Opinion

Politik persepsi tewaskan bangsa malas bertanya

Tetamu jemputan Bersih 2.0 untuk sesi forum semalam dihantar pulang ke Indonesia tanpa alasan undang-undang.

Mugiyanto Sipin, aktivis yang menjadi korban penculikan Komando rejim Orde Baru Suharto pada era Reformasi 1998, tidak dibenarkan menjejak kaki ke Kuala Lumpur. Takut-takut idea melawannya itu merebak ke kampung-kampung. Mungkin.

Antara reaksi awal yang muncul di media sosial termasuklah, “Orang luar tak perlu masuk campur dan buat kacau di negara ini”. Ini antara reaksi dangkal lagi pemalas, yang tanpa tahu hujung pangkal, pantas memutuskan pendiriannya tanpa mendapatkan maklumat secukupnya.

Reaksi pemalas ini adalah hasil permainan politik persepsi, sebuah permainan berdasarkan apa yang dilihat sekali lalu tanpa banyak tanya dan tanpa banyak siasat.

Politik persepsi adalah senjata ampuh mengawal pendapat dan melemahkan kebebasan berfikir. Semakin galak ia dimainkan, semakin malaslah khalayak menggunakan fakulti minda mereka untuk memutuskan pendapat dan pendirian masing-masing.

Lihat saja keputusan kajian Institut Darul Ehsan, yang turut menjadi tajuk utama laporan media semalam, yang mendakwa kemarahan orang Melayu terhadap DAP semakin meningkat, lewat perpecahan Pakatan Rakyat dan mampirnya PAS kepada Umno.

Hasil kajian ini adalah kesan langsung permainan politik persepsi yang boleh kita kira sangat berjaya.

Tidak sukar sebenarnya untuk berbohong kepada orang Melayu terutamanya, dan mengolah persetujuan mereka supaya membenci dan menanggapi DAP sebagai parti Cina, komunis malah sebagai proksi Israel.

Dengan memainkan persepsi terhadap parti DAP, ia bukan sahaja boleh dituduh sebagai proksi Israel, malah ia boleh ditanggapi sebagai pesuruh makhluk asing dari planet Marikh yang mahu menghancurkan bangsa manusia seluruhnya.

Dan akan ada mangkuk yang percaya. Sepertimana ada mangkuk yang percaya DAP itu proksi Israel, hanya apabila seorang politisi muda cuai dalam mengolah mesejnya.

Ya, mari kita ambil kes itu sebagai contoh untuk mengkaji apa itu politik persepsi dan bagaimana ia boleh digunakan sebagai senjata bagi membunuh akal bangsa yang pemalas.

Chong Zhe Min, dalam kapasitinya sebagai seorang pemimpin muda DAP Perak, mengeluarkan kenyataan mengutuk tindakan Kementerian Belia dan Sukan pimpinan Khairy Jamaluddin Abu Bakar, menghalang 2 atlet Israel daripada hadir bertanding dalam sebuah acara sukan. Dua atlet ini pula merupakan johan menunggu.

Berikutan itu, Chong dan seterusnya DAP sendiri, dituduh memihak kepada Israel, seraya mengetepikan kepentingan masyarakat Palestin yang tertindas sekian lama. DAP kemudiannya diserang dari segenap sudut, dan dituduh sebagai proksi Israel.

Lebih menarik, ada pula cerdik pandai PAS yang mengungkit kembali fitnah yang tidur, mengaitkan DAP dengan dana dan latihan Israel, supaya apabila ia menang pilihan raya, Israel boleh membina pangkalan tenteranya di Port Dickson.

Cerdik pandai PAS ini nanti akan terpaksa menjawab di mahkamah, dan semua fitnah yang dibawa mereka dan orang sebelumnya akan nanti diuji serta diperiksa di mahkamah.

Tapi itu cerita lain. Fokus kita kali ini ialah untuk melihat bagaimana meski kenyataan cerdik pandai PAS itu ditarik balik, ia sudah cukup untuk membina persepsi negatif terhadap DAP.

Dan persepsi ini pula dihadamkan orang ramai tanpa usul periksa, tanpa mencari tahu dan berdasarkan maklumat satu hala belaka.

Padahal DAP sekian lama punya pendirian membantah sikap apartheid Israel dan membela nasib serta perjuangan rakyat Palestin.

Politik persepsi digunakan untuk melanjutkan ketakutan umum terhadap risiko agama, bangsa dan tanah airnya akan tergugat dan dilenyapkan sekiranya DAP menjadi kerajaan.

Ini dilakukan tanpa memberikan sudut pandang DAP hidup dalam ekosistem politik yang majoriti pengundinya Melayu-Islam (tanpa mengira pecahan yang menyokong atau tidak).

Juga tidak diingatkan DAP sedang dalam kerjasama politik dengan Parti Keadilan Rakyat dan Parti Amanah Negara, 2 parti yang sakan membahaskan isu-isu konflik Israel-Palestin.

Apa yang lebih tidak disebut apabila membicarakan tuduhan dan persepsi jahat terhadap DAP ini ialah betapa sakannya kerajaan Malaysia berdagang dengan Israel.

Hubungan dagang ini dilaporkan akhbar Israel sendiri. Tak ada pun yang melompat menuduh si fulan atau si fulan dalam hubungan dagang Malaysia-Israel sebagai ejen Zionis.

Ketika ditanya kenapa Bersih 4 hanya berlangsung sekadar 34 jam, saya secara jujur menyebut rakyat Malaysia terlalu malas untuk bertahan di Dataran Merdeka lebih daripada tempoh 34 jam itu.

Malah dalam tempoh 34 jam itu pun, ramai yang bergilir-gilir pulang ke rumah masing-masing, untuk membersihkan diri serta berhimpun di kedai-kedai kopi untuk bergambar dan berkongsi status di media sosial.

Ya, rakyat Malaysia memang kelompok manusia yang cepat marah dengan keadaan yang memburukkan kelangsungan hidupnya. Rakyat Malaysia juga cepat sejuk daripada kemarahannya itu.

Cuba tanyakan kenapa mereka enggan bertahan sampai seminggu contohnya. Aci kerat jari jawapan pertama yang akan diberikan ialah 'Malas lah'.

Dek kerana sikap malas ini maka penguasa akan terus mudah menundukkan kita dengan hanya bermodalkan politik persepsi. Politik mengolah pendapat dengan hanya gambar, video dan sepotong tajuk berita.

Sedangkan sebenarnya kalau difikirkan, DAP misalnya tidak menjual negara kepada kuasa asing.

Siapa yang jual Bandar Malaysia kepada konsortium syarikat China? DAP? Faham kenapa perlunya rajin bertanya dan berfikir, serta tidak tewas dengan politik persepsi? – 8 Januari, 2016.

* Ini ialah pendapat peribadi penulis dan tidak semestinya mewakili pandangan The Malaysian Insider.

Comments

Please refrain from nicknames or comments of a racist, sexist, personal, vulgar or derogatory nature, or you may risk being blocked from commenting in our website. We encourage commenters to use their real names as their username. As comments are moderated, they may not appear immediately or even on the same day you posted them. We also reserve the right to delete off-topic comments