bersatu, adakah Melayu sedang berpecah? Kalau berpecah, kenapa dan siapa yang bikin pecah?

Dan kenapa sekarang mahu diseru supaya Melayu itu bersatu? Di wadah apa Melayu itu perlu disatukan? Dan siapa pula yang tergugat sekiranya Melayu tidak bersatu?

Sudah 69 kali bersidang, kali ini harus diserukan penyatuan? Kenapa? Mari saya curahkan sebab apa.

Semalam, pada sambutan Hari Hak Asasi Manusia Sedunia, sebuah buku diedarkan di Perhimpunan Agung Umno 2015 dengan tajuk ‘Kebangkitan Baju Merah’. Buku berbentuk segi empat sama ini sangat baik mutu buatannya. Pastilah juga sangat mahal harga yang dibayar kepada pencetaknya.

Buku ‘Kebangkitan Baju Merah’ ini menghimpunkan ratusan gambar perhimpunan ‘Baju Merah Rakyat Bersatu’ pada 16 September lalu, dengan hanya 9 muka surat daripada lebih 100 muka yang lainnya dikhususkan untuk memburukkan perhimpunan aman Bersih 4.

Lebih menarik lagi, buku yang mengagungkan perhimpunan baju merah ini dicetak Jabatan Hal Ehwal Khas (Jasa) yang beralamat di Kementerian Komunikasi dan Multimedia Malaysia, Menara Mara, Jalan Tuanku Abdul Rahman. Berjiran dengan pusat teknologi maklumat paling popular tahun ini dengan julukan ‘Low Yat 2’.

Jasa, meski namanya begitu, tidak ada kena mengena dengan usaha menabur jasa dan budi, bahkan merupakan sebuah badan propaganda yang berfungsi antara lain “menyediakan laporan maklum balas dengan tepat, semasa dan sahih mengenai isu siasah dan agama” dan “menyediakan bahan penerbitan dan multimedia yang bermaklumat semasa mengenai siasah dan agama”.

Buku terbitan Jasa dan diedarkan di perhimpunan agung semalam adalah kerja propaganda yang tiada lain tujuannya kecuali untuk menambah minyak kepada slogan ‘Bersatu Melayu’ yang menghiasi setiap ceruk bangunan PWTC sepanjang minggu ini.

Tapi kenapa bukan biro penerangan Umno yang buat kerja itu? Kenapa harus sebuah jentera kementerian jaga Facebook dan Twitter yang buat kerja propaganda dalaman parti politik? Aneh bukan?

Sebenarnya ini langsung tidak menghairankan kerana seruan ‘Bersatu Melayu’ dengan semangat ‘Baju Merah’ ini adalah antara banyak talian hayat Umno untuk kekal relevan dan berkuasa, walau berapa juta kali pun orang Melayu “dikencingnya”.

Isnin lalu, mantan presiden Umno dan perdana menteri kesukaan ramai Tun Dr Mahathir Mohamad dalam ucapannya di Kelab Sultan Sulaiman Kampung Baru dengan selamba melontarkan persoalan kepada penganjur himpunan baju merah. Soalnya siapa yang memberi dana kepada penganjur untuk tujuan mobilisasi peserta dengan ratusan bas dari segala ceruk tanah rancangan Felda dengan alasan mahu dibawa berjalan makan angin di Kuala Lumpur.

Dengan terbitnya buku bergambar oleh Jasa ini, mungkin Mahathir sudah boleh menambah pelurunya dan menghalakan muncung senapangnya ke Menara Mara pula, dan bertanya malaun mana yang gunakan duit pembayar cukai untuk cetak propaganda dan edarkan percuma di PWTC.

Adakah yang memberi dana untuk kedua-dua kerja mobilisasi dan propaganda itu perkumpulan atau individu yang serupa? Individu yang menerima arahan kerja dan diberi makan oleh mereka yang sedang digugat takhta kuasanya oleh Dr Mahathir berserta konco-konconya.

Ini bukan kali pertama Umno menyalahgunakan jentera kerajaan untuk cuba membersihkan najis dan cela yang berpalit di mukanya. Ini juga bukan kali pertama Umno enggan mengaku sebuah perhimpunan sarat sentimen perkauman didalangi olehnya dan kerajaan yang diketuainya. Setiap kali ia tercungap meminta nyawa, inilah yang dilakukannya. Hatta meminta bantuan kepada pihak lawan yang saban tahun dicercanya.

Apa yang kelakar ialah baru semalam Presiden Umno merangkap Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak memberikan indikator kononnya PAS semakin jinak untuk bekerjasama dengan Umno. Namun semalam pula perwakilan Kelantan, negeri yang ditadbir PAS sejak zaman berzaman, dilaporkan berucap berpesan supaya “Jangan Malaysia jadi macam Kelantan”.

Eh. Sebenarnya mahu bersatu dengan PAS atas seruan ‘Melayu Bersatu’ atau sebenarnya berlakon dengan slogan itu supaya yang bangang dapat ditipu setelah merasa cuak konon maruah kaum dan agamanya digugat?

Betul-betullah. Melayu yang tergugat atau Umno yang tergugat? Kalau betul tak mahu jadi macam Kelantan dan mahu “Melayu Bersatu” bayarlah duit royalti minyak Kelantan dan selesaikan masalah perumahan mangsa banjir Kelantan yang sudah setahun duduk dalam khemah. Jika tidak, tukar sloganlah. “Selamatkan Najib” contohnya.  – 11 Disember, 2015.

* Ini ialah pendapat peribadi penulis dan tidak semestinya mewakili pandangan The Malaysian Insider

Comments

Please refrain from nicknames or comments of a racist, sexist, personal, vulgar or derogatory nature, or you may risk being blocked from commenting in our website. We encourage commenters to use their real names as their username. As comments are moderated, they may not appear immediately or even on the same day you posted them. We also reserve the right to delete off-topic comments