Umno khabarnya mahu bermesyuarat dalam kelambu bulan depan. Mesyuarat dalam kelambu ini diumumkan tidak lain, setiausaha agungnya sendiri Datuk Seri Tengku Adnan Mansor beberapa hari lalu. Beliau kemudiannya menarik balik larangan liputan media ini semalam.
Selalunya yang bermesyuarat dalam kelambu ini adalah suami isteri yang sedang dilanda masalah rumah tangga. Jadi kita pun agak terkesima, kenapa Umno mahu bermesyuarat dalam kelambu.
Saban tahun, perhimpunan agung Umno mendapat liputan besar-besaran media tradisional arus perdana. Stesen televisyen yang dikawal kerajaan akan menyiarkan siaran langsung untuk slot yang penting, seperti ucapan penggulungan presiden dan tidak lupa juga ucapan timbalan presiden.
Malang sekali tahun ini, kerana Umno sedang berdepan masalah rumah tangga, maka senario pinggan mangkuk berterbangan barangkali tidak akan dipaparkan kepada kita di kaca televisyen.
Lebih menarik lagi, terdapat perbahasan mengenai sama ada mahu dibenarkan atau tidak sang timbalan presiden Umno daripada berucap di sesi penggulungan sepertimana adat dan kelazimannya.
Tan Sri Muhyiddin Yassin, bekas timbalan perdana menteri yang baru tempoh hari dilengser dan digantikan dengan Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi, khabarnya tidak akan diberi peluang berucap. Kita tidak pasti kenapa dan apa yang dirisaukan. Kita juga tertanya-tanya sekiranya timbalan perdana menteri yang baharu itu akan diberikan peluang berucap pula.
Sebenarnya alang-alang kita mahu bertanya tentang cadangan mesyuarat dalam kelambu ini, ada banyak persoalan yang boleh kita tanyakan.
Ini termasuklah sama ada perwakilan akan dihalang daripada bercakap dengan media, adakah telefon pintar mereka akan dirampas, adakah mereka akan dilarang membawa kamera, adakah rakan parti komponen Barisan Nasional tidak akan dijemput, adakah para diplomat, duta dan pemerhati politik juga tidak akan dibenarkan hadir dan berkongsi apa yang mereka dengar dan lihat di media sosial?
Adakah Tun Dr Mahathir Mohamad pula akan dihalang daripada hadir? Bagaimana pula dengan gerombolan yang menyokong Dr Mahathir dan tidak bersetuju dengan pemecatan Muhyiddin Yassin? Bagaimana pula dengan kawanan Umno Johor yang berpihak kepada Muhyiddin?
Adakah mereka yang didapati membuat rakaman video dan yang seumpamanya akan diberkas dan dihalau daripada mesyuarat? Bagaimana pula dengan pesta dan keraian yang sering berlangsung di luar perkarangan PWTC? Apa nasib pakcik songkok tinggi yang pernah dirakam berjoget dan menyanyi di perhimpunan agung Umno?
Mungkinkah perhimpunan tahun ini akan menjadi paling hambar di kalangan segala perhimpunan yang pernah berlangsung dalam sejarah Umno?
Apa yang lebih menarik untuk diteka ialah perancangan sedang dilakukan kem Muhyiddin setelah timbalan presiden itu nampaknya menulis di Facebook, bertanyakan apa salah dan dosanya terhadap Umno.
“Apalah dosa yang saya lakukan terhadap Umno sehingga tradisi berucap yang saban tahun diberikan kepada setiap timbalan presiden dinafikan kepada saya pada tahun ini?”
“Atau apakah ada mereka cukup takut dengan apa akan saya ungkapkan di depan anak-anak muda yang dipercayai boleh meluputkan keyakinan kepada seseorang pemimpin.”
Memandangkan tidak akan ada liputan media, saya hanya boleh membayangkan sekiranya Muhyiddin dibenarkan berucap merasmikan sidang Pemuda dan Wanita, selain ucapan penggulungannya, beliau akan berkata begini:
“Datuk Seri presiden yang saya kasihi, sidang perwakilan yang saya sayangi; Umno ialah parti kita semua. Parti keramat ini perlu kita pertahankan selagi hayat dikandung badan. Saya pasti para perwakilan sedar dengan masalah yang sedang melanda parti. Sebagai pucuk pimpinan, kita pasti mendengar keluh kesah akar umbi yang berdepan penyokong pembangkang setiap hari, bertanyakan soal skandal 1MDB, ‘derma’ RM2.6 bilion selain masalah kepimpinan yang sedang melanda negara.
“Saya pasti rakan-rakan perwakilan turut berkongsi kebimbangan saya. Dalam sebuah negara yang bebas dan merdeka, tiada siapa yang boleh mendiamkan kebimbangan kita semua. Kita akan terus berbicara menyatakan yang hak. Perjuangan kita di dalam Umno bukan untuk mempertahankan mana-mana individu, tetapi untuk membela agama, bangsa dan negara yang tercinta.
“Saya yakin Datuk Seri presiden, ahli-ahli Majlis Tertinggi dan sidang perwakilan juga bersetuju sekiranya saya katakan parti keramat ini sedang dilanda masalah; dan masalah ini berpunca daripada seorang individu.”
Nah. Kalau dah begini tunggang terbalik keadaan Umno, apa kejadahnya parti pembangkang tak boleh sepakat dan kukuhkan gabungan mereka? – 27 November, 2015.
* Ini ialah pendapat peribadi penulis dan tidak semestinya mewakili pandangan The Malaysian Insider.
Comments
Please refrain from nicknames or comments of a racist, sexist, personal, vulgar or derogatory nature, or you may risk being blocked from commenting in our website. We encourage commenters to use their real names as their username. As comments are moderated, they may not appear immediately or even on the same day you posted them. We also reserve the right to delete off-topic comments