Opinion

KL menjerit, rempit tersepit, kapitalis menggigit

Kita tidak perlu hairan apabila Menteri Wilayah Persekutuan Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor secara tiba-tiba membuka mulutnya mencadangkan supaya komuniti rempit di ibu kota mendapat peluang berlumba di jalanraya, dengan kerjasama dan pemantauan pihak berkuasa.

Ini petanda mungkin ada orang cuba mahu dapatkan projek daripada menteri Umno tersebut. Ya, semudah itu.

Maka jangan hairan dan mempersoal sama ada Tengku Adnan atau lebih dikenali Ku Nan memang sebodoh itu mahu menghalalkan lumba haram. Tidak ada kena mengena langsung.

Ku Nan bukan orang bijak bestari yang akan membazir masa memikirkan langkah-langkah menangani pokok pangkal permasalahan aktiviti lumba haram di kalangan anak muda kelas pertengahan serta gejala-gejala sosial yang berlanjutan daripadanya. Ku Nan tidak sebegitu cerdik.

Sekiranya Ku Nan ditanya pemberita, "Apa langkah yang mahu diambil bagi menangani masalah lumba haram di Kuala Lumpur?" beliau hampir sahaja pasti tidak akan menjawab mahu bikin lumba yang dihalalkan kerajaan. Kenapa? Sebab Ku Nan tidak punya pandangan jauh.

Yang punya pandangan jauh adalah kaum pemodal. Kaum yang melihat peluang meraih keuntungan daripada projek kerajaan. Mereka inilah yang hampir pasti terlebih dahulu melakukan aktiviti "pitching" kepada pihak kerajaan untuk menganjur aktiviti itu dan ini, demi mendapatkan peluang berniaga dan kaya hasil dana negara.

Lumba haram, gejala rempit dan segala yang berlanjutan daripada aktiviti berhimpun malam minggu di Dataran Merdeka itu tidak boleh dibiarkan berlalu dengan sia-sia. Harus hukumnya, mencari jalan supaya aktiviti tersebut dapat memberikan keuntungan wang ringgit, selain faedah politik yang lain.

Sebelum itu kita harus jelas aktiviti berlumba adalah fitrah insani. Semua golongan dan kelas ekonomi terlibat dalam perlumbaan. Bahkan arnab dan kura-kura juga turut berlumba.

Dan apabila wujud perlumbaan, akan turut wujud peluang ekonomi dan pekerjaan melibatkan perlumbaan. Ini termasuklah aktiviti pertaruhan dan perjudian, yang pastinya membawa keuntungan lumayan tanpa keperluan membayar cukai.

Kita melihat manusia melumba kuda, anjing, arnab, bahkan hamster. Hampir semuanya melibatkan pertaruhan, selain kos penjagaan, penyeliaan, tempat, pengurusan dan sebagainya.

Kita juga melihat perlumbaan kereta Formula 1; yang menyaksikan pembinaan litar lumba di serata ceruk dunia, juga melibatkan kos penganjuran yang besar, seraya menarik minat pelbagai industri untuk menaja dan menjual cap dagang mereka. Perlumbaan adalah perniagaan yang sangat menguntungkan.

Dan kemudian kita ada lumba kasta rendah, melibatkan "kapcai" yang dikorek bloknya di samping aksi-aksi berani mati seperti "wheely", "wikang" dan yang sewaktu dengannya. Lumba kasta rendah ini tidak punya tarikan banyak kerana diamalkan secara sorok-sorok, jauh dari capaian pihak keselamatan terutamanya polis trafik; serta dilakukan untuk tujuan yang pelbagai.

Memetik kata Ku Nan sendiri, golongan pelumba kasta rendah yang melazimi jalan-jalan lengang kota raya Kuala Lumpur melakukannya demi kepuasan dan hiburan sendiri.

Katanya lagi, mereka berlumba kerana aktiviti lain tinggi kosnya, dan sebagai kasta yang tidak berkereta mewah, para "rempit" ini hanya mampu berlawan motor siapa lebih "blah" dan aksi siapa lebih jantan.

Dengan hati yang kering, mereka tidak perlu litar lumba. Cukuplah Kuala Lumpur menjerit menyaksikan kejantanan mereka.

Ini sebabnya kenapa akan wujud kaum pemodal yang pastinya mahu mengaut untung daripada aktiviti ini. Mesti ada yang mahu menawarkan khidmat mengurus, menyediakan kelengkapan keselamatan, promosi mingguan, mengurus hadiah tunai dan banyak hal lagi yang berkaitan dengan acara lumba.

Kaum pemodal ini tidak berlumba dengan "kapcai". Kaum pemodal yang merancang untuk mengaut untung daripada aksi anak bangsa yang terjebak dengan gejala bahaya semasa dan selepas berlumba, mereka ke sana ke mari dengan kereta mewah yang tidak dibuat berlumba.

Mereka sekadar menonton dan bertepuk tangan menyaksikan nasib taruhan mereka; sama sebiji seperti di medan-medan lumba kuda, anjing, arnab dan hamster.

Yang menjadi mangsa adalah anak bangsa yang termakan dengan impian mahu menjadi pelumba terkenal, bermodalkan motosikal yang baru dibeli dengan gaji kecil, bermotivasikan populariti dan harapan untuk menemukan awek dan kegemilangan bergelar juara "cub prix" di litar lumba.

Rasanya sudah cukup banyak filem-filem Ahmad Idham untuk dijadikan pengajaran. Yang akan tersenyum riang pada akhirnya adalah para ahli politik dan kaum pemodal yang membusung perutnya kenyang dengan hasil perniagaan menjaja aksi dan keberanian orang lain.

Jadi kita tidak perlu hairan. Ku Nan bukannya sengaja mahu beri jalan untuk anak bangsa berlumba sakan. Bahkan sebagai gula-gula cuma, supaya dia nampak "cool" dan bergaya sambil cukong penganjur acara mengaut untung dan laba.

Dan kita pun bercakaran, berebut mahukan undi anak muda penggemar bunyi enjin kuat dan aksi ligat. Tanpa kita sedari permasalahan yang mengakar adalah ekonomi dan terjeratnya mereka dalam perangkap gaji rendah dan disesakkan kenaikan harga barang angkara cukai barangan dan perkhidmatan (GST).

Eh, kalau gaji anak muda Malaysia ini tinggi dan tak kena GST, dia tak beli "kapcai" dan merempit. Dia beli kereta potong, pasang turbo dan tayar drift, sekali sub woofer pasang lagu "feng tau". Reti? – 26 Februari, 2016.

* Ini adalah pendapat peribadi penulis dan tidak semestinya mewakili pandangan The Malaysian Insider.

Comments

Please refrain from nicknames or comments of a racist, sexist, personal, vulgar or derogatory nature, or you may risk being blocked from commenting in our website. We encourage commenters to use their real names as their username. As comments are moderated, they may not appear immediately or even on the same day you posted them. We also reserve the right to delete off-topic comments