Opinion

Selamat menyambut milad dua Nabi

Sultan Brunei Darussalam Sultan Hassanal Bolkiah mengharamkan penduduk Brunei menyambut Hari Natal secara terbuka. Maksudnya mereka boleh saja menyambut Krismas secara menyorok, kalau pun mereka mahu menyambutnya.

Saya tidak pernah menjejak kaki ke Brunei. Justeru saya tidak pasti berapa ramai umatnya beragama Kristian, dan berapa banyak gereja yang ada di sana; kalau pun ada gereja.

Saya juga tidak pasti apa yang membuatkan Brunei mengharamkan Krismas tahun ini, berbanding tahun-tahun sebelumnya.

Negara itu, bersekali dengan Somalia bertindak mengharamkan perayaan yang disambut meriah di seluruh dunia. Justeru mengundang buruk sangka ramai pihak terhadap negeri kecil kaya minyak di kepulauan Borneo itu.

Malah tidak sedikit teman di Facebook yang mengeluh. Kata mereka mujurlah Brunei tidak menyertai Persekutuan Malaysia. Ya, mujur juga. Kalau tidak memang rakyatnya tidak merasa royalti minyak negara mereka. Habis semuanya disapu kerajaan persekutuan. Tapi itu cerita lain.

Apa-apa pun tindakan Sultan Hassanal Bolkiah mengharamkan sambutan Krismas secara terbuka dengan jayanya mengundang fitnah terhadap agama. Islam versi Brunei tampak begitu tidak toleran, dan sanggup memaksakan imannya terhadap orang awam.

Ini menimbulkan persoalan penuh hairan, terutamanya setelah baru saja semalam kita merayakan maulid Nabi Muhammad, selawat dan salam ke atas baginda.

Sekiranya Muhammad masih ada, apa agaknya reaksi baginda terhadap titah Sultan Hassanal Bolkiah?

Kita diingatkan tentang pesan menantunya, Saidina Ali yang dimuliakan wajahnya, “mereka yang bukan saudaramu dalam iman, adalah saudaramu dalam kemanusiaan”. Justeru membangkit lagi persoalan, kenapa harus dinafikan kemanusiaan atas nama iman?

Muhammad diutus sebagai rahmatan lil-’alamin, rahmat ke seluruh alam. Sesuai sifat dan akhlaknya yang penuh toleransi dan kemuliaan, membawa kebaikan kepada semua tanpa sebarang bentuk diskriminasi, tanpa mengira kaum, agama, bangsa dan latar ekonomi.

Islam tidak turun ke bahu Muhammad sebagai sebuah silibus, atau sukatan pelajaran. Islam juga tidak hadir sebagai sempadan teritorial membangun dinding batu setinggi langit bagi mengurung penganutnya dalam ketaatan, dan menghindar keluar segala kekufuran.

Muhammad diutus untuk membawa kata kebenaran. Dan kata kebenaran itu pastinya tidak akan sampai ke Nusantara sekiranya umat jazirah Arab membangun dinding di keliling mereka dan menghindar daripada terjebak dengan budaya asing.

Lemah sangatkah iman umat Brunei sehingga Kristian di negara itu terpaksa menyambut perayaan mereka di dalam gelap dan di sebalik tirai, takut-takut kemeriahannya mencemar iman masyarakat Islam sekeliling mereka?

Mentaliti eksklusif dan teritorial umat Islam sewajarnya dipecahkan kerana ia bukan saja tidak membantu dakwah Islam, malah menyekat perkembangan agama sehinggakan agama tambah difitnah dan diejek secara selamba.

Di Malaysia juga tidak kurang pengikut faham serupa, yang mengehadkan Islam dan syurga kepada golongan tertentu saja.

Rakan Isma misalnya, turut menghukum haram sesiapa yang mengucapkan ‘Selamat Hari Natal’ malah kepada rakan Kristiannya. Kalau pun ada rakan Kristianlah.

Ini seakan bersalahan dengan firman dalam surah Maryam ayat 33, yang merakam percakapan Isa alaihissalam bermaksud:”Dan kesejahteraan ke atasku, pada hari aku dilahirkan, pada hari aku mati, dan pada hari aku dibangkit hidup kembali”. Sambungan ayat 34 pula menyebut (maksudnya): “Itulah Isa anaknya Maryam, kata kebenaran yang padanya banyak mereka selisihkan”.

Antara hujahnya termasuklah ditakuti gugur syahadahnya dan menjadi Kristianlah dia, sekiranya mengucapkan selamat hari Natal. Aneh juga bagaimana kalau mengucapkan selamat Tahun Baru Cina tidak berubah menjadi Cina.

Aduhai, kenapa diperlakukan agama itu seperti besi berani di peti sejuk, mudah mahu dilekang lekat sesuka hati?

Sedangkan di tanah Arab bahkan di Palestin ada Santa Claus naik unta, kenapa longgar sangatkah akidah umat Melayu Nusantara?

Mujurlah kedua-dua Nabi itu bukan Melayu keturunannya. Selawat dan salam ke atas baginda berdua. – 25 Disember, 2015.

* Ini ialah pendapat peribadi penulis dan tidak semestinya mewakili pandangan The Malaysian Insider.

Comments

Please refrain from nicknames or comments of a racist, sexist, personal, vulgar or derogatory nature, or you may risk being blocked from commenting in our website. We encourage commenters to use their real names as their username. As comments are moderated, they may not appear immediately or even on the same day you posted them. We also reserve the right to delete off-topic comments