Opinion

Bukan cuma mahasiswa yang lapar

Saya tidak sangka akan tiba satu hari di mana masyarakat akan mengambil sikap 'tidak apa' terhadap isu kelaparan anak mahasiswa.

Malah lebih teruk lagi, masyarakat boleh pula menyarankan supaya mahasiswa bekerja demi menampung perbelanjaan pendidikan mereka.

Hujah masyarakat mudah: 'Kami dulu pun bekerja untuk menampung belanja pendidikan'. Masyarakat sewajarnya malu dengan reaksi mereka ini.

Tidak jauh beza pendirian mereka dengan pendirian Timbalan Menteri Kewangan, Datuk Ahmad Maslan yang menyarankan supaya orang ramai melakukan 2 kerja untuk menyara kehidupan yang dibebani kenaikan kos sara diri.

Tidak sedikit juga anak mahasiswa yang lama terpaksa mengorbankan waktu belajar dan menelaah untuk membuat kerja rencam demi mendapatkan wang saku.

Ramai daripada kalangan mereka, yang mempunyai keluarga miskin susah terutamanya yang sudah sekian lama bekerja sebagai tukang cuci, pelayan restoran, pembantu kedai dan sebagainya.

Tidak kurang juga mahasiswi yang mengorbankan kehormatan dengan menyediakan khidmat hubungan intim secara fizikal atau atas talian, sesuai dengan saranan masyarakat supaya mereka bekerja demi menampung perbelanjaan pendidikan.

Agaknya kalau negara ini menghalalkan kelab tarian tiang, akan bersepahlah anak-anak bangsa mencari wang saku demi mendana pendidikan mereka seperti mana kelazimannya di Barat.

Saya tidak pasti bila masyarakat negara ini menjadi begitu tidak berhati perut dan merasakan anak bangsa yang menimba ilmu patut hidup susah, lapar dan membuat kerja sampingan kerana kata mereka 'kami dulu pun begitu'.

Sepatutnya bukankah kita sebagai sebuah bangsa berusaha supaya kesusahan masa lampau tidak dijadikan warisan?

Bukankah lebih baik sekiranya kita berpendirian 'jika aku dulu susah, anak bangsa sekarang tidak seharusnya susah seperti aku'?

Soal mahasiswa lapar bukan persoalan baru. Mahasiswa memang sudah 'sejak dulu' sentiasa lapar dan mengikat perut, seperti yang disebut ramai orang.

Apa yang boleh diubah dan perlu diubah ialah pendekatan negara terhadap isu kebajikan mahasiswa dan sikap masyarakat terhadap kesusahan mereka.

Perjuangan ramai pihak demi pendidikan percuma misalnya adalah satu usaha untuk menghindar kesengsaraan lampau daripada diwariskan kepada generasi akan datang.

Sekurang-kurangnya kalau peruntukan pejabat perdana menteri yang semakin membelon saban tahun dapat dipotong separuh dan diberikan kepada institusi-institusi pengajian tinggi yang tahun sudah dipotong peruntukannya, barangkali mahasiswa tidak perlu mengikat perut.

Sekurang-kurangnya kalau yuran boleh direndahkan dan subsidi dewan makan boleh dipulihkan, anak-anak mahasiswa tidak harus sengsara.

Pendekatan ini tidak terhad kepada soal pendanaan kampus semata-mata, malah terpakai kepada seluruh sistem belanjawan negara.

Sekiranya gaji para menteri dipotong separuh, jika elaun keraiaan mereka dikurangkan dan peruntukan makan angin mereka disalurkan kepada sektor yang lebih memerlukan, bukankah lebih baik?

Bayangkan sekiranya gaji pembesar-pembesar YPEIM disukukan, dan jawatan mereka dikurangkan sambil elaun-elaun mengarut mereka ditiadakan, yayasan amal jariah anda itu pastinya akan dapat membantu lebih ramai golongan yang kurang bernasib baik; ketimbang membeli simulator golf.

Ya, bukan cuma mahasiswa yang lapar. Rakyat negara ini yang lapar juga banyak.

Kenaikan kos sara hidup, selain kenaikan tambang pengangkutan, tol dan sebagainya kian memburukkan kehidupan ramai dari kalangan kita yang tanpa sedar tergolong dalam kalangan warga miskin kota.

Namun apa sikap daulah terhadap warga miskin kota selain disuruh bekerja lebih masa, atau melakukan 2 kerja sambil terpaksa beratur mengambil makanan percuma dari dapur-dapur jalanan?

Pada masa yang sama begitu ramai warga 'chattering class' (kelas membebel) yang lebih selesa menghamburkan kutukan terhadap nasib malang orang lain, menuduh mereka tidak mampu atau tidak mahu membantu diri sendiri.

Sikap Thatcherisme di kalangan umat negara ini kian membimbangkan. Ia menjadi isyarat yang menunjukkan kita semakin kehilangan hati dan semakin individualistik, peduli nafsi-nafsi.

Lawan kepada sikap ini ialah pendekatan solidariti, yang menjadi tunjang banyak ideologi kiri, termasuk demokrasi sosial yang menganjurkan masyarakat supaya ikut peduli dengan keberadaan tetangga; termasuk makan pakainya dan kesihatan akalnya.

Semangat solidariti menjanjikan komuniti yang saling peduli dan membantu, dan menjanjikan fabrik masyarakat yang bebas daripada sikap 'tak apa' dengan kesusahan orang lain.

Penyair handalan, Pyanhabib Rahman dalam tulisannya yang paling popular menyebut, 'Kemerdekaan bererti; Setiap usus perut rakyat berisi nasi, vitamin dan zat besi'.

Semoga kita semuanya menjadi bangsa yang benar-benar merdeka, dan bukan peduli tembolok dan perut sendiri sahaja. – 15 Januari, 2016.

* Ini ialah pendapat peribadi penulis dan tidak semestinya mewakili pandangan The Malaysian Insider.

Comments

Please refrain from nicknames or comments of a racist, sexist, personal, vulgar or derogatory nature, or you may risk being blocked from commenting in our website. We encourage commenters to use their real names as their username. As comments are moderated, they may not appear immediately or even on the same day you posted them. We also reserve the right to delete off-topic comments