Opinion

Takkanlah lebai pandai berbohong

Sembang-sembang kerajaan perpaduan bergema lagi. Meski meluat dan tidak lagi mahu melayan fantasia bulan madu kerajaan berteraskan kepentingan ultra Melayu-Islam ini, ia masih lagi gigih memujuk di pintu hati kita semua. Berbisik kata-kata manis supaya idea unggul itu dapat diterima, demi kepentingan agama, bangsa dan tanah air.

Mari kita putuskan secara sebulat suara sekarang, buat sekian kalinya; kisah kerajaan perpaduan antara Umno dan PAS boleh terus dijaja dan dipanjangkan, tetapi untuk diimani dan diyakini, sama sekali jangan. Dalilnya akan saya huraikan kemudian. Sebelum itu mari kita memeriksa keadaan, dan tentukan sama ada benar PAS punya kesediaan untuk bergabung dengan Umno.

Antara kejadian paling awal yang menyebabkan ramai orang hilang rasa hormat kepada parti Islam ini pastinya berlaku ketika krisis menteri besar Selangor satu ketika dahulu. Meski Langkah Kajang itu langkah sumbang dan krisis perebutan takhta menteri besar itu sesuatu yang sepatutnya boleh dielakkan, suka saya menarik perhatian kita semua pada satu babak ngeri tidak ramai orang perasan.

Babak yang saya maksudkan ialah satu tempoh singkat di mana kerajaan negeri Selangor ditadbir sebuah kerajaan perpaduan, antara PAS, Umno dan Tan Sri Khalid Ibrahim.

Babak yang satu ini menjadi dalil kuat dalam membuktikan kesediaan PAS untuk bergabung dengan Umno, sambil menyisihkan rakan PKR dan DAP pada waktu itu.

Semua exco DAP dan PKR dipecat. Manakala exco PAS dikekalkan. Sokongan majoriti gabungan PAS, DAP, PKR tidak lagi wujud. Yang menopang kedudukan Khalid pada ketika itu adalah angka kerusi DUN yang terdiri daripada wakil rakyat PAS, Umno dan Tan Sri Khalid sendiri, yang ketika itu sudah tidak berparti.

Babak yang satu ini penting sekali, kerana ia menjadi petunjuk khusus bagi menafikan sebarang penafian PAS tidak akan bergabung dengan Umno. Ia sudah terjadi, meski tidak akan dirakam di nota kaki sejarah.

Namun persoalan jauh lebih penting ialah, adakah Umno bersedia untuk bergabung dengan PAS?

Mari kita cerakinkan pula naratif kerajaan perpaduan gabungan Umno-PAS ini dengan bertanyakan soalan itu; “Adakah Umno bersedia untuk bergabung dengan PAS?”

Jawapannya hampir pasti tidak. Dalil jawapan ini pula harus dilihat dalam episod kedua pertelingkahan PAS dengan rakan arwah Pakatan Rakyat (PR); episod pertembungan hebat antara DAP dan PAS dalam isu undang-undang hudud. Episod ini merupakan sekuel kepada episod kegigihan PAS berkelahi dengan PKR yang berakhir dengan jalan cerita yang agak tergantung.

Dalam babak berkelahi dengan DAP, plotnya semakin rancak dan hangat. Ini kerana babak ini dimulakan dengan satu pancingan maha cerdik daripada Umno, melalui seorang menteri agama; Datuk Seri Jamil Khir Baharom namanya.

Menteri ini memancing presiden PAS, kononnya sekiranya PAS mahu melaksanakan hudud di Kelantan, bawalah rang undang-undang persendirian di Parlimen, bagi membolehkan pindaan undang-undang berkaitan, bagi membuka ruang kepada pelaksanaan hudud di negeri Serambi Mekah itu.

Apa yang menarik dalam episod ini ialah keyakinan dan iktikad Datuk Seri Hadi Awang (Haji Hadi) yang begitu kuat tawaran Jamil itu adalah isyarat keras Umno siap sedia menerima syariat agama dan mengesampingkan pandangan serta bargaining power rakan politiknya di dalam Barisan Nasional.

Begitu yakinnya Haji Hadi dengan andaian ini, sehinggakan beliau mengemukakan usul rang undang-undang persendirian itu ke Parlimen.

Ini dilakukan bukan saja tanpa dibawa ke meja rundingan Majlis Pimpinan arwah PR, malah khabarnya tidak dibawa ke mesyuarat Jawatankuasa PAS Pusat sendiri. Begitu yakin dan percayanya Haji Hadi upayanya itu akan berjaya, malah beliau berjaya pula meyakinkan ramai orang Umno akan menyokong usulnya itu.

Di sini timbul satu persoalan besar yang belum pernah terjawab. Adakah Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak, merangkap presiden Umno, memberi lampu hijau kepada para ahli Parlimen Umno untuk menyokong usul terbabit, dan adakah beliau turut bersedia untuk mengalu-alukan salam persahabatan daripada PAS?

Takkanlah hanya Jamil Khir yang dihantar untuk memasang perangkap? Itu sajakah tahap komitmen yang ditunjukkan Umno, yang menjadi andalan keyakinan presiden PAS usahanya akan berjaya?

Adakah perdana menteri bersedia untuk kehilangan sokongan di Sabah dan Sarawak demi memberi jalan kepada usul hudud PAS? Adakah perdana menteri bersedia untuk memberi kerusi tertentu kepada PAS sekiranya ia benar-benar ikhlas untuk bergabung, seperti mana yang kita semua percaya?

Maka bagaimana kalau saya katakan kepada anda, naratif Kerajaan Perpaduan adalah sebuah kisah fantasi; yang dijajakan sepasang anak beranak bersama sekumpulan kawan terdekat, demi mengukuhkan kedudukan politik mereka semata-mata. Muktamar semakin hampir, kedudukan semakin tercabar; apakah upaya terbaik untuk memastikan para cerdik pandai profesional tidak mengambil alih pucuk pimpinan?

Rekalah sebuah cerita tentang sebuah gagasan yang menggabungkan dua kuasa besar dengan menjaja kepentingan agama, bangsa dan tanah air. Warnakan si Cina DAP sebagai faktor perosak dan pemecah belah, yang menghantar jebon munafik haraki untuk merosakkan jemaah. Cetuskan kegusaran, berikan harapan kemenangan. Meski itu semua hampir pasti tidak benar sama sekali.

Eh takkanlah lebai pandai berbohong. Kan? – 13 November, 2015.

* Ini ialah pendapat peribadi penulis dan tidak semestinya mewakili pandangan The Malaysian Insider.

Comments

Please refrain from nicknames or comments of a racist, sexist, personal, vulgar or derogatory nature, or you may risk being blocked from commenting in our website. We encourage commenters to use their real names as their username. As comments are moderated, they may not appear immediately or even on the same day you posted them. We also reserve the right to delete off-topic comments