Kami memanggilnya "Lao Da", kalimat bahasa Mandarin yang secara mudahnya bermaksud "ayahanda". Esok, 20 Februari, genap usia Lao Da 75 tahun, dan nampaknya belum ada tanda-tanda untuk ahli Parlimen Gelang Patah itu memperlahankan rentak perjuangannya.
Malaysia mengenali Lim Kit Siang melalui aktivisme, kontroversi dan tribulasi beliau dalam lapangan politik negara seawal penubuhan Parti Tindakan Demokratik (DAP) 50 tahun lalu. Pada usia sekadar 25 tahun, sosok ini sudah pun memegang jawatan setiausaha organisasi parti tersebut.
Kisahnya, Kit Siang ditakdirkan bertemu dan bersahabat dengan Devan Nair, satu-satunya ahli politik Partai Tindakan Rakyat (Petir) yang terus menetap di Malaysia selepas terpisahnya Singapura kerana beliau wakil rakyat kawasan Bangsar yang dimenanginya pada 1964. Devan Nair menawarkan posisi setiausaha politik kepada Kit Siang.
Tugas beliau ketika itu ibarat serampang tiga mata. Pertama, sebagai setiausaha politik Devan yang membantu menangani masalah di kawasan. Kedua, sebagai pengarang lidah rasmi parti "The Rocket".
Dan ketiga, sebagai setiausaha organisasi DAP yang menguruskan penubuhan cawangan parti di samping tugas-tugas lain.
Jawatan ini dipegangnya sehingga 1969, apabila beliau kemudian dilantik sebagai setiausaha agung DAP.
Tahun 1969 itu juga penting dalam perjalanan hidup Kit Siang kerana beliau menjawat kedudukan paling penting dalam DAP serta memulakan kerjayanya sebagai ahli Parlimen.
Dengan rekod hujah dan ucapan sejak 1969, Kit Siang adalah antara anggota Dewan Rakyat paling senior di Parlimen dan sehingga kini masih lagi giat memberi kritikan serta penghujahan bagi memastikan kerajaan berfungsi dengan baik demi kemaslahatan rakyat seluruh negara.
Kecuali pada penggal 1999-2004, Kit Siang berkhidmat sebagai ahli Parlimen di pelbagai kawasan: Bandar Melaka (1969-1974), Kota Melaka (1974-1978), Petaling Jaya (1978-1982), Kota Melaka (1982-1986), Tanjong (1986-1999), Ipoh Timur (2004-2013) dan kini merupakan ahli Parlimen bagi kawasan Gelang Patah, di Johor, negeri kelahirannya.
Beliau turut pernah berkhidmat sebagai Ahli Dewan Undangan Negeri di Kubu, Melaka (1974-1982), Kampung Kolam, Pulau Pinang (1986-1990) dan Padang Kota, Pulau Pinang (1990-1995).
Di sepanjang perjuangan beliau demi keadilan, hak saksama, kemakmuran dan perpaduan bagi seluruh rakyat Malaysia tanpa mengenal latar belakang keturunan, agama mahupun politik, Kit Siang sudah beberapa kali dipenjarakan.
Seawal 1969 beliau sudah ditahan di bawah Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) selama 18 bulan. Beliau sekali lagi ditahan di bawah ISA selama 17 bulan dalam Operasi Lalang pada 1987.
Pun begitu, lelaki ini tidak pernah putus asa dengan jalan perjuangan dipilihnya.
Kit Siang dilantik pengerusi kebangsaan DAP pada 1999 dan menjadi antara tunjang utama dalam Barisan Alternatif yang digerakkan selepas tercetusnya gerakan reformasi berikutan pemecatan Datuk Seri Anwar Ibrahim meskipun akhirnya tewas dalam pilihan raya pada tahun tersebut.
Dalam Pilihan Raya Umum ke-13 (2013), anak kelahiran Batu Pahat ini kembali ke Johor dalam usaha merobohkan kubu selatan dan menawarkan diri bertanding di kawasan Parlimen Gelang Patah, di tengah-tengah serangan perkauman bertubi-tubi oleh pihak-pihak lawan, dan berjaya menewaskan bekas menteri besar Johor sendiri, Datuk Abdul Ghani Othman.
Pada usia 75 tahun, Kit Siang adalah simbol keazaman dan harapan yang tidak pernah pudar. Selepas 50 tahun terlibat dalam pergulatan politik tanah air, belum pernah lagi kita melihat beliau berputus asa atau mahu berhijrah meninggalkan segala kebobrokan yang kian membusuk di Malaysia.
Sehingga hari ini, Kit Siang masih gigih menulis kenyataan medianya sendiri setiap hari, kadang-kadang 3 hingga 4 kenyataan sehari.
Malah ketika bercuti pun beliau masih menaip kenyataannya, di pangkin kayu di tepi pantai, atau sambil duduk dalam kereta dipandu ke sana ke mari.
Wartawan dan pengarang sering sahaja mengadu, meminta supaya Kit Siang memendekkan tulisan-tulisannya itu. Setiap kali mereka mengadu, saya cuma ketawa. Mereka sekadar proses kenyataannya bikin berita, saya pula harus terjemah kesemuanya.
Kit Siang, sebelum hal-hal lain adalah seorang penulis. Beliau memulakan usia dewasanya bekerja sebagai seorang wartawan, sebelum terlibat langsung dalam pergulatan politik dan kemudiannya menerima ijazah undang-undang.
Kerja tulis menulis sudah memang sebati dengan jiwa dan kelazimannya sehari-hari malah ucapan yang diberikan di mana-mana kedai kopi pun akan ditulis semula keesokan harinya, supaya dirakam percakapannya itu dalam huruf-huruf. Di tangannya sentiasa tergenggam sebuah iPad, yang digunakannya untuk menulis apabila bergerak ke sana ke mari.
Saya tidak akan pernah faham bagaimana Lao Da terus menerus bekerja tanpa mengenal erti lelah dan putus asa. Padahal tidak sedikit dugaan yang menyapanya sepanjang lima dekad memperjuangkan apa yang diyakininya meski dicaci maki, dia tiada peduli.
"Rebus tak empuk, cincang tak lumat" bak kata orang utara. Lawan politiknya sekadar boleh menahan geram, dan kalau pun bertindak cuba menggugat keazamannya tiada lain sekadar bagai tikus menggigit besi.
Sambil negara mengeluh dan berputus asa, barangkali wajar untuk kita belajar daripada ketabahan negarawan ini. Selamat hari lahir Lao Da. Semoga seperti saudara, kami juga tidak akan pernah mudah berputus asa. – 19 Februari, 2016.
* Ini adalah pendapat peribadi penulis dan tidak semestinya mewakili pandangan The Malaysian Insider.
Comments
Please refrain from nicknames or comments of a racist, sexist, personal, vulgar or derogatory nature, or you may risk being blocked from commenting in our website. We encourage commenters to use their real names as their username. As comments are moderated, they may not appear immediately or even on the same day you posted them. We also reserve the right to delete off-topic comments