Opinion

Selamat tahun baharu, Ahmad Maslan

Ke hadapan Datuk Ahmad Maslan yang jauh di mata. Apa khabar Datuk di sana? Harapnya sihat saja di samping keluarga dan sahabat handai. Datuk okay? Banyak kerja hari ni?

Pakcik Ahmad, boleh saya panggil pakcik? Mesra sikit bunyinya. Lagipun panggil Datuk ini bunyi macam sudah tua sangat.

Pakcik, 2015 sudah melabuhkan tirainya semalam. Di kesempatan ini saya ingin mengucapkan tahniah kerana berjaya merangkul gelaran individu paling popular bagi 2015. Ya, di mata saya, pakciklah “man of the year” yang berjaya melakarkan senyuman dan gelak ketawa bagi kami rakyat  Malaysia.

Tidak kering gusi kami dengan telatah pakcik, terutamanya sejak pengumuman cukai barang dan perkhidmatan, yang kebetulan jatuh pada hari jenaka sedunia, 1 April lalu.

Jenaka “harga barang turun selepas laksana GST” memang berjaya membuat kami ketawa berguling-guling. Saya sendiri yakin saya hampir terkucil dengan jenaka tersebut.

Namun itu tidak dapat melawan jenaka terakhir bagi 2015 yang dihasilkan secara selamba dan bersahaja: jenaka “dua kerja”. Bagi saya, inilah pièce de résistance sepanjang kerjaya komedi pakcik sejak dilantik menganggotai kabinet.

Beribu-ribu tahniah saya ucapkan.

Pakcik Ahmad, azam tahun baru saya, sepertimana tahun sebelum ini ialah untuk mendirikan rumah tangga. Tahun ini umur saya sudah mencecah 32. Berbeza dengan rakan seusia yang anak mungkin sudah 2, 3 orang, saya masih bujang.

Justeru saya kira 2016 ini adalah tahun yang sesuai untuk menamatkan zaman bujang saya itu. Namun saya sedikit cuak dan resah, memikirkan implikasi ekonomi yang bakal berkunjung tiba sebaik saja saya menikah.

Ini termasuklah tanggungjawab memberi makan pakai kepada isteri (dan kemudian anak), selain melunaskan perbelanjaan harian yang lainnya, termasuklah sewa rumah, sewa beli kereta, bil api, air dan Internet; serta keperluan serakah anak bini yang mahukan rekreasi contohnya seperti melancong ke serata pelosok bumi.

Saya ini hidup seorang diri pun cukup-cukup makan. Hujung bulan sesak nafas.

Saya ada beberapa pilihan nampaknya dalam hal ini, dengan mempertimbangkan kos peluang yang ada. Pertama yang paling mudah, jangan gatal menikah langsung. Ke-2, menikah tetapi jangan beranak pinak.

Namun saya paling suka pilihan -3: tewaskan United Malays National Organisation (Umno) dalam pilihanraya akan datang.

Pakcik, petang Isnin lalu, saya pergi ke pejabat Pos Laju Petaling Jaya. Sesuai dengan saranan pakcik, saya membantu rakan saya mengepos buku yang dipesan secara online.

Alangkah terkejutnya saya melihat begitu ramai sekali orang di sana sedang beratur untuk menghantar barang mereka juga.

Ada yang menghantar tudung, alat solek, aksesori kereta dan pelbagai lagi bungkusan dalam kuantiti yang banyak. Saya paling sayu melihat gerak geri seorang ibu muda, dengan perut sarat mengandung, mengangkat beg sarat berisi bungkusan untuk dihantar kepada pelanggan. Gigih sekali beliau menyara hidup, demi masa depan anak dalam kandungan.

Tanpa mempedulikan saranan 2 kerja pakcik pun, saya hampir pasti sudah begitu ramai orang berusaha lebih untuk memastikan keluarga mereka tidak kebulur pada zaman pasca GST ini.

Ternyata kerja sampingan sudah bukan menjadi hobi mereka yang mahu menambah pendapatan, bahkan menjadi satu bebanan yang perlu ditanggung demi sebuah kehidupan.

Dan di tengah-tengah keterdesakan ini, orang ramai terus ditekan dengan tindakan aneh daripada pihak berkuasa terhadap mereka yang benar-benar perlu melakukan 2 kerja.

Lihat saja bagaimana penguatkuasa PBT mengeluarkan saman malah merampas peralatan para penjaja yang mencari sesuap nasi tanpa budi bicara. Bagaimana pula dengan rakan penggemar vape yang berusaha membuka perniagaan sendiri, namun ditutup periuk nasi mereka tanpa sebarang usaha mitigasi.

Pakcik, penyair Jawa, Ronggowarsito ada menyebut dalam serat Kalatida, katanya: amenangi zaman édan, éwuhaya ing pambudi, mélu ngédan nora tahan, yén tan mélu anglakoni, boya keduman mélik, kaliren wekasanipun.

Mahfumnya: menyaksikan zaman gila, serba susah dalam bertindak, ikut gila tidak akan tahan, tapi kalau tidak mengikuti (gila), tidak akan mendapat bagian, kelaparan pada akhirnya. 2015 lah zaman gila itu.

Zaman gila, sasau dan tertonggeng-tonggeng. Zaman susun timun dalam kuali nasi goreng. Zaman menoreh pokok getah pameran. Zaman pecah telur atas murtabak.

Zaman badut menjadi menteri. Zaman kenyit mata ertinya ajak tidur sekali. Zaman yayasan amal jariah bergiat dalam sukan golf. Zaman presiden yayasan amal jariah punya 12 jawatan dengan elaun keraian puluhan ribu ringgit.

Zaman gila inilah yang dianjurkan parti pakcik. Parti United Malays National Organisation. Parti contoh akhir zaman, yang presidennya punya begitu banyak “pekerjaan”.

Dialah perdana menteri, menteri kewangan, pernah menyandang jawatan menteri wanita, dialah juga ahli Parlimen Pekan dan pengerusi Majlis Penasihat 1MDB.

Justeru di awal tahun baru ini, saya berharap pakcik dapat sekurang-kurangnya memahami denyut nadi kami yang tak punya gaji setaraf menteri meski bekerja dari semalam sampai ke esok pagi.

Selamat tahun baru Pakcik Ahmad Maslan. Kipidap! – 1 Januari, 2016.

* Ini ialah pendapat peribadi penulis dan tidak semestinya mewakili pandangan The Malaysian Insider.

Comments

Please refrain from nicknames or comments of a racist, sexist, personal, vulgar or derogatory nature, or you may risk being blocked from commenting in our website. We encourage commenters to use their real names as their username. As comments are moderated, they may not appear immediately or even on the same day you posted them. We also reserve the right to delete off-topic comments