Opinion

Najib Razak menang lagi. Bagaimana beliau melakukannya?

Perdana Menteri sudah menang, untuk ke sekian kalinya. 

Manakala kita terus terlopong, tewas dan menggaru-garu kepala seakan tidak percaya bagaimana perdana menteri boleh lolos, bebas dan dibersihkan daripada sebarang salah laku.

Lebih banyak persoalan timbul semasa sidang media peguam negara tempoh hari.

Paling menarik pastilah persoalan tentang cerita perdana menteri memulangkan semula sebahagian besar daripada derma berjumlah RM2.6 bilion itu kepada sumbernya di Arab Saudi.

Kenapa dipulangkan wang yang tidak digunakan itu? Negara tidak cukup orang susah untuk dibantu?

Kot ya pun bantulah Tabung Haji sekurang-kurangnya. Aneh bagaimana dana yang didermakan untuk tujuan yang pelbagai (termasuk khabarnya untuk memerangi pengganas Isis) akhirnya dibelanjakan untuk membayar kad kredit, sepertimana yang didedahkan Peguam Negara.

Jangan kita terlepas pandang.

Sidang media peguam negara mengesahkan wang berjumlah RM2.6 bilion itu memang betul-betul masuk ke akaun peribadi milik perdana menteri.

Bahkan ia mendedahkan beberapa transaksi lain yang tidak diketahui sebelum ini.

Sia-sia semua penafian, ugutan untuk mengambil tindakan saman terhadap Wall Street Journal serta rombakan semula kabinet dan segala langkah propaganda sebelum ini.

Kita tidak akan faham apa sebabnya semua itu dilakukan.

Akhirnya aliran masuk wang berjumlah besar ke akaun peribadi itu disahkan berlaku, dan ia bukan satu kesalahan.

Meloponglah kita semua.

Baru kita tahu pengubahan wang pada skala yang begitu besar untuk tujuan peribadi, meski dibuat atas nama operasi politik, bukanlah satu kesalahan dan tidak mengakibatkan barang sedikitpun cela terhadap integriti perdana menteri.

Beliau sudah menang dengan penuh bergaya. Soalnya, bagaimana beliau melakukannya?

Najib Razak adalah contoh “political animal” yang beroperasi secara “real” tanpa mempedulikan baik buruk kesan moral langkah politiknya.

Lawan politiknya dicantas tanpa sedikit pun rasa simpati.

Lihat saja bagaimana kabinetnya dirombak dan timbalannya diganti.

Najib Razak bertindak membunuh kerjaya politik pesaing dan pencabarnya dengan begitu mudah sekali.

Tan Sri Muhyiddin Yassin yang sebelum ini kelihatan lantang mencabar presidennya, kini langsung tidak relevan lagi.

Terkini, operasi politik mencantas anak Mahathir di Kedah sedang giat berlangsung, hatta wujud dakwaan Adun dan Exco yang dikejar dan dipaksa tandatangan akuan bersumpah menolak kepimpinan Mukhriz sebagai menteri besar.

Pihak yang menyiasat skandalnya ditukar, dipindah, dipecat dan diganti sesuka hati.

Siapa yang boleh cabar? Ahli jawatankuasa PAC habis disapunya masuk ke dalam Kabinet, di saat Datuk Nur Jazlan ketika itu kelihatan begitu bersungguh-sungguh mahu menyiasat skandal 1MDB.

Permainan realpolitik Najib Razak membawa kemenangan bagi beliau, walaupun kemenangan itu boleh kita anggap sekadar bersifat sementara.

Ini pemimpin politik yang tidak peduli barang sedikit pun terhadap suara para idealis minoriti kelas membebel (chattering class) yang menyumpah seranah pentadbirannya dari kedai kopi mahal Jalan Telawi.

Pergi mampus dengan mereka semua. Audien Najib Razak bukan mereka itu, justeru mereka tidak menjejas perjalanan politiknya.

Yang mengekalkan kuasa politik Najib Razak adalah para pengundi luar bandar yang semalam sudah dilupakan tentang TPPA dan derma RM2.6 bilion dengan bayaran BR1M.

Realpolitik Najib Razak bermain dengan kepentingan poket golongan majoriti yang tidak peduli soal ideologi dan urustadbir baik, asalkan keresahan poket mereka diamankan.

Ya, memang wujud ‘shadow government’ yang beroperasi di dalam gelap dan menyusup masuk ke parti pembangkang untuk menjalankan kerja memecahbelah pakatan politik oposisi.

Kita semua tahu parti pembangkang sememangnya hanya mampu menewaskan sistem dengan kejayaan mengawal matematik pilihanraya berbekalkan kekuatan pakatan politik.

Tidak ada parti yang boleh beroperasi melawan Barisan Nasional secara sendiri.

Justeru memecahkan koalisi pakatan pembangkang adalah senjata ampuh untuk memastikan rejim pimpinan Najib Razak kekal berkuasa barangkali untuk satu dua penggal lagi.

Tahun lalu kita telah melihat PAS berpecah 2, dengan segerombolan pimpinan progresif membentuk parti mereka sendiri hasil perbalahan yang dicetuskan perangkap hudud sejak 2 tahun lalu.

Terpecahnya PAS itu memperlihatkan segmen parti tersebut yang sebenarnya lebih selesa berpakat sesama Melayu-Islam ketimbang Cina-kafir serta Melayu-Liberal di dalam DAP dan PKR.

Langkah seterusnya ialah untuk memecahkan DAP, yang kini nampaknya sedang bergelut dalam usaha menormalkan parti itu dengan menyingkir imej Cina yang berlebih-lebihan.

Memecahkan DAP ertinya menggugat keyakinan pengundi bukan Melayu terhadap parti itu, dan seterusnya memberi nyawa kepada parti seperti Gerakan, malah MCA yang khabarnya sudah punya senarai calon untuk PRU ke-14.

Melumpuhkan DAP setelah memecahkan PAS adalah langkah berkesan untuk menggugat kekuatan koalisi politik parti pembangkang, yang akhirnya akan memberikan kekuatan dan mengembalikan sokongan terhadap rejim yang dipimpin United Malays National Organisation.

Satu lagi usaha “Deep State” yang paling tidak disedari ialah untuk menguasai media secara keseluruhan.

Khabar pengambilalihan portal berita dan penutupan agensi pelapor serta penganalisis yang cenderung memihak parti pembangkang pastinya membimbangkan.

Ia menjadi isyarat pembodohan terancang akan dilaksanakan dalam skala yang lebih besar.

Najib Razak akan terus menang dan kita semua akan terus tewas.

Kalau skandal sebesar ini pun boleh dia lolos, skandal lain apatah lagi.

Meski kita menyaksikan kemungkinan keputusan peguam negara bakal dibantah Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia, hampir saja pasti perdana menteri akan terus melepaskan diri. – 29 Januari, 2016.

* Ini adalah sajak peribadi penulis dan tidak semestinya mewakili pandangan The Malaysian Insider. 

Comments

Please refrain from nicknames or comments of a racist, sexist, personal, vulgar or derogatory nature, or you may risk being blocked from commenting in our website. We encourage commenters to use their real names as their username. As comments are moderated, they may not appear immediately or even on the same day you posted them. We also reserve the right to delete off-topic comments